Oktober 15, 2024

Search
Close this search box.

Menginovasi penyelesaian dalam konteks pengurusan strategik sukan di Malaysia

Pengurusan ialah proses menggunapakai peralatan dan sumber manusia untuk mencapai sesuatu objektif yang ditentukan manakala pengurusan sukan pula adalah satu bidang usaha profesional di mana wujud pelbagai karier pengurusan yang berkaitan dengan sukan. Pertumbuhan dan profesionalisasi sukan telah mendorong perubahan dalam penggunaan, pengeluaran dan pengurusan acara sukan dan organisasi di semua peringkat sukan.

Menguruskan organisasi sukan pada permulaan abad ke-21 melibatkan aplikasi teknik dan strategi yang jelas. Pertandingan seperti Olimpik, Piala Dunia untuk ragbi, kriket dan bola sepak, Liga Perdana Inggeris, Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) dan kejohanan Grand Slam untuk tenis dan golf mempunyai liputan yang luar biasa dan terperinci di peringkat dunia.

Selain menghadiri acara secara langsung di stadium, peminat juga boleh menonton acara ini melalui siaran percuma dan berbayar atau televisyen ataupun mendengar siaran di radio dan Internet. Selain itu masyarakat juga boleh membaca tentang analisis permainan, pemain dan pasukan kegemaran mereka melalui akhbar, majalah, ataupun media sosial.

Malaysia

Di Malaysia jika dapat kita lihat satu contoh utama yang penting dalam pengurusan sukan ialah program Latihan sukan. Program latihan ialah satu tatacara, prosedur atau panduan yang dihasilkan oleh jurulatih bagi melatih atlet dalam satu tempoh masa tertentu.

Oleh yang demikian, pengurusan program latihan dapat dinyatakan sebagai satu proses yang di rancang oleh jurulatih untuk melatih atlet di bawah kendaliannya dalam satu tempoh yang tertentu. Proses ini bermula daripada fasa persediaan, fasa pertandingan dan fasa transisi.

Proses ini bersamaan dengan Wee Eng Hoe (2006) yang menyatakan pengurusan program latihan ini terbahagi kepada tiga peringkat seperti yang telah disenaraikan. Terdapat beberapa aspek yang mendorong kepada kemenjadian atlet.  Aspek-aspek tersebut ialah seperti aspek program latihan, aspek strategi, aspek fasiliti dan kemudahan, dan aspek pengetahuan jurulatih.

Kepuasan kerja jurulatih dengan pengurusan program latihan yang terancang mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung yang akan menyebabkan seseorang atlet di bawah kendalian akan merasa puas dan positif.

Menurut Mallet (2003), jurulatih memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan atlet dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi meningkatkan prestasi atlet dalam sukan yang mereka ceburi.

Jurulatih juga mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam mewujudkan keseronokan dan kepuasan serta penyertaan berterusan atlet. Gaya kepimpinan dan kepuasan pemain yang semakin bagus akan meningkatkan komitmen pemain dalam sukan.

Oleh yang demikian, pengurusan program latihan yang dikendalikan seseorang jurulatih haruslah dapat memuaskan hati atlet sama ada program latihan semasa fasa transisi, fasa persediaan dan fasa pertandingan. Kepuasan seseorang atlet dalam latihan atau kejohanan yang disertainya bukan sahaja dipengaruhi faktor diri atlet sendiri tetapi juga oleh faktor lain.

Contohnya kejayaan Lee Chong Wei dan Rashid Sidek yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia dalam acara badminton (BWF, 2010), kemenangan Shalin Zulkifli dalam acara tenpin boling dan kecemerlangan Nicol Ann David mempertahankan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia dalam acara skuasy banyak di pengaruhi faktor kesungguhan pemain itu sendiri, dorongan dan motivasi daripada pakar psikologi sukan (Duda, & Nicholls, 2006; Shaharudin, 2005)  dan  pengurusan program latihan serta gaya kepimpinan yang diguna pakai oleh jurulatih (Chelladurai, 1984) semasa latihan sama ada offsite competition dan onsite competition.

Kejayaan demi kejayaan dan kekalahan demi kekalahan yang diperoleh pemain beregu badminton negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang mendapat pingat Emas di Sukan Asia, Doha, 2006, muncul sebagai Juara Terbuka Malaysia 2007, Juara All England 2007, Juara Terbuka Switzerland 2007 dan Juara Terbuka Denmark 2007, tewas di Sukan Olimpik 2008 (BWF, 2010) juga dipengaruhi gaya kepimpinan jurulatih, kepuasan kerja jurulatih dan pengurusan program latihan jurulatih (Anuar, 2010).

Johor

Johor Darul Ta’zim FC (JDT) adalah sebuah kelab bola sepak yang bukan saja paling menonjol di Malaysia tetapi turut mempunyai barisan pentadbiran yang menepati piawaian profesionalisme yang tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. JDT adalah contoh terbaik yang boleh di pelajari oleh kebanyakan kelab di Liga Malaysia.

Namun, mentaliti kita, bola sepak tidak dapat lari daripada sikap ego dan berlagak pandai yang lebih cenderung melihat kejayaan JDT daripada sudut negatif.

Sentimen pengaruh kuasa politik, yang telah lama menular dalam sistem pentadbiran bola sepak negara menjadikan mereka ini enggan merendah diri untuk belajar bagaimana Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletak kan JDT di mata bola sepak Asia.

Kepentingan aspek  pengurusan sukan yang strategik, fasiliti sukan yang baik, kepakaran aplikasi kaedah sains sukan, terapi dan rehabilitasi sukan dan lain lain perlu diperkasakan demi kejayaan sukan.

Diketuai oleh TMJ sendiri, JDT padat dengan gabungan kepakaran serta pengalaman tempatan dan antarabangsa. Bekas penyerang berbisa Australia, Alistair Edwards membantu TMJ sebagai Pengarah Sukan bahagian pembangunan, TMJ juga membawa ramai lagenda Malaysia yang diketuai oleh Wan Jamak Wan Hassan sebagai Ketua Pembangunan Belia, Solehan Mohd Som, Fazli Nayan, Hamzani Omar, Nasir Yusof, Mohd Sany Fahmi dan K. Sukumaran di samping pemain import kesayangan orang Johor sendiri satu ketika dulu iaiti Ervin Boban.

Barisan kejurulatihan di barisi oleh lagenda anak jati Johor sendiri jelas membuktikan penghargaan TMJ terhadap alumni pasukan sendiri , iaitu mereka yang mengabdikan diri kepada bola sepak negara dan Harimau Selatan. Pengalaman anak Johor ini tidak dibiar begitu saja oleh TMJ.

Kesemua mereka ini diberikan pendedahan antarabangsa hasil daripada kerjasama JDT dengan kelab terkenal seperti Borussia Dortmund, Sevillia dan berkemungkinan besar Barcelona atau Real Madrid. Jadi, di sini jelas dapat dilihat bahawa pengurusan sukan yang strategik adalah sangat penting bagi meningkatkan mutu sesuatu sukan dan menginovasi penyelesaian masalah dalam sukan.

UTM

Manakala di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula,  kita dapat mengambil contoh skuad berbasikal pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah berjaya mencipta kejayaan pada Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023.

Walaupun memiliki tujuh pelumba namun UTM meletakkan tiga pelumba utama dalam misi kali ini menerusi sasaran strategik pencapaian individu terutama pelajar UTM yang juga merupakan atlet negeri Johor dan bekas pelajar sekolah Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Kata pengurus pasukan basikal UTM, diakui sukar dengan penyertaan tiga pelumba ini untuk meraih kejayaan dalam saingan berpasukan berbanding pasukan lain yang memiliki ramai pelumba terhebat mereka. Apapun perjuangan UTM diteruskan dalam misi untuk merekodkan pencapaian terbaik pada edisi sulung yang disertai 16 pasukan menerusi hadiah keseluruhan bernilai RM40,000.

Walaupun kejuaraan tidak berpihak kepada UTM, namun UTM berjaya mendapat  tiga pingat iaitu Stage winner mendapat tempat ketiga, Kategori Raja Pecut mendapat tempat kedua, dan Kategori Raja Bukit  dengan mendapat tempat ketiga.

Selain itu, kehebatan pasukan pelajar UTM seperti pasukan bola jaring dan bola tampar UTM boleh di jadikan sebagai contoh pengurusan sukan yang baik. Atlet di jaga dan di bekalkan alatan dan peralatan yang lengkap sebelum, semasa dan selepas latihan dan pertandingan sukan.

Jurulatih dan Pengurus pasukan berkerjasama erat dengan ketua pasukan memastikan semua atlet sentiasa dalam keadaan bersedia. Semua ini berkat pengurusan sukan yang berkesan dalam menginovasi penyelesaian masalah untuk melahirkan atlet dan pasukan yang hebat di peringkat Universiti.

Manfaat

Justeru itu, manfaat yang dapat diperolehi ialah kita dapat mengetahui perkara yang boleh di tambah baik bagi meningkatkan mutu sukan seperti pengurusan aspek fasiliti dan kemudahan seperti peralatan yang mencukupi dan terkini,  dan sesuai dengan perancangan dan jenis latihan serta jenis acara yang di sertai oleh atlet.

Penggunaan teknologi sukan juga boleh di terapkan bagi membolehkan pakar sukan menganalisis pergerakan dan biomekanik mereka semasa latihan, atlet dan jurulatih juga dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan yang ada.

Sementara itu, bagi pengurusan aspek program untuk fasa persediaan, beberapa perkara harus diberi tumpuan, antaranya jangka masa latihan yang perlu atlet lakukan terutamanya semasa melakukan latihan secara individu tanpa panduan dari jurulatih kerana selalu nya pada fasa ini, atlet diberikan satu modul program latihan yang harus dilakukan secara konsisten bagi mengekalkan tahap kecergasan diri.

Selain daripada itu, program yang dirancang harus mengandungi pelbagai aktiviti agar atlet tidak mudah bosan (Frontiera, 2006; Cakioglu, 2005; Mohd Faithal, 2006), turut meng ingatkan atlet tentang faktor keselamatan, dan akhirnya latihan harus dirangka dari aktiviti yang mudah dan ringan lalu di tingkatkan secara progresif bagi mengelakkan kecederaan kepada atlet.

Kesimpulannya,  kesemua pihak yang berkaitan dalam sukan perlu bersatu hati dalam menginovasi penyelesaian masalah untuk merangka program latihan yang berkesan, pengurusan sukan yang baik  dan terkini selaras dengan perkembangan Sains Sukan era moden bagi memastikan tahap pengurusan sukan negara berada pada tahap professional dengan mengambil kira pelbagai faktor demi mencapai kemenangan dan keunggulan UTM. Akhir kata, Kerana Tuhan Untuk Manusia

Oleh: Muhammad Afif Syazani Bin Hairol dan Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (Pengarah Sports Innovation Technology Centre UTM)

Explore More