Mei 19, 2024

Search
Close this search box.

ARAU, 9 Sept. – Pasukan Catur Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempamirkan aksi cemerlang di Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) Malaysia 2023 apabila berjaya meraih pingat Perak bagi acara Catur Berpasukan campuran yang terdiri daripada 4 pemain lelaki dan 3 pemain wanita. SUKANUN 2023 edisi ke-12 kali ini berlangsung dari 4 hingga 9 September 2023 di Arau, Perlis.

Pasukan Catur UTM diketuai oleh Azri Hohad selaku pengurus pasukan. Empat pemain lelaki adalah Nasrul Humaimi Mahmood, Mohd Haizal Jamaluddin, Koh Meng Hock dan Md Razib Karno manakala tiga pemain wanita terdiri daripada Rashidah Arsat, Siti Marlia Abd Rahim dan Syafiqah Saidin.

Lebih manis, SUKANUN kali ini merupakan kali pertama disertai oleh Pasukan Catur UTM di mana terpaksa berdepan dengan beberapa pasukan gergasi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpr (DBKL), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sebanyak 16 pasukan yang bertanding bagi acara catur kali ini. Pada pusingan pertama, UTM telah berjaya mengikat pasukan LHDN dengan mata (3.5-3.5). Menyedari ketinggalan satu mata di belakang pencabar terdekat, UTM bangkit menewaskan UTEM dengan keputusan (5.5-1.5).

Memasuki pusingan ketiga dan keempat, UTM terus mengekalkan kemenangan apabila berjaya menewaskan pasukan KWSP (4-3) dan DBKL (4.5-2.5). Debaran kian terasa apabila pada pusingan kelima UTM berhadapan dengan pasukan UiTM di mana kedua-dua pasukan masih belum tewas sehingga pusingan kelima. Selepas bertarung hampir 4 jam, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi mata (3.5-3.5).

Pada dua pusingan terakhir, UTM terus mengekalkan kemenangan apabila berjaya menewaskan IIUM dipusingan keenam (4.5-2.5) dan DBKL pada pusingan ketujuh (4.5-2.5). Selesai tujuh pusingan, pasukan UTM dan UiTM terikat dengan 12 mata iaitu dengan 5 kemenangan, 2 seri dan tiada kalah.

Nasib tidak menyebelahi UTM apabila terpaksa akur di tempat kedua kerana Tie-Break yang sedikit rendah daripada UiTM. Sementara itu, pingat gangsa bersama dimenangi oleh DBKL dan KWSP.

Menurut pengurus, kejayaan ini merupakan pencapaian terbaik Pasukan Catur UTM selepas berjaya dalam beberapa siri Sukan Antara Universiti Malaysia (SUKUM) sebelum ini, di mana pada tahun ini tidak dipertandingkan. Selain daripada acara catur, UTM juga menyertai acara bolasepak dan tenpin boling.

 

Sesi Penyampaian Hadiah : UTM raih pingat perak.

 

Pusingan Keenam : UTM bertemu dengan IIUM.

 

Pusingan Ketiga : UTM bertemu dengan KWSP.

 

Pasukan Catur Staf UTM.

Explore More