April 28, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 31 Okt. – Ketokohan dan kepakaran ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa meraih perhatian dan pengiktirafan daripada pelbagai pihak sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Bagi edisi tahun 2023, Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-15 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali lagi mengiktiraf tiga ahli akademik UTM dalam dua anugerah berbeza.

Majlis yang berlangsung di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur ini menyaksikan Ts. Dr. Mariani Abdul Hamid, Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif dan Dr. Norliza Mohd Isa muncul sebagai pemenang daripada tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan.

Ts. Dr. Mariani Abdul Hamid dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, UTM memenangi Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk menerusi produk DERMAGS® Intensive Brightening Serum.

Dr. Mariani telah berjaya meraih pelbagai pengiktirafan melalui DERMAGS®.

Pemilik syarikat hiliran UTM, Biopro Cosmeceutical Sdn Bhd ini merupakan antara peneraju bagi penghasilan produk kosmesiutikal melalui proses penyelidikan yang berjaya dikomersialkan di pasaran tempatan.

Melalui pulangan daripada hasil pengkomersialan produk ini telah disalurkan kepada UTM semula yang akhirnya membuka peluang kepada penyelidik untuk memperoleh dana dalam melaksanakan kerja-kerja penyelidikan lain yang membawa kepada penemuan ilmu baharu.

Produk yang telah pun berada di pasaran semenjak 2021 dirumus khas berasaskan Alpha-mangostin yang diekstrak dan ditulenkan daripada kulit manggis untuk mencerah, menganjalkan, meremajakan dan meratakan tona kulit yang kusam.

Produk ini telah mendapat pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Usahawan Johor 2021, Pemenang Utama (Kategori Pengkomersialan Produk) Tahun Pengkomersilan Malaysia (MCY MOSTI 2018) dan Silver Medal Award, Seoul International & Invention Fair (SIFF 2013).

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan. Beliau sememangnya terlibat secara langsung dengan pelbagai pelan dan polisi pengajaran dan pendidikan bukan sahaja di peringkat universiti malah di peringkat nasional.

Dr. Adibah menumpukan kepada bidang pentaksiran pendidikan yang memerlukan beliau menguasai aspek kurikulum, penyampaian pengajaran dan proses penambahbaikan. Pengalaman beliau sebagai pendidik dan juga akademia di UTM selama 20 tahun, membolehkannya melaksanakan pelbagai inovasi dalam pengajaran demi meningkatkan pemerolehan ilmu dan kemenjadian pelajar ke tahap yang lebih baik.

Dr. Adibah sentiasa komited meneroka teknik-teknik pengajaran demi kecemerlangan anak didiknya.

Kehebatan beliau dalam konteks pengajaran telah membolehkannya menjadi Pemenang Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) Tahun 2022 bagi Kategori Program Pengajian Inovatif dan sebelum itu menggondol anugerah yang sama pada tahun 2018 bagi Anugerah Pengajaran Transformatif Pentaksiran Alternatif.

Dalam pada itu, Dr. Norliza Mohd Isa, turut menerima pengiktirafan pada malam berkenaan, sekaligus membuktikan tenaga pengajar di Universiti ini begitu komited dalam mendidik anak bangsa menjadi golongan intelektual dan pemimpin masa depan.
Dr. Norliza yang merangkul Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sains Gunaan mempunyai minat dan semangat yang tinggi dalam menggerakkan aktiviti pembangunan dan projek pembelajaran pelajar.

Dr. Norliza sememangnya bersemangat dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar di bawah bimbingannya.

Usaha beliau berlandaskan prinsip yang diambil daripada kata-kata Imam Malik RA, “Adab sebelum Ilmu” dan didasari oleh nilai AQWAM (Attitude, emotional Quotient, teamWork, Adaptability & comMunication skills). Dua perkara ini menjadi kunci kejayaan beliau mengimplimentasikan inovasi pembelajaran abad ke-21 dalam konteks pengajaran yang dilaksana di UTM.

Dr Norliza juga telah memenangi pelbagai anugerah berkaitan pengajaran, antaranya pemenang Tempat Ketiga bagi Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) Tahun 2019 bagi Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka), Gold Medal Award, New Academia Learning Innovation (NALI) UTM 2021 dan Silver Medal Award bagi anugerah yang sama pada tahun 2022, 2020, dan 2019.

Ketiga-tiga penerima anugerah ini membawa pulang RM 50,000.00 berserta piala dan sijil.

Untuk rekod, pemenang AAN sebelum ini adalah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail sempena AAN ke-7, Prof. Ts. Mohd. Hafiz Dzarfan, AAN ke-14, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi pada AAN ke-11, Prof. Madya Fatimah Puteh sempena AAN ke-9 dan Prof. Madya Ir. Hayati Abdullah, AAN ke-5.

Dato’ Seri Khaled ketika berucap sempena Majlis Anugerah Akademik Negara ke-15 di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur.

Majlis penganugerahan pada malam ini yang telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan anjuran Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT.

AAN merupakan acara tahunan yang mengiktiraf dan menyanjungi ahli akademik negara yang telah mengharumkan nama Malaysia dalam pelbagai bidang ilmu melalui pelbagai pencapaian yang cemerlang dalam penyelidikan dan penerbitan yang berimpak tinggi, penghasilan karya asli yang bermutu, karya seni dan kreativiti terbaik, pengkomersialan produk penyelidikan dan pengajaran yang cemerlang.

Explore More