Julai 27, 2024

Search
Close this search box.

Menginovasi penyelesaian masalah terapi dan rehabilitasi sukan di Malaysia

Kecederaan sukan boleh berlaku kepada semua peringkat umur tidak kira lelaki atau wanita yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Terdapat banyak jenis kecederaan sukan yang mungkin berlaku sebelum, semasa dan selepas melakukan aktiviti sukan. Namun sudah semestinya bagi sesiapa yang mengalami kecederaan sukan, tidak dapat meneruskan aktiviti sukan disebabkan oleh masalah atau kesakitan yang di alami. Antara kecederaan yang sering dialami oleh seseorang atau atlet adalah seperti kecederaan ligamen ACL, Shin Splints, Ankle Sprain, Groin Pull, Hamstring Strain dan Tennis Elbow.

Perkhidmatan Fisioterapi dan Rehabilitasi Sukan di Institut Sukan Negara menyumbang sebahagian besar kepada proses rawatan kecederaan sukan kepada atlet-atlet yang mengalami kecederaan terutamamanya kepada atlet Negara. Bagi memenuhi keperluan setiap atlet secara individu, fisioterapis menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh secara berpasukan bersama dengan pakar perubatan sukan seperti doktor, jururawat, pembantu perubatan, juru urut sukan dan lain-lain professional termasuklah penglibatan secara saintifik pakar-pakar sains sukan dalam pengurusan kecederaan sukan.

 

Seperti yang kita ketahui, atlet berprestasi tinggi ini menjalani latihan yang berterusan dan berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan. Oleh sebab itu, fisioterapi akan menyediakan penilaian terperinci berdasarkan kepakaran, kajian terkini melibatkan rawatan dan rehabilitasi yang lebih efektif serta pendidikan kepada atlet dalam mencegahan kecederaan sukan bagi memastikan mereka bebas daripada kecederaan dan cergas untuk latihan dan pertandingan.

Selain itu, fisioterapi juga merupakan rakan sepasukan dalam memberi perkhidmatan perlindungan perubatan “on-field” kepada atlet-atlet yang bertanding di dalam dan luar Negara. Mereka juga menitikberatkan langkah-langkah awal pengurusan asas rawatan kecederaan kepada atlet bagi memastikan atlet-atlet dapat beraksi dengan lebih cepat dan sempurna. Fisioterapi juga memastikan atlet telah betul betul pulih untuk kembali beraksi semula ini bagi mengelakan kecederaan lama berulang.

Untuk di Negeri pula, JW Sports & Physiotherapy adalah pusat fisioterapi sukan pertama di Johor Bahru  memberi perkhidmatan rawatan fisioterapi dan pemulihan untuk pesakit bukan sahaja kepada atlet profesional malah orang awam juga boleh mendapatkan rawatan terapi sukan.

Rawatan fisioterapi sukan bukan sahaja berfokus kepada rawatan kecederaan, ia juga termasuk senaman/latihan bagi meningkatkan prestasi sukan dan mencegah kecederaan sukan. Ia juga memastikan tahap kecergasan pesakit mencapai apa yang di rancangkan. Pesakit juga akan didedahkan dengan cara-cara untuk mengelakkan kecederaan semasa bersukan bagi mengurangkan risiko kecederaan berulang.

Pusat latihan JDT juga adalah merupakan salah satu contoh yang terbaik di ASIA kerana berjaya menyediakan world class fasiliti terapi dan rehabilitasi kepada seluruh pemain JDT seperti kolam hidrotherapi, anti gravity treadmill dan lain-lain. Kewujudan fasiliti terapi dan rehabilitasi ini jelas telah membuktikan bahawa ia telah berjaya meningkatkan prestasi pemain JDT.

JDT telah mencapai era kegemilangan dalam sukan di Malaysia kerana percaya kepada kepentingan aplikasi kaedah saintifik sukan dalam latihan dan pertandingan sukan. Sehingga kini, JDT masih mengungguli segala kejuaraan sukan di Malaysia. Ini membuatkan kelab JDT terkenal di seluruh pelusuk dunia hasil kejayaan yang dikecapi di setiap pertandingan yang disertai.

Justeru itu, Sports Innovation dan Teknologi Centre UTM (SITC) ingin menginovasi penyelesaian masalah bersama pelajar Latihan Industri (Sains Sukan UTM) di bawah Kelab Sains Inovasi dan Teknologi Sukan UTM telah mengambil inisiatif iaitu ingin mewujudkan PUSAT SPA TERAPI DAN REHABILITASI SUKAN UTM (Sit & Chill Spa) pertama di dalam UTM Skudai.

Kawasan yang menjadi tumpuan utama untuk di bangunkan perniagaan tersebut adalah di Bangunan Persatuan Pelajar (SUB) di bawah kendalian Majlis Perwakilan Pelajar UTM. Hal ini demikian kerana kawasan tersebut merupakan kawasan strategik di mana tempat tumpuan orang ramai terutama warga UTM. Projek Spa Terapi dan Rehabilitasi Sukan UTM ini akan memberi manfaat kepada warga UTM untuk menjalani pemulihan badan melalui kaedah terapi dan rehabilitasi sukan.

Ia juga membuka peluang kepada pelajar sains sukan dan kursus lain untuk bekerja secara part time sebagai JURUTERAPI  dan pada masa yang sama mempraktikkan ilmu sains sukan dan sains kesihatan yang telah dipelajari dalam UTM.

 

Kewujudan pusat spa terapi dan rehabilitasi sukan UTM ini akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak terutama di dalam bidang kecergasan dan kesihatan. Ia menggunakan kepakaran dalaman dan memberi perkhidmatan kepada pihak komuniti masyarakat setempat seperti kelab kelab sukan sedia ada di sekitar Johor.

Secara tidak langsung, menunjukkan pelajar UTM boleh menginovasi penyelesaian masalah dengan berkongsi ilmu terapi dan rehabilitasi sukan yang dipelajari semasa belajar. Perancangan pembukaan pusat spa terapi dan rehabilitasi sukan UTM ini, juga akan memberi ruang kepada mana mana pasukan negeri Johor untuk mendapatkan perkhidmatan secara saintifik dan harga mampu milik.

Kesimpulannya, terapi dan rehabilitasi sukan adalah satu kaedah saintifik yang membantu pemulihan badan secara berkesan. Diharapkan usaha murni ini disokong oleh semua pihak kerana banyak manfaat yang akan diperoleh jika ia dapat dilaksanakan.

Oleh: Noorafham Bin Noorazman  dan Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM)

 

 

 

.

 

Explore More