Oktober 12, 2024

Search
Close this search box.

Latihan Industri di Sports Innovation Technology Centre UTM titip pengalaman berharga

Latihan Industri adalah merupakan aktiviti pelajar ditempatkan di industri berkaitan bidang dalam satu tempoh tertentu. Ia merupakan aktiviti untuk pelajar mengalami sendiri suasana pekerjaan sebelum bekerja apabila tamat belajar. Peluang menjalani latihan industri di Sports Innovation Technology Centre (SITC) UTM merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan dan menarik. Pelbagai pengalaman dan ilmu telah kami terima sepanjang menjalani latihan industri di sini. Bimbingan daripada Dr. Hadafi selaku pengarah SITC juga banyak membimbing kami dalam melakukan tugas-tugas yang diberikan sepanjang latihan industri ini dijalankan. Pelbagai aktiviti dan program telah kami jalankan sepanjang tempoh 10 minggu bersama dengan SITC UTM. Malahan kami juga menjalankan aktiviti riadah sukan yang telah dijadualkan pada setiap minggu selepas waktu bekerja untuk mengisi masa lapang kami dengan perkara bermanfaat terutama jenis-jenis latihan sukan sedia ada.

 

Aplikasi Drill Latihan Boxing untuk kecergasan fizikal.

Pertamanya, SITC UTM merupakan pusat yang menjalankan aktiviti penyelidikan dalam inovasi dan teknologi sukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). SITC UTM memberi fokus Pembangunan Alat Teknologi Baru dan Kenalpasti Bakat Pembangunan Atlet Baru. SITC juga menjalankan aktiviti Pendidikan Sains Sukan untuk meningkatkan prestasi para atlet dalam sukan dari semasa ke semasa. Secara tidak langsung kami telah didedahkan kepada alatan dan peralatan sukan yang moden yang terletak di bangunan V01 UTM. Pelbagai peralatan yang telah kami lihat dan cuba di makmal-makmal sukan SITC UTM seperti Lab Biomekanik Sukan, Lab Hydrotherapy, Lab Drone Sports 4.0, Lab Virtual Cycling yang mampu mengeluarkan data prestasi atlet ketika mengayuh. Pelbagai input juga telah kami dapat semasa mencuba peralatan sukan tersebut di makmal SITC.

 

Makmal-Makmal Penyelidikan SITC UTM.

Selain itu, kami juga mendapat pengalaman menjadi pembantu jurulatih kepada atlet Muay Thai Sukma Johor. Kami telah ditugaskan pada setiap minggu untuk melatih atlet Muay Thai ini di gimnasium bangunan V01 UTM bagi mempersiapkan mereka menyertai sukan Sukma di Sarawak pada 2024. Kami telah membuat jadual latihan fizikal untuk atlet Muay Thai. Sepanjang kami melatih mereka, kami dapat melihat peningkatan prestasi dalam melakukan latihan dari semasa ke semasa.

Peluang ini merupakan satu pengalaman yang amat berharga bagi kami oleh kerana dapat mencuba belajar menjadi seperti jurulatih sebenar. Kami juga telah melakukan banyak aktiviti luaran bersama atlet Muay Thai Johor seperti aktiviti psikologi sukan dan juga aktiviti ketahanan mental. Selain daripada pengalaman yang amat berharga menjadi jurulatih kepada atlet Muay Thai, kami juga dapat belajar berkomunikasi untuk menjadi seorang jurulatih yang baik terutama diberi tugas oleh Dr. Hadafi untuk melakukan briefing dan refleksi setiap kali selepas latihan sukan.

 

Aktiviti Latihan Ketahanan Mental  bersama Atlet Muay Thai Negeri Johor.

Bukan itu sahaja, kami juga telah didedahkan dengan cara menyediakan laporan-laporan aktiviti mengikut format yang betul. Antara laporan yang telah kami bukukan ialah Laporan Fasiliti Sukan di Kolej Tun Dr Ismail, Laporan Rancangan Pembukaan Pusat Terapi dan Rehabilitasi Spa di UTM, Laporan Lawatan ke The Cage High Performance Sports Centre, Laporan Townhall Sukan UTM 1.0, Laporan artikel UTMNEWSHUB dan banyak lagi.

Usaha ini dapat membantu kami dalam penyediaan diri sebelum menceburi bidang pekerjaan setelah kami tamat belajar nanti di mana pada masa kini, pengurusan sukan yang strategik seperti kemahiran teknologi dan penyediaan laporan amat penting untuk digunakan dalam alam pekerjaan dan kehidupan seharian. Selain itu, kami bukan sahaja hanya menyediakan laporan yang ditugaskan, malah program yang kami rancang dan sediakan turut kami jalankan dan realisasikan sebagai bukti kami aktif menjalankan latihan industri di SITC.

 

Laporan-Laporan Sukan yang telah disiapkan.

 

Sepanjang berada di SITC kami berpeluang merasai pengalaman yang amat bermakna dan berharga dalam seumur hidup. Hal Ini dikatakan demikian kerana SITC merupakan pusat inovasi teknologi sukan yang mana memfokuskan perkembangan teknologi sukan dan alatan canggih yang digunakan dalam sukan, dengan itu kami juga dapat mengadakan lawatan dan tinjauan fasiliti sukan yang terdapat dalam Majlis Sukan Negeri Johor iaitu The Cage High Performance Sports Centre. Pengalaman ini sangat bernilai kerana kami bukan sahaja datang melakukan tinjauan kepada fasiliti moden dan canggih yang terdapat di sana, malah kami dapat merasai sendiri cara penggunaan dan melakukan aktiviti strength and conditioning serta merancang plan Kaedah Latihan workout gym yang melibatkan bahagian otot teras dengan bimbingan jurulatih The Cage di sana.

Lawatan ke High Performance Gym Centre MSNJ.

Pengalaman menjalankan latihan industri di SITC UTM sangat berharga bagi kami sebagai pelajar yang bakal menceburi bidang pekerjaan suatu hari nanti kerana banyak perkara tentang pekerjaan dipelajari dan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan bersama pengarah SITC, Dr. Hadafi dan juga pelajar-pelajar praktikal yang lain. Kami bersama-sama menyiapkan tugasan yang diberikan dengan dedikasi dan semangat sepasukan yang tinggi, menjalankan aktiviti rekreasi sukan petang bersama, menjadi fasilitator yang cemerlang semasa program kelas psikologi sukan dan penyambut tetamu untuk lawatan pelajar dari SM Sains Alam Shah, menjadi jurulatih gym bagi pasukan Muay Thai Johor dan banyak lagi.

Bidang Sains Sukan mungkin tidak seberat bidang kejuruteraan namun begitu, impaknya besar kepada ekonomi sesebuah negara. Sukan menyatupadukan semua dan sukan mengajar semangat kerja berpasukan dan semangat juang tanpa kenal erti putus asa.

 

Oleh Nursyazreen Natasha Jafri, Muhammad Irfan bin Mahmood dan Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

Explore More