Disember 2, 2024

Search
Close this search box.

200 peserta komuniti Sungai Melayu dan Sungai Pendas meriahkan Program Hari Sungai Sedunia 2023

JOHOR BAHRU, 24 Sept– Kira-kira 200 orang peserta termasuk penduduk sekitar Sg Melayu dan Sg Pendas,  Iskandar Puteri telah hadir memeriahkan program Hari Sungai Sedunia 2023 Bersama Komuniti Sungai Melayu dan Sungai Pendas anjuran Pejabat Kelestarian Kampus, Universiti Teknologi Malaysia (UTMCS) dengan kerjasama Yayasan Johor Corporation (JCorp) dan Majlis Perbandaran Iskandar Puteri (MBIP).

Pengarah UTMCS merangkap Pengarah Program, Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din berkata penganjuran sambutan Hari Sungai Sedunia berkesan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan memelihara sumber air.

Prof. Fadhil berkata ia juga mampu mengubah mentaliti masyarakat supaya lebih peka terhadap kesan buruk dihadapi jika melakukan pencemaran sungai .

“Sungai adalah sumber utama bekalan air minuman dan kehidupan seluruh dunia sejak dari dulu lagi, maka sambutan ini dilihat sebagai satu agenda pengiktirafan sungai sebagai salah satu aspek penting dalam kehidupan dan pembinaan tamadun manusia.

“Ia selaras usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di peringkat global bagi program berkaitan air termasuk akses kepada air dan kumbahan yang selamat, peningkatan ekosistem serta sumber air selain mengurangkan risiko bencana seperti banjir dan kemarau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Hari Sungai Sedunia 2023 di Dewan Raya Kg Sungai Melayu yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad (dua kiri) menandatangani plak perasmian sebagai tanda pembukaan rasmi Program Hari Sungai Sedunia 2023 di Dewan Raya Kampung Sungai Melayu. Turut serta adalah Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus UTM, Prof. Ir. Dr. Fadhil Md Din ( kiri paling kiri).

Turut hadir adalah Pengurus Besar Yayasan Johor Corporation (JCorp), Puan Wan Su Ali dan juga Ahli Majlis Zon Kota Iskandar MBIP, Tuan Haji Yusof Ahmad.

Terdahulu, Prof. Fadhil mengiringi tetamu kehormat, YB Datuk Pandak Ahmad menyertai aktiviti gotong royong membersihkan sampah di Sungai Melayu bersama dengan penduduk sekitar  serta melawat kawasan pameran yang berlangsung di tempat itu.

Datuk Pandak Ahmad bergambar bersama peserta sewaktu aktiviti Kutip Sampah di Sungai (KUSAI).

Terdapat dua aktiviti pembersihan yang dijayakan iaitu Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) dan Kutip Sampah di Sungai (KUSAI). Sebanyak 281.2 kilogram sampah yang terdiri dari bahan buangan plastik telah berjaya dikutip sepanjang program ini.

Sambutan Hari Sungai Sedunia tahun ini mengangkat tema ‘Negara Madani, Sungai Lestari’ mengambil kira tuntutan peranan masyarakat termasuk pemain industri dalam melestarikan sungai dan alam sekitar.

Bagi memastikan kelestarian sungai sentiasa terpelihara, Yayasan JCorp bersama penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan melaksanakan tujuh modul kelestarian sungai yang dijangka akan berlangsung secara berperingkat dan akan berakhir pada 15 Oktober 2023.

“Modul ini sesuai dipraktikkan di semua peringkat komuniti, pelajar sekolah, persatuan dan koperasi. Menariknya program ini bukan sahaja akan dijalankan di Kampung Sungai Melayu, malah turut melibatkan komuniti di Kampung Sungai Pendas.

“Kedua-dua sungai ini dipilih kerana mempunyai keunikan dan persamaan dari aspek biodiversiti, ekosistem dan kekayaan sumber semulajadinya. Komuniti kampung Sungai Melayu dan Sungai Pendas juga mempunyai banyak persamaan dari aspek sosio-ekonomi,’” katanya lagi.

Peserta menunjukkan beg sampah yang digunakan dalam aktiviti Kutip Sampah di Sungai (KUSAI).

Menurut Prof. Fadhil lagi, modul yang bakal diperkenalkan ini perlu diberikan perhatian serius kerana lokasi kedua sungai ini terletak dalam kawasan yang dikelilingi oleh pembangunan dan kadar urbanisasi yang tinggi.

‘“Semua pihak perlu memberikan kerjasama yang sewajarnya dan mempraktikkannya kerana inisiatif yang dijalankan ini bukan sahaja untuk kita pada hari ini malah berpanjangan untuk generasi akan datang,”’ katanya lagi.

Program ini juga turut menerima sokongan dari rakan-rakan strategik yang terdiri dari SWCorp Malaysia, Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, Iskandar Investment Berhad (IIB), Coca Cola Malaysia, Koperasi Sungai Melayu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sg. Melayu dan Kg Ladang, Kelab Alami Mukim Tanjung Kupang, Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim, SMK Bukit Indah, SK Sg. Melayu, SK. Pendas Laut, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Kota Iskandar.

Datuk Pandak Ahmad (dua kiri) melawat gerai pameran Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru di Dewan Raya Kampung Sungai Melayu sejurus selepas perasmian program Hari Sungai Sedunia 2023.
Datuk Pandak Ahmad (tiga kiri) menyertai aktiviti Kutip Sampah sambil Riadah (KUDAH).

 

 

Explore More