Mei 6, 2024

Search
Close this search box.

Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir dilantik sebagai Dekan Fakulti Sains UTM baharu

JOHOR BAHRU, 10 Sept. – Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir dengan rasminya telah dilantik sebagai Dekan bagi Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu berkuat kuasa pada 1 September 2023.

Prof. Madya Dr. Shafinaz sebelum ni merupakan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) di fakulti sama selama lebih kurang dua tahun. Sebelum beliau menjawat posisi sebagai Timbalan Dekan berkenaan beliau juga merupakan Pengarah di Jabatan Biosains.

Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Biokimia dari Imperial College London, United Kingdom, beliau meluaskan horizon kepakarannya dalam bidang Bioteknologi Persekitaran yang melibatkan penyelidikan berkaitan bioteknologi, mikrobiologi, rawatan air sisa, dan sebagainya.

Memulakan kerjaya di UTM sebagai Pensyarah di Fakulti Sains sejak 1998 membuktikan semangat beliau untuk sentiasa membawa pendidikan tinggi ke tahap yang lebih baik terutamanya dalam bidang Sains menjadi fokus utama dan terus mekar sepanjang perkhidmatannya di UTM selama 25 tahun.

Selain itu, ketokohan pentadbiran Prof. Madya Dr. Shafinaz telah mula menyinar apabila mula dilantik sebagai Ketua Jabatan (Sains Biologi) pada 2008, seterusnya menyaksikan beliau bersilih ganti menyandang jawatan pentadbir di tiga fakulti berbeza iaitu Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan dan juga Fakulti Sains sebelum kini  menerajui Fakulti Sains sebagai Dekan.

Justeru, pelantikan ini dilihat menjadi simbolik kepada keyakinan Universiti terhadap kepimpinan Prof. Madya Dr. Shafinaz dalam meneruskan kecemerlangan Fakulti Sains dalam menawarkan pendidikan bidang sains yang berimpak tinggi demi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang ini di bukan sahaja di arena tempatan malahan di persada antarabangsa.

Explore More