Disember 21, 2024

Forum “Manfaat Kecerdasan Buatan Dalam Pembelajaran Hibrid”

MALANG, 1 Sept. – Satu forum wacana ilmu telah diadakan bertempat di Universitas Ma Chung, Malang, Indonesia hasil kerjasama antara Universitas Ma Chung dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Seminar yang bertemakan “Memanfaatkan Penggunaan AI dalam Pembelajaran Hibrid” ini melibatkan penyertaan para pensyarah Universitas Ma Chung.

Penganjuran seminar ini adalah untuk meneroka potensi dan faedah menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam kaedah pembelajaran hibrid.

Sebagai panel jemputan dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Hema Rosheny Mustafa, pengurus MyLinE yang juga pensyarah Akademi Bahasa, Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan (FSSK) berkongsi pandangannya tentang aplikasi AI dalam pembelajaran hibrid.

Menurutnya, sistem aplikasi berasaskan AI yang telah dibangunkan di UTM termasuk aplikasi kuiz interaktif dan maklum balas kepada pelajar secara langsung telah memberi banyak manfaat kepada pelajar dan juga pensyarah. Aplikasi yang dibangunkan dan boleh diakses di www.myline.utm.my membolehkan pelajar menguji kefahaman mereka dan mendapatkan penjelasan terperinci berkenaan setiap soalan yang dijawab.

Program ini dikendalikan oleh Dr. Daniel Ginting, Pensyarah Bahasa Inggeris di Universitas Ma Chung, yang bertindak selaku moderator forum tersebut. Menurut beliau, penggunaan teknologi AI sememangnya dapat membantu mempercepat pembelajaran dan memberi ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kebolehan sendiri serta membantu pensyarah memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada pelajar.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Rektor Universitas Ma Chung, Dr. Ir. Stefanus Yufra Menahen Taneo. Beliau menyatakan sokongan universiti terhadap penggunaan AI dalam pembelajaran. Menurut pandangannya juga, model pembelajaran hibrid berasaskan AI telah terbukti memberi impak positif kepada literasi saintifik pelajar dan memudahkan proses pembelajaran pensyarah dan pelajar.

Forum antarabangsa ini telah mendapat liputan meluas akhbar atas talian di Jawa Timur seperti suryamalang.tribunnews.com,  bacamalang.com, klikku.net dan malangposcomedia. Forum ini menjadi titik permulaan untuk kolaborasi dalam penyelidikan dan penerbitan pada masa akan datang.

Oleh Abu Izzat Jalaluddin, Dr. Hema Rosheny Mustafa, Rika Diana Busri, Nurul Na’immah Hamdan, Nurhidayah Reman, dan Abd Rahim Ahmad

Explore More