Mei 7, 2024

Search
Close this search box.

Sains Sukan UTM bidang menarik sambung pengajian

Sains sukan adalah satu bidang sains yang mengkaji respons manusia terhadap aktiviti fizikal. Bidang sains sukan ini merangkumi anatomi dan fisiologi, biomekanik, rehabilitasi dan lain-lain topik seperti pemakanan, pengurusan sukan, sosiologi, dan psikologi dalam sukan.

Sains sukan merupakan satu bidang khas yang dipelajari untuk melatih seseorang supaya menjadi cergas dan cerdas dalam melakukan satu permainan ataupun aktiviti. Sains sukan juga satu bidang yang sepenuhnya  untuk meningkatkan prestasi seorang atlet. Malahan ia membantu memahami tindak balas badan manusia seperti organ, sistem saraf, sistem otot, dan tenaga dalam badan semasa melakukan sesuatu sukan. Dalam konteks yang lain, pendidikan jasmani adalah satu amalan untuk meningkatkan teknik kesukanan, manakala sains sukan adalah bertujuan menyampaikan ilmu tentang perkaitan badan dan sukan.

 

Contoh Aktiviti Fisiologi Sukan iaitu Ujian V02max.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Sains Sukan) kepada pelajar yang ingin menceburi bidang tersebut. Syarat kemasukkan UTM bagi jurusan sains sukan ialah mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.50 pada peringkat STPM dan mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) pada peringkat STPM dalam mana-mana dua mata pelajaran. Selain itu, mendapat sekurang-kurangnya kepujian (Gred C) pada peringkat SPM dalam mata pelajaran seperti matematik, sains, sejarah dan juga bahasa melayu.

UTM menawarkan jurusan sains sukan selama tempoh 4 tahun bersamaan dengan 8 semester. Pelajar Ijazah Sarjana Sains Serta Pendidikan (Sains Sukan) akan menjalani latihan industri selama 3 bulan dan latihan mengajar selama 6 bulan (1 semester). Kelebihan daftar sebagai  pelajar sains sukan UTM ialah jurusan yang ditawarkan adalah sains dengan Pendidikan serta pelajar akan mempelajari subjek teknologi seperti Teknologi Pendidikan dan subjek Inovasi dan Teknologi Sukan kerana berada di dalam Universiti Teknologi Malaysia, iaitu universiti kejuruteraan yang terulung di Malaysia. Cabang pekerjaan juga semakin meluas disebabkan jurusan yang ditawarkan ialah Pendidikan. Pelajar boleh memilih untuk menjadi guru atau berkerja di dalam bidang industri sukan.

 

Fasiliti Sukan di UTM seperti Kolam Renang & Stadium UTM.

Bagi mereka yang mengambil jurusan sains sukan tidak perlu risau mengenai fasiliti dan kemudahan sukan di UTM Johor Bahru kerana banyak yang telah disediakan. Antara fasiliti dan kemudahan sukan yang berada di UTM adalah kemudahan dewan seperti Sports Hall 1 dan Sports Hall 2. Di dalam Sports Hall 1, fasiliti yang disediakan adalah gelanggang badminton, bola tampar, ping pong, takraw, skuasy, gimnasium dan lain-lain. Manakala Sports Hall 2 pula mempunyai gelanggang serbaguna dan ruangan aktiviti yang boleh digunakan pelbagai sukan, sebagai contoh latihan untuk sukan bola jaring dan bola tampar.

Selain itu, terdapat kemudahan padang dan gelanggang untuk mereka yang ingin bermain sukan padang. Contohnya , padang bola sepak dan ragbi, padang bola sepak dan padang aktiviti, gelanggang pentanque, tapak perkhemahan dan lapang sasar memanah. Bagi setiap kolej kediaman pula, telah disediakan fasiliti sukan yang membolehkan mahasiswa meluangkan masa pada waktu petang untuk bermain sukan sekiranya tidak ingin berlatih di tempat latihan utama pasukan UTM. Tidak lupa juga, UTM mempunyai kemudahan rekreasi ekopelancongan seperti hutan rekreasi, tasik, dusun, balai cerap, taman rusa dan pelbagai lagi. Kemudahan rekreasi ini membolehkan pelajar untuk berehat setelah menelaah pelajaran di kawasan hijau UTM.

 

Antara pensyarah-pensyarah Sains Sukan di UTM.

Pelajar yang mengambil jurusan sains sukan bukan sahaja belajar tentang sains sukan malahan pelajar juga didedahkan juga dengan subjek IT. Pelajar boleh membuat penyelidikan ataukerja projek yang dapat membantu meningkatkan kualiti sukan di negara ini dengan menggunakan aplikasi teknologi seiring dengan Industri Revolusi 4.0.

Pelajar juga boleh meningkatkan pengetahuan tentang peralatan yang berteknologi tinggi yang terdapat di dalam makmal sukan UTM. Pensyarah-pensyarah sains sukan UTM juga merupakan pensyarah yang berpengalaman luas kerana telah menjalani latihan industri selama setahun dan pakar bidang yang tertentu di mana merupakan tenaga pengajar utama bagi kursus sains sukan peringkat kebangsaan. UTM juga menawarkan Master of Philosophy (Generic) dan Doctor of Philosophy Sports Science, Exercise and Movement. UTM juga bakal menawarkan program Diploma Kejurulatihan Sukan untuk Akademi JDT – UTMSPACE dan program Sijil Profesional Teknologi dan Inovasi Sukan ISN – UTMSPACE pada tahun 2024.

Universiti Teknologi Malaysia merekodkan kadar kebolehpasaran graduan tertinggi dalam negara bagi sebuah universiti awam pada tahun lalu iaitu sebanyak 98 peratus. Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 31.2 peratus direkodkan sebagai peratusan graduan yang menerima gaji premium RM4,000 dan ke atas.  Menurut beliau, statistik itu menunjukkan graduan universiti itu sentiasa menjadi pilihan pihak majikan dan industri atas kebolehan mereka. UTM juga telah menerima penarafan enam bintang sebagai ‘employer preferred university‘ dan juga penarafan lima bintang dalam pelbagai sektor berkaitan teknologi. Pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh Pihak HEP UTM dan Unit Kerjaya UTM dalam memastikan pelajar UTM sentiasa mempunyai nilai keusahawanan seperti job creator berbanding job seeker.

 

Karnival Kerjaya UTM.

 

Secara tuntasnya, UTM adalah merupakan destinasi utama pilihan anda untuk menyambung pengajian di menara gading. UTM bukan sahaja berdekatan dengan Singapura malahan berdekatan Indonesia. Walaupun UTM jauh di zon Selatan akan tetapi ia berada di tempat yang strategik iaitu ‘Bermuda Triangle Pelancongan’. UTM menyediakan ruang yang kondusif dan suasana yang kontemporari bagi memberi keselesaan kepada pelajar dan warga UTM.

 

Oleh Noorafham Bin Noorazman, Gagulaan A/L Ravintharan danTs Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

Explore More