Mei 7, 2024

Search
Close this search box.
Pemantauan dos kawasan dan punca radioaktif

UTM laksana program latih amal dan pengujian Pelan Kecemasan Radiologi

JOHOR BAHRU, 19 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pejabat Persekitaran, Keselamatan, dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) (Unit Sinaran dan Biokeselamatan) melaksanakan program latih amal kecemasan radiologikal bagi melatih respons kecemasan dalaman sekiranya berlaku kecemasan.

Program latih amal ini bertujuan menguji kesiapsiagaan semua kakitangan UTM yang mengendalikan bahan radioaktif dalam menangani kejadian kecemasan radiologikal di samping memberi pendedahan dan persediaan menangani situasi kemalangan dan kecemasan yang melibatkan bahan radioaktif.

Para peserta didedahkan dengan situasi kehilangan punca radioaktif sepanjang program latihan yang berlangsung di Makmal Fizik Nuklear, UTM.

UTM selaku pemegang lesen yang menjalankan aktiviti pengajaran dan penyelidikan yang melibatkan punca radioaktif telah menyediakan Pelan Kecemasan Nuklear dan Radiologikal yang telah diterima pakai sejak 3 Februari 2016.

Proses nyahcemaran kawasan
Proses nyahcemaran kawasan.

Penyediaan pelan ini adalah selaras dengan Peraturan-Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010, P.U.(A) 46 yang menyatakan keperluan setiap pemegang lesen menyediakan Pelan Kecemasan Radiologi. Pelan ini bertujuan untuk memastikan adanya program kesiapsiagaan semasa berlaku kecemasan radiologi dan garis panduan perlindungan kepada orang awam tentang punca radioaktif yang boleh memudaratkan dan mendatangkan bahaya.

Pelan ini hendaklah diuji dari semasa ke semasa dengan mengadakan latihan bersama Atom Malaysia bagi setiap lima (5) tahun atau latihan dalaman sekurang-kurangnya satu (1) kali dalam tempoh lesen aktif.

UTM komited dalam memastikan tahap keselamatan di kemudahan penstoran punca radioaktif dan lokasi punca radioaktif dikendali berada di tahap yang terkini dan tidak akan berkompromi dalam penyediaan latihan serta peruntukan yang melibatkan keselamatan dan sekuriti bahan radioaktif.

Pemantauan dos kawasan dan punca radioaktif
Pemantauan dos kawasan dan punca radioaktif.

Menurut Dr. Nor Ezzaty Ahmad, Timbalan Pengarah (Sinaran dan Biokeselamatan), latih amal yang dijalankan ini merupakan respon kendiri sepenuhnya untuk menguji keupayaan kakitangan UTM yang terlibat dalam pengendalian bahan radioaktif di samping dapat meningkatkan kompetensi mereka. Tahap kompetensi ini amat penting dalam memastikan UTM bersiap sedia dengan langkah yang wajar dan sesuai untuk menghadapi sebarang kecemasan radiologikal di UTM.

“UTM adalah universiti pertama di negeri ini yang mengambil inisiatif sebegini dalam memastikan keselamatan dan sekuriti bahan radioaktif,” tambah beliau.

Sehubungan itu, UTM telah bersetuju mengambil inisiatif untuk menjalankan program ini dengan kerjasama penuh daripada kakitangan Bahagian Keselamatan UTM dan Pusat Kesihatan UTM. Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia.

Dengan perlaksanaan program ini, UTM dapat menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan keselamatan, sekuriti dan keamanan penggunaan teknologi berasaskan nuklear di Malaysia amnya serta memberikan impak dan peningkatan kompetensi kakitangan UTM khasnya.

 

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat semasa program
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat semasa program.

Explore More