Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Graduan Terbaik Program Kerjasama UTM dan Qaiwan International University berasa bertuah terima 2 Ijazah sekali gus

KURDISTAN, 9 Okt. – Penerima Anugerah Graduan Terbaik 2023 Program Kerjasama UTM dan Qaiwan International University, Reza Kamil Abdul Karim berasa bertuah kerana menerima dua ijazah pada Majlis Konvokesyen pertama Qaiwan International University di wilayah ini.

Menurutnya, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian melalui program kerjasama ini kerana percaya dengan kualiti program yang ditawarkan oleh UTM atas pengalaman dan pencapaian UTM di peringkat antarabangsa. Beliau menganggap ia suatu yang unik kerana ijazah beliau bukan sahaja dikeluarkan oleh Qaiwan International University di negaranya bahkan oleh peringkat antarabangsa melalui UTM. Beliau merupakan graduan program Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia melalui program kerjasama ini.

Ketika berucap sebagai wakil graduan, beliau menganggap kejayaan beliau dan rakan-rakan menamatkan pengajian pada hari ini adalah hasil kerja keras dan semangat tinggi untuk mengubah masa depan mereka.

Reza Kamil menerima Anugerah Dekan daripada Prof Nazri.

Ketika berucap beliau sempat memetik pepatah Melayu ; Jika Benih yang baik, jatuh ke laut akan menjadi pulau. Pepatah ini ditujukan kepada rakan graduan beliau untuk sentiasa berusaha dan melaksanakan yang terbaik dalam apa juga yang dilaksanakan dan akhirnya pasti akan beroleh kejayaan.

Reza kini bertugas sebagai Pegawai Sumber Manusia di sebuah syarikat Qaiwan Group di Sulaimaniyah. Beliau merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Ayahnya merupakan seorang hakim sentiasa memberi galakan untuk memilih masa depan terbaik untuk anak perempuannya. Beliau turut ditemani keluarga dan adik-beradiknya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Reza Kamil bersama ayahnya.

Menurut Prof. Dr Nazri Ali, Ketua Pengurus Eksekutif UTMSpace, beliau merupakan penerima Anugerah Graduan Terbaik bagi Program Kerjasama Antarabangsa UTM bersama Qaiwan International University. Beliau turut menerima Anugerah Dekan daripada UTMSpace dan Anugerah Graduan Program Terbaik Sheikh Fakhir Sheikh Taib, Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pengarah Qaiwan International University.

Ketika ditemu bual, beliau berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan amat gembira jika berpeluang melanjutkan pengajian di UTM. Pada majlis berkenaan, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi dalam ucapannya juga telah mengumumkan bahawa UTM akan menawarkan biasiswa dalam bentuk yuran pengajian kepada 3 graduan terbaik dan Reza merupakan salah seorang penerima biasiswa berkenaan.

Explore More