Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Akademi Bahasa UTM JB berpadau tenaga dalam Kursus Membina Pasukan Kerja Cemerlang dan Pembangunan Jati Diri

PENGERANG, 6 Oktober – Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menganjurkan Kursus Membina Pasukan Kerja Cemerlang dan Pembangunan Jati Diri selama dua hari  di Lotus Seaview Beach Resort, Pengerang.

Kursus ini telah disertai oleh 46 staf terdiri daripada kakitangan pengurusan, akademik dan sokongan  Akademi Bahasa.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Nur’ain Balqis binti Haladin, Penolong Pengerusi Akademi Bahasa.

Antara objektif penganjuran kursus ini adalah untuk memperkasakan semangat kerja berpasukan bagi mendepani cabaran tugasan berorganisasi, seterusnya dapat memantapkan lagi kualiti kepimpinan dalam pasukan serta semangat kekitaan dalam bentuk tindakan bagi mencapai matlamat Akademi Bahasa.

Selain itu, melalui penglibatan diri dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan, peserta dapat mewujudkan interaksi positif dalam kalangan mereka, dan ini merupakan tunjang utama dalam membentuk semangat kerja secara kolaboratif, di samping meningkatkan tahap motivasi diri.

Penganjuran kursus ini juga melatih kemahiran mendengar secara aktif, memberi maklum balas serta membolehkan staf untuk berinteraksi, membina hubungan baik dan bekerja secara efektif sesama staf bagi mencapai objektif yang sama.

Jawatankuasa Social and Welfare Club (SoWel) Akademi Bahasa, telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan menguruskan keseluruhan perjalanan program tersebut, baik dari segi pemilihan tempat, waktu, hadiah, aktiviti dan lain-lain.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik dan santai tetapi dalam masa yang sama mencabar, telah dijalankan. Walaupun ahli jawatankuasa berusaha untuk menyediakan aktiviti yang seronok bagi menarik minat peserta, kesemua permainan yang dijalankan masih berteraskan objektif utama kursus, iaitu untuk membina kemahiran bekerjasama dan pembangunan jati diri staf, selain merapatkan hubungan sesama staf Akademi Bahasa. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Find Your Chair, Passing the Water, Cardboard Table-tennis dan The Last Man Standing.

Kursus ini bukan sahaja memupuk semangat kekitaan di kalangan peserta bahkan ahli-ahli  jawatankuasa yang terlibat. Sedari awal persiapan, ahli jawatankuasa bertungkus lumus mencurah idea dan tenaga bagi memastikan kelancaran kursus, termasuklah percubaan secara amali aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan. Bagi memeriahkan dan meraikan lagi usahasama dan keterlibatan semua pihak, pemberian cenderamata dan anugerah khas setiap kumpulan turut disediakan kepada semua peserta kursus, yang disampaikan oleh Pengerusi baharu Akademi Bahasa, YBrs. Prof. Madya Dr. Hadina binti Habil, pada majlis penutup kursus.

 

Berdasarkan maklumbalas daripada peserta program, kursus ini telah berjaya mengeratkan ikatan ukhuwah antara kakitangan Akademi Bahasa serta melahirkan semangat berpasukan yang tinggi dan produktif.  Rata-rata maklumbalas yang diberikan adalah bersifat positif dan memberangsangkan. Akhir kata, setiap staf telah menunjukkan tahap penglibatan yang aktif sepanjang kursus berjalan dan hal ini sememangnya mampu memberi impak positif terhadap tahap motivasi dan budaya kerja secara berpasukan mereka.

 

Disediakan oleh: Nur Shamsinar Ramli, Nur-al Huda Hashim, Nor Aqilah Abdullah, Abid Zulfadhli Razali, Kang Myoung Sook

Explore More