Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 11 Okt. – Berkhidmat di sesebuah tempat kerja dalam tempoh yang cukup lama memerlukan semangat juang yang tinggi dan kesetiaan mencurah bakti yang tidak berbelah bahagi.

Begitu juga halnya dengan warga kerja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membuktikan kekentalan mereka mengharungi cabaran dalam mencari rezeki bersama institusi ini telah diraikan dalam Majlis Sanjungan Budi 2023, di sini, hari ini.

Seramai 294 warga kerja dan juga pesara UTM yang terdiri daripada 116 Pesara dan bakal Pesara bagi tahun 2023, 3 orang penerima Anugerah Delima (40 tahun), 24 orang penerima Anugerah Jasa Setia (30 tahun) dan 151 orang penerima Anugerah Jasa Budi (20 tahun) menerima anugerah penghargaan daripada Universiti.

Majlis penghargaan ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail dan diiringi oleh Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail.

Menurut Prof. Datuk Fauzi, para staf yang telah mencurahkan bakti kepada Universiti seharusnya diberi penghargaan atas jasa, usaha dan sumbangan mereka membantu UTM sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

Prof. Datuk Fauzi berucap bagi mengalu-alukan warga kerja UTM yang diraikan hari ini.

“Ini merupakan amalan kita di UTM, yang mana staf dirai dan dihargai oleh sesebuah organisasi atas penat lelah mereka, demi memartabatkan UTM di persada dunia,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar meneruskan budaya kerja yang cemerlang dalam memastikan kemampanan universiti untuk bersaing dengan institusi tinggi terkemuka dunia yang lain.

“Bagi meneruskan kelangsungan kecemerlangan sesebuah universiti seperti UTM ini, budaya menghargai antara satu dengan yang lain adalah sangat penting. Penghargaan yang diberikan kepada mereka akan menjadi batu loncatan untuk mereka pamerkan hasil kerja yang lebih baik pada masa akan datang,” tambah Prof. Fauzi.

Dalam pada itu, tiga penerima Anugerah Delima yang merupakan warga kerja yang paling lama berkhidmat dirai dalam majlis kali ini berkongsi rasa bangga dan gembira sepanjang lebih 40 tahun menabur bakti di sini.

Penerima Anugerah Delima; Dr. Zulkarnain (kiri), Encik Roslan (tengah) dan Encik Umul (kanan) sama-sama melakar memori indah sepanjang lebih kurang 40 tahun berkhidmat di UTM.

Prof. Madya Sr. Dr. Dzurllkanian@Zulkarnain Daud, penerima Anugerah Delima yang bukan sahaja berkhidmat sebagai staf bahkan merupakan alumni UTM membuktikan kesetiaannya kepada institusi apabila bersama UTM hampir 43 tahun semenjak tahun 1980.

Dr. Zulkarnain sehingga kini masih setia menabur bakti meskipun telah bersara Februari lalu demi meneruskan kelangsungan projek komersialisasinya bersama Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), iaitu Sistem Penilaian dan Pentadbiran Cukai Harta yang telah pun diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan di sekitar Johor, Pahang, Putrajaya dan Perak.

Manakala Encik Roslan Abdul Ghani  yang berkhidmat di UTM selama 40 tahun 8 bulan semenjak 1982, berkongsi rasa gembira sepanjang bersama institusi ini biarpun telah melalui pelbagai perubahan tingkat perjawatan dan penempatan kerja.

“Apa yang menarik sepanjang saya berkhidmat di sini, saya berpeluang untuk bertukar penempatan kerja selepas lima tahun berada di sesebuah jabatan atau PTJ untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu. UTM sememangnya memberi peluang kepada staf untuk mengembangkan potensi diri melalui cara ini,” kata Encik Roslan.

Sementara itu, Encik Umul Bahril Abd Kadir, berkhidmat sebagai pembantu operasi di Fakulti Alam Bina dan Ukur, menyatakan pengalaman bekerja di UTM meninggalkan hanya kenangan manis buat dirinya.

Beliau turut menitipkan pesanan buat rakan sekerja yang masih berkhidmat agar berkerja sepenuh hati dan sentiasa mengekalkan keharmonian di tempat kerja.

Ketiga-tiganya memulakan kerjaya di UTM Kuala Lumpur dan telah pun bersara pada tahun ini.

Antara wajah-wajah yang setia bersama UTM hingga kini.
Wajah-wajah ceria warga kerja UTM yang sama-sama diraikan hari ini dalam Majlis Sanjungan Budi 2023.

Majlis Sanjungan Budi merupakan program tahunan yang diadakan atas semangat murni Universiti menghargai pesara dan bakal pesara UTM serta sebagai penghargaan kepada staf yang telah berkhidmat selama 20, 30 dan 40 tahun di institusi ini.

Explore More