Disember 19, 2024

Selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, sambutan Hari Akademia pada tahun ini mengetengahkan tema Akademia Pemacu Malaysia Madani. Golongan akademia merupakan golongan cendekiawan yang mempunyai peranan penting dalam melahirkan generasi madani, melibatkan komuniti intelektual dan ahli akademik yang berkhidmat di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi, serta institut latihan dan vokasional di Malaysia.

Konsep Malaysia Madani diperkenalkan sebagai strategi efektif dalam pengurusan dan pentadbiran negara, dengan menekankan terhadap pengukuhan ekonomi dan budaya berdasarkan nilai-nilai, etika, dan akhlak. Gagasan MADANI ini terdiri daripada enam tunjang utama. Kemampanan (M) mencerminkan kepentingan menjaga keseimbangan antara manusia dan alam demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Kesejahteraan (A) merujuk kepada pengharmonian dalam dalams emua aspek kehidupan. Daya Cipta (D) pula mendorong inovasi dan kreativiti dalam pembangunan. Hormat (A) menekankan tatatertib sosial dan adab manakala Keyakinan (N) berkaitan dengan tanggungjawab moral terhadap dunia dan akhirat. Sementara Ihsan (I) menyentuh perhatian dan kasih sayang sebagai nilai-nilai mendasari semua perkara. Masyarakat Madani juga memainkan peran penting dalam memperkuat pembangunan negara, termasuk pendidikan.

Sehubungan itu, sebagai akademia, generasi Malaysia Madani dapat dipacu dalam ekosistem yang terdapat dalam sesebuah institusi pendidikan tinggi. Pertama ialah pengajaran. Pengajaran merujuk kepada ilmu yang disampaikan oleh ahli akademik kepada mahasiswa yang bakal menerajui pelbagai sektor yang memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Ilmu ini berbentuk teori, konsep, kemahiran, amali, praktikal dan sebagainya demi memastikan generasi Malaysia Madani dapat bersaing dalam pasaran kerja yang semakin hari semakin sengit. Tugas akademia semakin berat untuk menghasilkan generasi Madani yang menghadapi cabaran besar dalam usaha memperoleh kemahiran yang sangat penting bagi masa hadapan di tempat kerja.

Dr Halim dalam satu sesi pengajaran di dalam kelas.

Laporan “Future of Jobs 2020” dari World Economic Forum (WEF) telah mengenal pasti kemahiran penting untuk kejayaan di tempat kerja masa depan. Kemahiran-kemahiran ini termasuk penyelesaian masalah analitikal dan kompleks, pemikiran kritis, penghasilan idea kreatif, pengambilan inisiatif, penguasaan teknologi, dan komunikasi yang efektif. Laporan ini juga menekankan pentingnya kemahiran sosial dan emosi seperti kecerdasan emosi, kerjasama dalam pasukan, pengurusan tekanan, dan menjaga kesihatan fizikal. Kemahiran-kemahiran ini penting untuk mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan serta mempromosikan pembangunan mampan dalam landskap pekerjaan yang sentiasa berubah.

Dengan kepesatan teknologi pada masa kini, akademia juga perlu mempunyai kemahiran mengaplikasikan pelbagai pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan medium pembelajaran yang pelbagai. Tambahan pula, generasi pada masa kini yang lebih dikenali sebagai generasi digital dibesarkan dengan persekitaran teknologi yang berkembang pesat. Suatu masa dahulu, kita tidak pernah membayangkan akan wujudnya pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya. Namun kini, ia menjadi realiti dengan kewujudan program Open Distance Learning (ODL) sepertimana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Penyelidikan merupakan aspek kedua terpenting di sesebuah institusi pendidikan tinggi. Selaras dengan tagline korporat baharu UTM, iaitu “Menginovasi Penyelesaian”, golongan akademia berperanan untuk menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat, industri dan sebagainya menerusi penyelidikan dan inovasi untuk merealisasikan Malaysia Madani. Penyelidikan yang baik ialah penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan industri. Penyelidikan juga boleh menjurus kepada komponen inovasi yang merupakan antara tanggungjawab yang seharusnya digalas oleh akademia.

Inovasi merupakan proses dan produk, dan ia melibatkan perubahan dalam sesuatu yang sedia ada, terutamanya dengan memperkenalkan kaedah, idea, atau produk baharu. Hal ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia untuk mengangkat agenda “Universiti Untuk Masyarakat” iaitu universiti menjalankan inovasi yang membolehkan hasil inovasi menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat pada hari ini.

Aktiviti penulisan merupakan amalan biasa yang dilaksanakan oleh akademia di institusi pendidikan tinggi bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Tujuan aktiviti penulisan oleh akademia adalah untuk menyebarkan dan berkongsi ilmu, kepakaran serta hasil penyelidikan kepada ahli akademik, penyelidik, pelajar dan masyarakat di seluruh dunia. Ada akademia yang cenderung menulis artikel dalam jurnal yang berimpak tinggi atau sekurang-kurangnya dalam jurnal terindeks. Ada juga yang cendrung menulis dalam penulis popular seperti, rencana di akhabar ataupun majalah.

Tidak kiralah bentuk atau medium penulisan yang dipilih, ia perlu mempunyai kandungan yang baik dan mendatangkan manfaat kepada pembaca. Budaya menulis ini perlu disemarakkan dan seharusnya menjadi kebiasaan dalam diri akademia di negara kita lebih-lebih lagi untuk berkongsi dan menyebarkan maklumat tentang hasil penyelidikan yang memberi impak kepada ekonomi, masyarakat dan negara.

Ahli akademik berperanan untuk membangun keperibadian pelajar secara holistik.

Konsep Malaysia Madani bersifat menyeluruh dan bukannya hanya tertumpu kepada mahasiswa di universiti semata-mata, malah lebih daripada itu. Masyarakat Orang Asli, komuniti Felda, orang kampung, murid-murid sekolah, golongan berkeperluan khas dan sebagainya perlu didekati oleh akademia. Kerjasama universiti-komuniti-industri dengan melibatkan akademia penting dalam pembangunan kehidupan masyarakat dan komuniti di Malaysia. Akademia perlu mengambil inisiatif menghubungkan mahasiswa, universiti, dan organisasi komuniti bersama dalam satu proses kerjasama dan inovasi yang menterjemahkan pengetahuan akademik kepada tanggungjawab sosial untuk menggalakkan perubahan sosial yang positif.

Natijahnya, akademia merupakan tulang belakang yang memainkan peranan penting dalam memacu Malaysia Madani. Akademia perlu berganding bahu antara satu sama lain serta memerah seluruh kecerdikan dan kreativiti untuk melakar kejayaan dalam pelbagai bidang yang dapat memberikan impak besar kepada negara. Generasi Malaysia Madani yang terhasil daripada sistem pendidikan tinggi di Malaysia merupakan harapan dan matlamat bersama.

Selamat Hari Akademia 2023!

 

Dr. Abdul Halim Abdullah merupakan Profesor Madya di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM dalam bidang Pendidikan Matematik. Beliau begitu aktif menulis sama ada dalam jurnal, buku, malah rencana di akhbar tempatan dan merupakan salah seorang Penulis Tamu di akhbar Berita Harian.

Explore More