April 28, 2024

Search
Close this search box.

Menginovasi Penyelesaian menerusi aplikasi biomekanik dalam memartabat sukan di Malaysia

Menurut Watkins (1999), biomekanik ialah kajian daya yang bertindak ke atas objek dan kesannya kepada pergerakan, bentuk, saiz dan struktur. Menurut Hay (1985), biomekanik ialah kajian tentang tindakan daya dalaman dan luaran pada tubuh manusia dan kesan yang dihasilkan melalui tindakan tersebut.

Biomekanik sukan ialah suatu kajian kuantitatif terhadap daya gerakan para atlet sukan profesional serta bidang-bidang sukan tertentu. Secara mudah, bidang ini boleh diambil kira sebagai bidang fizik dalam sukan.

Selaku sub bidang biomekanik dalam sains sukan, hukum-hukum mekanik digunakan untuk memperoleh pemahaman yang lebih baik berkenaan pergerakan dan prestasi atlet melalui pemodelan matematik, simulasi dan pengukuran.

Ini termasuk bidang statik: kajian sistem (objek) yang pegun atau dalam halaju tetap; dan dinamik: kajian sistem yang memecut, yakni semakin laju per masa. Ini boleh melibatkan kinematik, kajian gerakan objek tanpa mengira daya, dan kinetik, kajian berkenaan daya di sebalik gerakan objek.

Pakar biomekanik sukan membantu para atlet meningkatkan prestasi sukan melalui aplikasi penggunaan pergerakan fizikal yang ideal dan optimum. Pakar bidang biomekanik sukan bukan sahaja dapat membantu atlet mencapai kecemerlangan malah dapat melindungi badan atlet daripada kecederaan.

Sebagai contoh, bola sepak merupakan suatu permainan yang di gemari di seluruh dunia dan sukan ini merupakan sukan nombor satu dunia begitu juga di Malaysia.

Setelah dikaji, pemain bola sepak negara masih lemah dari segi teknik tendangan. Teknik tendangan kekura kaki merupakan teknik tendangan yang kerap kali di gunakan dalam sukan bola sepak bagi tujuan hantaran pendek dan tepat serta ketika melakukan jaringan.

Kajian telah di jalankan bagi mendapatkan nilai optimum bagi arah sudut larian dan jarak kaki sokongan daripada bola serta tekanan dalaman bola terhadap halaju sudut pada bahagian kaki yang menendang. Seramai enam orang subjek menggunakan kaki dominan kanan dan bebas daripada sebarang kecederaan dari pelbagai kategori telah di pilih sebagai subjek dalam kajian ini.

Pengumpulan data dilakukan dengan mengambil gambar dan video 3D yang di fokuskan pada bahagian bawah badan iaitu dari paras pinggang ke buku lali. Analisis statistik, menggunakan perisian Minitab dengan mendapatkan kaedah tindak balas permukaan melalui rekabentuk Box-Behnken telah digunakan.

Persamaan model matematik yang mempengaruhi setiap faktor tendangan terhadap halaju sudut pada bahagian kaki yang menendang telah berjaya ditentukan melalui kajian tersebut (Mohd Firdaus,2006).

Selain itu, jika di lihat pada sudut penggunaan biomekanik sukan di peringkat negeri pula, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) memainkan peranan besar dalam memperkasakan penggunaan sains sukan seperti aplikasi Biomekanik Sukan.

MSNJ juga telah mendapatkan kepakaran Institut Sukan Negara (ISN) untuk memperkasakan program pembangunan sukan negeri melalui kaedah sains sukan. Menyedari cabaran sukan moden yang bergelut menghasilkan atlet berkualiti yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Majlis Sukan Negeri Johor mengorak langkah tampil dengan deraf pembangunan atlet yang dikenali sebagai Program Titanium 20 (T20) bagi memantapkan program pembangunan atlet di negeri itu menjelang giliran selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2020 yang lalu.

MSNJ telah melakukan kunjung hormat ke ISN untuk melihat sendiri perkhidmatan sains sukan dan perubatan sukan yang telah di berikan kepada atlet-atlet negara seperti melawat ke bahagian terapi dan rehabilitasi sukan, biomekanik sukan dan suaian fizikal sukan.

ISN menyediakan pelbagai jenis peralatan teknologi moden untuk menguji kebolehan dan memantau prestasi atlet Negara. Hasil lawatan tersebut, MSNJ telah menggunakan aplikasi sains sukan seperti  aplikasi biomekanik dalam sukan dan berjaya muncul JUARA SUKMA pada tahun 2022.

Manakala di peringkat UTM pula, Sports Innovation Technology Centre (SITC UTM) memainkan peranan utama dalam menguji aplikasi biomekanik sukan kepada atlet. Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan Universiti Teknologi Malaysia (SITC UTM) merupakan sebuah pusat kajian yang melakukan penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan sains, inovasi dan teknologi sukan di selatan tanah air.

Kini SITC UTM telah menjadi salah satu pusat penyelidikan rujukan oleh pemain utama industri sukan di Malaysia seperti ISN, MSN, KBS, KPT, Persatuan Persatuan Sukan Negeri dan Kebangsaan.

SITC UTM di tubuhkan dan di asaskan oleh Prof. Dr. Abdul Hafidz Hj Omar dengan matlamat utama memberikan khidmat penyelidikan yang pelbagai dalam bidang sukan seperti aplikasi biomekanik sukan. Kajian biomekanik sukan adalah sangat penting untuk meningkatkan tahap prestasi atlet terutama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara kajian kajian saintifik biomekanik sukan yang pernah di lakukan dalam bidang biomekanik sukan UTM adalah  seperti Aplikasi Teknik Mendayung yang optimum bagi atlet rowing kebangsaan, Aplikasi Teknik Lompatan dan Mendarat untuk Atlet Sukan Bekuda di UTM, Kaedah dan Teknik Biomekanik Sukan yang optimum bagi aktiviti sukan kombat dan pelbagai lagi. Kesemua aktiviti kajian ini berlangsung di dalam Lab Biomekanik Sukan UTM yang menggunakan VICON MOTION ANALYSIS SOFWARE.

Terdapat beberapa manfaat kepada atlet dan jurulatih apabila menginovasi penyelesaian masalah atlet sukan melalui aplikasi biomekanik sukan yang optimum. Manfaat biomekanik sukan bagi atlet ialah meningkatkan kualiti pergerakan, pemahaman tentang postur badan dan teknik yang lebih berkesan, mengurangkan risiko kecederaan, peningkatan kesedaran dan pengawalan diri serta pemahaman tentang batasan serta kemampuan tubuh badan manusia. Secara tuntasnya, ilmu biomekanik sukan merupakan salah satu jenis ilmu yang penting bagi atlet dan jurulatih sukan kerana akan membuat para atlet sedar akan kesalahan dan keberkesanan setiap gerakan yang mereka lakukan dalam sukan. Dengan ilmu ini akan memberikan pengetahuan dan menginovasi penyelesaian masalah  untuk mengembangkan potensi atlet agar dapat menghasilkan prestasi yang terbaik dan mencapai kemenangan dalam pertandingan.

Oleh: Gogulaan A/L Ravintharan dan Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

 

Explore More