April 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Komuniti Jentayu, Kangkar Pulai menzahirkan sambutan Hari Malaysia menerusi Program Lestari Merdeka 2023.

Program ini menjadi bukti kukuh sinergi padu dan jitu merentas Agensi, Universiti, Komuniti dan Industri (GUCI) dalam mengangkat agenda kelestarian dan kemakmuran masyarakat setempat.

Dalam program tersebut, pihak UTM dan MBIP bersama-sama penduduk berganding bahu melaksanakan aktiviti membina batas tanaman di samping melakukan kerja-kerja penyelenggaraan rumah hijau di komuniti tersebut.

ADUN Kota Iskandar bersama-sama pelajar antarabangsa UTM dan komuniti Jentayu membuat batas tanaman.

Hadir bersama dalam program ini adalah ADUN Kota Iskandar, YB Datuk Pandak Ahmad; Wakil MBIP, En. Hassan Kadir; Wakil Rasmi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, En. Arman Md. Yasin; Pengasas Bersama Holistics Lab Sdn. Bhd., Ts. Dr. Zuhra Junaida Mohamad Husny Hamid; Pengerusi Perbadanan Jentayu, En. Hadzil Kasmani, Wakil Pertubuhan Komuniti Jentayu, Pn. Zainelah Md Zin dan Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim.

Manakala, delegasi UTM turut diperkasakan dengan kehadiran Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus (UTM CS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din, wakil Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN), pegawai UTM International bersama 10 orang pelajar antarabangsa dari Yaman, dan pelajar-pelajar Kolej Tun Hussein Onn (KTHO).

Sementara itu, ADUN Kota Iskandar, YB Datuk Pandak Ahmad memuji inisiatif penganjuran program ini dah berharap usaha ini dapat diperluaskan di komuniti-komuniti lain di DUN Kota Iskandar.

Antara penduduk di Komuniti Jentayu yang menerima sumbangan bakul makanan.

“Sememangnya kita memerlukan kepakaran UTM terutama dalam merealisasikan agenda Iskandar Puteri Rendah Karbon. Saya berharap inisiatif yang digerakkan oleh Komuniti Jentayu ini menjadi contoh kepada komuniti-komuniti lain,” jelas beliau dalam ucapan perasmian program.

Dalam majlis ini, seramai 50 orang penduduk dan peserta turut menerima sumbangan berbentuk bakul makanan dan wang tunai hasil tajaan Holistics Lab Sdn. Bhd.

Antara penduduk Komuniti Jentayu yang menerima sumbangan berupa wang tunai.

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal & Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim

Explore More