Mei 1, 2024

Search
Close this search box.

Kunjung hormat Kelab ESC UTM ke program MPL MY BACKSTAGE TOUR

KUALA LUMPUR, 27 Sept. – Kelab Esports UTM mengadakan kunjungan ke MPL MY BACKSTAGE TOUR baru-baru ini. Kunjungan bagi memenuhi jemputan penganjur program, Moonton Student Leader (MSL) untuk melihat sendiri bagaimana Event Antarabangsa Esports dilaksanakan.

Sebanyak 10 pasukan yang bertanding untuk MPL MY yang diadakan pada 18 Ogos 2023 sehingga 8 Oktober 2023 bertempat di Sri Putra Hall, Bukit Jalil.

Program “MPL MY Backstage Tour” adalah merupakan program tahunan Kelab E Sports UTM yang dirancang untuk memberi pengalaman menarik kepada pelajar UTM dengan cara menganjurkan lawatan tapak ke sebuah program luar yang dikendalikan oleh Moonton Student Leader (MSL). MSL ialah pasukan pemimpin pelajar yang mengetuai kempen dan projek di universiti untuk mengembangkan komuniti Mobile Legends:Bang Bang (MLBB). Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) merupakan kejohanan Esukan antarabangsa tahunan untuk MLBB di Malaysia.

Kelab E-sports UTM (ESC UTM) dan Kelab Sains, Inovasi dan Teknologi Sukan UTM (KSITS) UTM merupakan kelab yang telah di tubuhkan di bawah HEP UTM. Kedua-dua kelab ini merupakan kelab angkat kepada Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM. Kelab ini ditubuhkan atas keperluan semasa kerana generasi Z lebih gemar kepada penggunaan teknologi dalam sukan seperti permainan esports dan lain-lain. Sports Innovation Technology Centre (SITC) mula bertapak di Stadium Azman Hashim UTM pada tahun 2011. Kemudian SITC UTM telah berpindah ke bangunan baru di Tingkat 4, bangunan V01 di Taman Universiti. Pejabat SITC UTM terletak di wing A tingkat 4 dan makmal-makmal penyelidikan SITC UTM terletak di wing C tingkat 1 dan 2. Terdapat bilik mesyuarat SPORTS 4.0 war room bagi membolehkan pelajar pelajar kelab ESC UTM dan KSITS UTM berbincang untuk menjalankan program-program kelab sepanjang tahun.

SITC UTM terdiri daripada 10 orang pensyarah dari pelbagai bidang di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seperti kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan biomedikal dan lain-lain. Justeru, SITC sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dan sentiasa berjiwa besar dalam menjalankan amanah yang diberikan. Terima kasih juga kepada kesemua pasukan SITC IHUMEN UTM yang sentiasa berusaha memastikan kecemerlangan Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM yang kini terus bertapak kukuh bersama falsafah yang telah disemai sejak dulu lagi oleh Prof. Dr. Abdul Hafidz Hj. Omar iaitu WISDOM heart. Prof. Dr. Abdul Hafidz Hj. Omar pernah menyatakan bahawa biarlah pejabat SITC ini kelihatan kecil akan tetapi ia tetap dikenali  melalui kerja-kerja kebajikan dan manfaat  yang dilakukan.

 

Pelajar UTM di hadapan pintu masuk MPL MY.

Kelab Esports UTM juga dibenarkan untuk melihat bahagian backstage yang diwakili oleh pihak Moonton Student Leader iaitu En. Muhammad Arif Shahir bin Mohd Asri yang merupakan Regional Marketing Manager Malaysia and Myanmar dari penganjur Moonton untuk belajar dan menimba pengalaman bagaimana penganjuran sukan antarabangsa dilakukan. Pelajar telah diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana dan apakah yang berlaku di sebalik tabir dalam pengurusan dunia esports secara bersemuka. Selain itu, para pelajar juga berpeluang bertemu En. Fikri Rizal Mahruddin yang juga merupakan Head of Marketing and Business Development, penganjur Moonton untuk sesi MPL MY S12.

Sesi tour backstage dibahagikan kepada 2 sesi. Pada sesi pertama, para pelajar dibawa untuk melihat persekitaran kawasan pertandingan diadakan bermula dari pintu pendaftaran, pentas yang digunakan untuk para pemain ketika pertandingan berlangsung, sehingga ke bilik para pemain dan pasukan mereka berkumpul untuk membincangkan strategi yang bakal digunakan dalam pertandingan. Para pelajar juga bertuah kerana dapat melihat peralatan yang digunakan dengan lebih dekat. Lawatan diteruskan dengan melawat booth daripada penaja rasmi yang terdiri daripada pelbagai jenama yang terkenal tidak hanya di Malaysia malahan terkenal di serata dunia. Antaranya adalah Garnier Men, Mister Potato, Republic of Gamers dan juga Nescafe.

Melawat booth Mister Potato sebagai antara penaja rasmi

Pada sesi kedua, pelajar dibawa untuk melihat dengan lebih dekat berkaitan proses di sebalik tabir yang melibatkan beberapa unit untuk menjayakan sesebuah pertandingan yang berskala besar. Antara unit yang dilawati termasuklah unit sound, unit produksi, unit caster, unit teknikal serta unit content creator. Pelbagai alatan berkualiti tinggi serta individu yang mempunyai latar belakang serta kemahiran yang berbeza terlibat dalam menjayakan MPL MY S12.

Sesi penerangan dari En. Muhammad Arif Shahir dalam sesi tour berkaitan peralatan yang digunakan dalam MPL MY.

Para pelajar juga tidak melepaskan peluang untuk menonton perlawanan yang sengit di antara pasukan bertanding serta memberikan sokongan terhadap pasukan yang diminati. Terdapat 3 sesi perlawanan diadakan pada hari tersebut yang melibatkan 6 buah pasukan iaitu pasukan TS vs MPNC, Selangor Red Giants vs SMG serta Red Esport vs RSG MY. Selain itu, berswafoto bersama caster juga merupakan satu daripada aktiviti yang tidak akan dilepaskan. Di samping itu, para pelajar juga berpeluang untuk bertemu dengan content creator yang terkenal iaitu Cikgu Tiktok yang mempunyai follower seramai 40 ribu. Esport UTM tidak melepaskan peluang ini untuk menimba ilmu bagi mengembangkan lagi kelab ini supaya lebih dikenali dalam komuniti.

Perlawanan antara Red Esport dan RSG MY

Justeru itu, ESC UTM juga pada suatu hari nanti berhasrat untuk menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa di dalam UTM di mana penglibatan pelajar antarabangsa seperti Singapura, Indonesia, Brunei dan lain-lain. Selain itu, ESC UTM juga berharap mampu menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baru yang ada dalam kalangan mahasiswa seterusnya memperlihatkan kepada masyarakat bahawa e-sukan mampu menjadi kegiatan yang dapat mengembangkan keterampilan serta bakat yang ada dalam diri mereka. Bagi merealisasikan visi tersebut, ESC sendiri memerlukan pengalaman serta menimba ilmu dari mereka yang lebih berpengalaman.

 

Oleh Nadiya Ahmadi, Farah Athirah Rafizi, dan Dr Hadafi Fitri Mohd Latip.

Explore More