April 27, 2024

Search
Close this search box.

Kecerdasan Buatan (AI) dan Kepimpinan

Kecerdasan Buatan (AI) merujuk kepada mesin atau sistem komputer yang boleh melaksanakan tugas yang memerlukan kecerdasan manusia. Mesin atau sistem komputer ini direka bentuk untuk melaksanakan tugas seperti membuat persepsi visual, menyelesaikan masalah, pengecaman komunikasi atau pertuturan, memahami dan menterjemahkan bahasa, mengenali patern dan membuat keputusan. Siri atau Alexa adalah antara contoh hasil AI dalam kehidupan seharian kita. AI memberi banyak manfaat merentasi pelbagai industri dan aspek kehidupan seharian kita. Sekiranya teknologi ini digunakan dengan bijak, AI dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam pelbagai industri, mengurangkan kos operasi, membantu dalam membuat keputusan, meningkatkan produktiviti individu dan pasukan, mempercepatkan inovasi, memberi sumbangan kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan, sistem keselamatan, pembangunan kenderaan autonomi.  perkhidmatan terjemahan bahasa , memudahkan komunikasi merentasi halangan bahasa, mempromosikan kerjasama dan persefahaman global, membangunkan teknologi bantuan untuk orang kurang upaya dan lain-lain lagi.

Peranan pemimpin adalah untuk mempengaruhi individu atau ahli pasukan ke arah pencapaian matlamat organisasi. Kepimpinan melibatkan pelbagai tanggungjawab dan kemahiran. Kehadiran AI tidak dapat dinafikan semakin memberi kesan dan mempengaruhi kepimpinan dalam pelbagai cara.

Perancangan Strategik

Pemimpin terlibat dalam perancangan strategik untuk menyelaraskan objektif organisasi dengan matlamat jangka panjang. Mereka menilai persekitaran dalaman dan luaran, mengenal pasti peluang dan cabaran dan membangunkan rancangan untuk mencapai kejayaan. Dengan bantuan AI, pemimpin dapat membuat perancangan strategik dengan meramalkan hala tuju, perubahan pasaran dan potensi risiko. Pemimpin juga boleh menggunakan AI untuk mengautomasikan tugasan rutin dan berulang. Ini membolehkan pemimpin dan orang bawahannya memberi tumpuan kepada aspek yang lebih penting, strategik dan kreatif. Pemimpin juga boleh memanfaatkan AI dalam membuat penilaian dan pengurusan risiko dengan menganalisis sejumlah besar data untuk mengenal pasti ancaman dan kelemahan.

Membuat Keputusan

Pemimpin membuat keputusan kritikal berdasarkan maklumat yang ada dan pertimbangan yang strategik. Mereka perlu membuat pertimbangan dengan bijak berkaitan risiko dan manfaat, membuat pilihan atau keputusan dan bertanggungjawab diatas hasil keputusan yang telah dibuat. Dengan adanya kemahiran AI menyediakan analisis dan pemprosesan data, ia memudahkan pemimpin untuk membuat keputusan dan menganalisis data yang banyak, besar dan mengenal pasti patern, arah aliran dan cerapan yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia . Pemimpin perlu mengemudi persekitaran perniagaan yang berubah dengan pantas. AI boleh membantu organisasi menjadi lebih mudah untuk membuat ramalan, menyesuaikan diri dan memudahkan dalam membuat keputusan.

Pemilihan dan Pembentukan Pasukan

Pemimpin yang efektif mestilah bijak dalam memilih, membina dan memupuk pasukan yang berkesan. Mereka memahami kekuatan dan kelemahan ahli pasukan, menggalakkan kerjasama dan mewujudkan budaya inklusif dan cemerlang. Dengan adanya bantuan teknologi AI, pemimpin boleh membuat pemilihan tenaga kerja dengan lebih baik dan mendapatkan penglibatan pekerja yang lebih mantap. Algoritma AI boleh menganalisis resume, menilai calon dan meramalkan pusing ganti pekerja, membolehkan pemimpin membuat keputusan yang lebih bermaklumat tentang pasukan mereka.

Budaya dan Komunikasi Cemerlang

Pemimpin mesti menyampaikan visi, matlamat dan jangkaan dengan jelas untuk memastikan penjajaran dalam pasukan atau organisasi. Untuk tujuan ini, pemimpin mestilah bijak dalam mengamalkan komunikasi yang berkesan. Pemimpin juga mestilah berusaha untuk mewujudkan budaya yang cemerlang di tempat kerja dan bijak menangani konflik dalam pasukan atau organisasi. Mereka perlu menggalakkan komunikasi yang terbuka, pelbagai hala dan jujur. Di era kini, pemimpin bukan sahaja perlu memupuk kerjasama antara manusia tetapi juga kerjasama antara manusia dan sistem AI. Ini melibatkan usaha untuk mewujudkan budaya di mana pekerja selesa bekerja bersama alatan AI kerana AI adalah alat untuk melengkapkan kemahiran manusia dan bukannya untuk menggantikannya. Selain daripada itu, pemimpin juga boleh memanfaatkan teknologi AI dalam usaha untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan.

Latihan dan Pembangunan

Pemimpin perlu mengambil inisiatif dalam pembangunan ahli pasukan mereka melalui latihan, bimbingan dan peluang untuk peningkatan kemahiran. Pemimpin yang efektif perlu menyokong kepada pembangunan profesional orang bawahannya dalam sesebuah organisasi. Dengan adanya bantuan teknologi AI, pemimpin boleh menganalisis prestasi individu dan pasukan, memberikan maklum balas dan mengesyorkan latihan atau bimbingan yang bersesuaian dengan mereka.

Secara kesimpulannya, pemimpin yang efektif perlu bijak memanfaatkan teknologi AI untuk membuat perancangan, mengurus, mengarah, memacu inovasi, menambah baik pembuatan keputusan, meningkatkan prestasi ahli pasukan dan organisasi serta untuk mencapai matlamat organisasi. Untuk tujuan itu, pemimpin perlulah mempunyai pemahaman yang mendalam tentang teknologi AI, mempunya kemahiran dan atitud yang betul dan positif serta bersedia untuk menerima perubahan, kreatif dan berinovasi.

 

Oleh Jamilah Ahmad, Hanifah Jambari dan Tan Joo Siang

Explore More