April 28, 2024

Search
Close this search box.

“Autonomi pelajar: Inilah masanya, UTM sudah bersedia” – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Hasrat YB Menteri KPT dalam mengangkat agenda pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa terutama dalam melahirkan pelajar yang memiliki atribut ‘smart and sharp skills’ kini semakin menjadi realiti.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, UTM menerusi Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  (JTNCHEPA) telah sepenuhnya bersedia dalam memberi peluang dan ruang untuk pelajar dalam merencana, merancang, mengurus, mengawal dan melaksanakan sendiri usaha-usaha ke arah pembangunan dan pemerkasaan pelajar mengikut tatakelola dan garis panduan Nilai Teras UTM, ISES (Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian).

Pemerkasaan Student Union

“Semestinya kita memang hendak berikan autonomi (kepada pelajar). Pada saya, jika disentuh (pelaksanaan Student Union) daripada sudut kurikulum, saya pilih untuk less technical, lebih kebebasan kepada pelajar untuk apa yang ingin mereka laksanakan.

“Di peringkat UTM, kita memang sudah bersedia untuk bergerak ke arah autonomi pelajar. Sebagai contoh, pelajar-pelajar kita diberi autonomi dalam menguruskan fasiliti baharu Student Union Building (SUB) yang berharga RM3 juta.

“Malah, tender-tender usahawan dan penyewaan di lot-lot kedai di SUB akan diuruskan sendiri oleh pelajar mengikut peraturan dan garis panduan UTM.

“Cumanya, perlu ada inisiatif pembentukan pasukan pengurusan dalam kalangan pelajar yang akan mengoperasikan SUB secara sepenuh masa, memandangkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hanya dilantik untuk tempoh satu tahun sahaja (dua semester).

“JTNCHEP sedang memikirkan model terbaik dalam pengoperasian SUB, dengan mempertimbangkan kumpulan-kumpulan pelajar seperti pelajar praktikal, skim pelajar bekerja (SPB) dan gap year yang akan berada di situ untuk satu tempoh yang lebih lama.

Merealisasi Kurikulum Berorientasi Masa Hadapan

“Kita memang menggalakkan pelajar untuk merangka sendiri kurikulum yang hendak dilaksanakan, dengan mengambil kira elemen ISES. Terutama elemen pertama iaitu Integriti (Adab dan Nilai).

“Malah, kita perlu betul-betul mendefinisikan dan mentafsirkan terminologi ‘graduan holistik’. Kita belum betul-betul jelas dalam hal ini terutama daripada sudut atribut dan rubrik.

“Justeru, perancangan ini sebenarnya adalah sejajar dengan kerangka masa hadapan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal seperti 2U2H dan HyFlex.

“Misalnya, pelajar sarjana muda kejuruteraan awam. Mereka boleh sahaja melaksanakan satu projek di kampung untuk manfaat komuniti di situ, seperti projek membaik pulih jambatan, titi atau jeti berdasarkan kemahiran yang telah dipelajari.

“Projek-projek seperti inilah yang akan membentuk karakter dan jatidiri pelajar itu sendiri, di samping meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti pengurusan projek dan cara berkomunikasi menerusi libatsama komuniti. Secara dasarnya, kita beri peluang dan ruang kepada pelajar untuk create their own values.

JTNCHEP sebagai Sistem Sokongan Kesejahteraan dan Kebajikan 

“Antara perkara utama yang perlu diberi keutamaan adalah Kebajikan dan Kesejahteraan Pelajar, yang juga menjadi elemen kedua daripada HEP 5 Big Things. Hasrat kita adalah sejajar dengan hasrat KPT yang meletakkan agenda Kebajikan sebagai keutamaan sebelum menyokong agenda Pembangunan Pelajar.

“Sebagai contoh, Pusat Kesihatan UTM (PKU) diiktiraf antara Pusat Kesihatan terbaik terutama daripada sudut fasiliti dan kemudahan, jika dibandingkan klinik-klinik atau pusat-pusat kesihatan Universiti Awam yang lain (tidak termasuk UA yang memiliki Hospital Universiti).

“Di masa hadapan, kita bercadang untuk memposisikan PKU dan Pusat Kaunseling UTM di bawah satu bumbung, dengan menggunapakai model Health and Welness Centre seperti di University of Edinburgh dan Harvard University.

“Sementara itu, Ketrampilan Bakat antara elemen yang turut ditekankan dalam HEP 5 Big Things. Pelajar kita yang rata-ratanya merupakan pelajar jurusan kejuruteraan juga memiliki bakat unit tersendiri, terutama dalam kesenian dan kebudayaan.

“Di sinilah peranan Unit Kebudayaan yang telah berjaya menggilap bakat pelajar-pelajar ini sehinggakan kita berjaya menjadi Johan Festival Kesenian Zapin (FEKAZ) 2023 peringkat IPTA baru-baru ini.

“Menyedari hakikat pelajar UTM juga mempunyai bakat dalam kesenian dan kebudayaan, JTNCHEP baru-baru ini telah melancarkan platform Artis Residen UTM dalam usaha mengumpul bakat-bakat kesenian terutama dalam kalangan pelajar.

Nilai Teras ISES Tunjang Atribut Graduan UTM

“Pelajar kita adalah input dan juga stakeholder. Mereka akan melalui proses pembangunan, penggilapan, pemantapan dan pemerkasaan bakat dan karakter menerusi inisiatif dan program anjuran Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, dengan sokongan padu dan jitu entiti perkhidmatan, kebajikan dan kolej kediaman.

“Akhirnya, Universiti akan melahirkan pelajar yang melengkapi atribut graduan holistik, menjunjung tinggi Adab dan Nilai sebagai teras ketrampilan walau di mana mereka berada sebagai output.

“Paling utama, semua usaha dan inisiatif yang dilaksanakan JTNCHEP akan menjunjung tinggi Nilai Teras ISES dengan pemerkasaan elemen-elemen seperti Etika, Adab, Nilai Murni dan Empati, sekali gus memastikan kesejahteraan pelajar yang berterusan,” jelas Prof. Dr. Shamsul di akhir wawancara bersama Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA).

Explore More