Mei 19, 2024

Search
Close this search box.

Hampir 3,500 pelajar baharu UTM teruskan legasi menuntut ilmu

JOHOR BAHRU, 1 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia menerima hampir 3,500 pelajar baharu bagi meneruskan pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa dan UTM International Degree Program (IDP) untuk sesi akademik 2023/2024 bermula hari ini.

Menurut Naib Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, daripada jumlah ini 3,318 pelajar mendaftar pengajian di kampus UTM Johor Bahru dan 164 pelajar di kampus UTM Kuala Lumpur.

Pelajar baharu ini terdiri daripada 1,678 pelajar lelaki dan 1,804 pelajar perempuan di mana kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian yang meliputi 57 program Sarjana Muda di 12 fakulti yang terdapat di UTM.

Pendaftaran kemasukan pelajar baharu kali ni menyaksikan tumpuan kepada tiga fakulti utama dengan bilangan pelajar antara yang tertinggi, iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Alam Bina dan Ukur, diikuti dengan Fakulti Sains.

Prof. Shamsul mengulas tentang kemasukan pelajar baharu ke UTM hari ini.

“Pemilihan pelajar ke fakulti-fakulti ini menggambarkan kesedaran mereka terhadap permintaan di pasaran kerja pada hari ni  seperti di sektor elektrik dan elektronik adalah yang terbaik di negara ini temasuklah penawaran gaji yang di tahap yang agak baik atau boleh boleh dianggap kadar premium,” kata Prof. Shamsul.

Selain itu, seramai 137 pelajar antarabangsa daripada hampir 20 buah negara seluruh dunia antaranya Indonesia, China, Yemen, Sudan dan Mesir bakal mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu ini.

Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail (dua dari kiri) turut sama dalam sesi lawatan sempena pendaftaran pelajar baharu di Kolej Tuanku Canselor.

Tambah beliau, “Universiti berharap para pelajar yang mendaftar pada hari ini yang bakal bergraduan tiga hingga empat tahun akan datang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik bahkan menjadi graduan yang holistik yang menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa.”

 

Prof. Shamsul menyantuni sebahagian pelajar yang mendaftar masuk hari ini di Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor UTM.
Sebahagian keluarga pelajar yang mendaftar di sekitar UTM.

Pelajar baharu ini akan mengikuti Program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) bermula 1 hingga 5 Oktober 2023 untuk membuka ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan dan suasana kampus UTM.

Status OKU bukan penghalang usaha mengejar cita-cita

Kelainan upaya yang dialami oleh Arisha Maisarah Nasrudden, 20 tahun, tidak menghalang usahanya meneruskan perjuangan mengejar cita-cita sebagai pakar penyelidik bahan kosmetik dan penjagaan wajah.

Meskipun menghidap “Hereditary Motor Sensory Neurophaty with bilateral foot drop” iaitu penyakit yang menyebabkan Arisha lemah saraf pada kedua-dua belah kaki, mengambil peluang untuk melanjutkan pelajaran di UTM sebagai ruang untuk berdikari.

Arisha Maisarah ketika ditemu bual wartawan.

“Tawaran belajar di UTM seperti peluang yang ditunggu-tunggu untuk saya cuba berdikari jauh daripada keluarga dan keluar dari zon selesa,” katanya bakal mengikuti kursus Sarjana Muda Sains Kimia selama empat tahun di sini.

Sementara itu, seorang lagi pelajar baharu dengan kelainan upaya, Fatimahtul Nur Amierra Amir Hassan, 19 tahun, yang turut mendaftar di UTM hari ini turut mengetepikan rasa takut dan bimbang demi menimba ilmu di perantauan.

Amierra bersama ibu dan bapa yang menemani ketika ditemu bual wartawan.

Anak kelahiran Sabah ini walaupun terbatas penglihatannya kerana buta sebelah mata sejak berusia lima bulan, tetap yakin dan positif untuk meneruskan perjuangannya bersama rakan-rakan di sini.

“Saya mula pakai mata palsu semasa berusia 14 tahun, sejujurnya rasa takut dan bimbang sebab berjauhan dari keluarga.

“Tetapi saya yakin ramai yang membantu. Ketika di kelas saya akan memilih untuk duduk di bahagian hadapan supaya dapat melihat lebih jelas,” katanya.

Pada sesi akademik kali ini, UTM menerima tiga pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang kesemuanya bakal mengikuti jurusan sains dan teknologi (S&T) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Sains dan Fakulti Komputeran.

Explore More