Mei 11, 2024

Search
Close this search box.

Menginovasi penyelesaian masalah dalam latihan kekuatan dan suaian fizikal

Latihan kekuatan dan suaian fizikal adalah amat diperlukan bagi para atlet. Kekerapan latihan menjamin peningkatan kecergasan fizikal. Adalah digalakkan untuk melakukan latihan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi seseorang individu untuk menjaga tahap kecergasan dan kesihatannya. Latihan hendaklah dilakukan secara sederhana pada peringkat permulaan dan menambahkan intensitinya menerusi program yang panjang setelah fisiologi tubuh badan benar-benar bersedia melakukan aktiviti yang dicadangkan oleh jurulatih. Latihan kekuatan dan suaian fizikal ini biasanya dilakukan di gimnasium oleh kerana kelengkapan yang lengkap yang ada di gimnasium. Latihan di gimnasium ini sudah pasti untuk menguatkan otot-otot fizikal badan untuk memastikan prestasi seseorang individu dalam sukan dapat ditingkatkan dan berada pada tahap optimum.

Di Malaysia, latihan kekuatan dan suaian fizikal ini di lakukan dan tertumpu khususnya kepada para atlet. Kebanyakan atlet-atlet di Malaysia dipantau oleh jurulatih di Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan prestasi mereka dalam sukan bertambah baik dari semasa ke semasa. Jurulatih di ISN ini melakukan kajian literatur, pemerhatian latihan serta berkomunikasi dengan atlet dan jurulatih bagi memahami tentang keperluan fizikal suatu sukan tersebut. Pemantauan berkala juga telah di lakukan ke atas para atlet Malaysia bertujuan untuk mengukur dan mengesan kualiti program kekuatan dan suaian fizikal supaya berkesan dan mencapai matlamatnya. Jurulatih-jurulatih di ISN juga sentiasa menggunakan kemudahan gimnasium yang terdapat di pusat latihan tersebut bagi meningkatkan prestasi atlet Negara. Di ISN, gimnasium berfungsi untuk meningkatkan keupayaan prestasi ke tahap maksimum, malah, ia ibarat ‘bengkel modifikasi fizikal’ untuk atlet.

                                                      Gim Institut Sukan Negara

Di Johor pula, latihan kekuatan dan suaian fizikal ini dilakukan secara terperinci mengikut sukan spesifik di The Cage Majlis Sukan Negeri Johor. Tujuan utama latihan kekuatan dan suaian fizikal ini dilakukan adalah bagi memfokuskan prestasi atlet-atlet SUKMA Negeri Johor. Terdapat pelbagai jenis perkhidmatan yang disediakan di The Cage Majlis Sukan Negeri Johor seperti psikologi sukan, pemakanan sukan, suaian fizikal sukan dan lain-lain. Dalam aktiviti kecergasan sukan, antara program yang dijalankan ialah ujian kecergasan, pemantauan fizikal atlet, melaksanakan sesi pemulihan (recovery) dan mengadakan sesi khidmat nasihat kepada para atlet. Aktiviti – aktiviti yang dijalankan oleh pihak The Cage Majlis SUKAN Negeri Johor adalah bertujuan menjaga prestasi para atlet yang akan mewakili Johor di sukan SUKMA 2024. Kepelbagaian latihan dan aktiviti yang dilakukan ke atas para atlet Johor ini adalah bertujuan untuk meningkatkan prestasi para atlet dari semasa ke semasa bagi sukan yang mereka sertai terutama kejohanan SUKMA 2024 di Sarawak. Kejohanan SUKMA penting adalah kerana bertujuan mencari bakat pelapis kebangsaan.

Gim The Cage Majlis Sukan Negeri Johor

Di UTM, terdapat tiga fasiliti gim yang disediakan. Pertama, di bangunan Stadium UTM, iaitu Gim Stadium Azman Hashim.  Kedua, gim di bangunan KTF Sports Hall 2 dan yang terakhir di Makmal Kecergasan Sains Sukan UTM.  Latihan kekuatan dan suaian fizikal ini akan dilakukan kepada para atlet sebelum mereka semua bertanding di sukan universiti. Para atlet akan berlatih untuk menguatkan otot di bawah kendalian jurulatih sukan masing masing.

 

                                      Makmal kecergasan Sains Sukan UTM

Salah satu contoh sukan di UTM yang menjalani latihan kekuatan dan suaian fizikal sebelum pertandingan adalah seperti sukan silat. Atlet-atlet sukan silat ini akan dipantau oleh jurulatih khas untuk melatih aktiviti gim mereka. Atlet-atlet silat ini mempunyai jadual latihan spesifik. Kebanyakan jadual latihan suaian fizikal atlet silat ini diadakan di Dewan Resak KTDI. Di dewan Resak KTDI, atlet-atlet silat ini akan melakukan aktiviti suaian fizikal, seperti mengangkat tayar, mengangkat tong air, agiliti ladder dan lain-lain. Latihan bebanan ini amat baik untuk melatih daya tahan kekuatan otot mereka dan kelajuan pergerakan badan semasa dalam pertandingan.

            Dewan Serbaguna KTDI UTM

Atlet atlet silat ini juga dijadualkan seminggu sekali untuk bermain gim di bangunan V01. Tujuan membuat latihan di gim pula ialah supaya fizikal badan bersedia menerima sebarang jenis pukulan dan tendangan, fizikal yang kuat mampu menghalang daripada kecederaan badan mudah berlaku dalam pertandingan. Konsistensi dalam bermain gim membantu menguatkan otot fizikal badan dan meningkatkan  tahap prestasi fizikal atlet dalam latihan. Jurulatih sukan silat sendiri turut menyatakan bahawa tahap kekuatan otot atlet silat semakin tinggi selepas mereka menjalani rutin bermain gim dan mengangkat beban di Dewan Resak KTDI.

                 Lab Strength and Conditioning V01 UTM

Umumnya mengetahui bahawa latihan kekuatan dan suaian fizikal ini dapat memberikan manfaat yang baik kepada tubuh badan dan juga prestasi sukan. Latihan bebanan yang dilakukan dapat meningkatkan daya tahan otot kepada yang lebih baik. Latihan fizikal juga dapat meningkatkan tahap kecergasan ke suatu tahap yanglebih baik. Perlakuan aktiviti fizikal yang kerap ini akan membuatkan badan mudah beradaptasi dengan suatu keadaan dan badan tidak mudah mengalami kecederaan.

                      Aktiviti Strength and Conditioning – Bicep Curl V01

Setiap atlet perlulah melakukan adaptasi latihan fizikal terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti fizikal yang berintensiti tingi. Penambahan bebanan yang dikenakan terhadap badan perlu lah dilakukan secara ansur maju dan progresif supaya badan dapat menerima beban kerja yang dikenakan dan tidak terkejut. Perlakuan latihan bebanan ini hendaklah berdarkan tiga prinsip iaitu intensiti latihan, jangkamasa latihan dan frekuensi latihan. Ini bagi meningkatkan prestasi otot  badan ke tahap yang optimum.

                    Pendaftaran Membership Gym V01

Tuntasnya, latihan kekuatan dan suaian fizikal adalah sangat penting kepada seseorang individu yang ingin meningkatkan tahap kecergasan dalam sukan. Latihan kekuatan dan suaian fizikal ini mestilah dilakukan oleh setiap atlet mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh jurulatih masing-masing. Latihan kekuatan ini tidak boleh dilakukan pada setiap hari dan tidak boleh dimulakan dengan intensiti yang sangat tinggi. Hal ini bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kecederaan terhadap badan. Setiap latihan kekuatan dan juga latihan fizikal yang dilakukan hendaklah berdasarkan kemampuan dan keupayaan individu itu sendiri dan jurulatih perlu menginovasi penyelesaian masalah latihan suaian fizikal berdasarkan kepada sukan spesifik mengikut keperluan fizikal sukan masing-masing. Apa yang pasti, latihan suaian fizikal adalah sangat penting demi kejayaan dalam sukan.

 

 

Explore More