April 27, 2024

Search
Close this search box.

Ramai yang tertarik apabila memperkatakan tentang personaliti dalam mengenali seseorang individu.

Pada dasarnya, personaliti ditakrifkan sebagai tret dinamik yang mempengaruhi emosi, motivasi, kognitif dan sikap seseorang apabila bertindakbalas dengan cara tertentu.

Ia adalah penting dalam memberikan maklumat tentang bagaimana seseorang itu bertindak balas dalam situasi yang berlainan.

Selain itu, personaliti dilihat sebagai satu bentuk sejagat yang merangkumi kombinasi kukuh dan unik dimiliki oleh seseorang yang boleh memberi kesan positif dan negatif yang mempengaruhi sikap.

Ia turut melibatkan faktor-faktor seperti pengalaman, keupayaan dan kemahiran dalam menentukan kejayaan seseorang.

Dalam sesebuah organisasi, personaliti seseorang menjadi nadi penting dalam organisasi dan memainkan peranan utama dalam menjelaskan secara terperinci sikap kerja seseorang.

Personaliti seseorang pekerja mempunyai kaitan dalam menentukan corak tingkah laku bekerja dan memberi kesan psikologi dalam membangunkan strategi pengurusan organisasi yang efektif.

Seseorang pekerja bertingkah laku mengikut personaliti mereka sendiri dan di peringkat organisasi, personaliti yang positif mampu membentuk sikap pekerja untuk membuat transformasi kerja, dengan berusaha lebih keras dan akan menghasilkan kerja yang lebih berkualiti bagi meningkatkan produktiviti dan pencapaian organisasi.

Sejak kebelakangan ini, sudah merupakan satu keutamaan untuk mengukur ciri-ciri personaliti individu dalam proses pemilihan pekerja dalam sesuatu organisasi. Penilaian ciri-ciri personaliti mungkin meningkatkan kebarangkalian kesesuaian dengan bidang kerja yang ditawarkan.

Di universiti awam yang berorientasikan bukan keuntungan, mereka memerlukan pekerja yang mempunyai sikap dan tingkah laku positif bagi memperbaiki fungsi keseluruhan organisasi.

Oleh kerana pekerja di universiti awam memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesebuah organisasi maka perhatian serius perlu diberikan untuk memastikan mereka menunjukkan sikap dan tingkah laku yang positif.

Salah satu model personaliti yang sering digunakan sebagai asas teoritikal bagi pembolehubah personaliti ialah model Personaliti Big Five.

Model ini telah diterima secara meluas dalam bidang psikologi bagi menerangkan perbezaan personaliti individu, mengukur sikap personaliti pekerja secara tepat dalam menghasil kerja serta memperlihatkan sikap paling dominan dalam lima dimensi tersebut.

Lima dimensi utama Model Personaliti Big Five dikenali dengan nama singkatannya iaitu OCEAN (openness to experience, conscientiousness, extraversion, agreeableness, neuroticism) di mana setiap dimensi tersebut merujuk kepada aspek personaliti individu, corak konsisten pemikiran, emosi, sikap individu, interaksi dan komunikasi individu yang mempunyai kaitan dengan tindak balas ke atas peristiwa dan keadaan kerja.

Secara ringkasnya, penerangan lima dimensi utama Model Personaliti Big Five adalah seperti berikut;

  • Openness to experience merujuk kepada seseorang yang fleksibel, berimaginasi tinggi, idealistik dan kreatif yang berkait rapat dengan motivasi dalam menentukan matlamat sendiri di tempat kerja.
  • Conscientiousness merujuk kepada seseorang yang kuat berusaha, berani, komited dan yakin mempunyai inisiatif dalam menyelesaikan masalah dalam tugas di organisasi.
  • Extraversion memperlihatkan tret seorang yang mesra, ramah, suka bersosial, memiliki emosi yang positif di tempat kerja dan menguasai persekitaran dalam menghadapi cabaran kerja.
  • Agreeableness merujuk kepada seseorang yang sopan, konsisten dalam interaksi, mampu menguruskan persepsi dan cepat menyelesaikan konflik di tempat kerja.
  • Neuroticism mengambarkan seorang yang mempunyai kebimbangan yang melampau, kurang keyakinan diri dan mempunyai hubungan yang negatif dengan kerja.

Tambahan pula, Model Personaliti Big Five telah mendapat kepentingan yang besar di peringkat global dan menunjukkan taksonomi yang stabil dalam mengetengahkan ciri-ciri personaliti dan mengenal pasti perbezaan individu apabila bertindak balas dalam organisasi.

Ini adalah kerana setiap tret personaliti individu akan menunjukkan keunikan, kebolehan dan perbezaan dalam mencapai matlamat peribadi ke arah meningkatkan prestasi dan penyesuaian kepada kerja.

Kesimpulannya, penggunaan model Personaliti Big Five sangat berguna untuk mengatasi stres kerja, meningkatkan kepuasan kerja dan prestasi kerja dalam kalangan pekerja pada masa akan datang.

Oleh: Dr. Abdah Bte Ishak (Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat UTM)

Explore More