November 15, 2024

Search
Close this search box.

Alat kawalan siput gondang UTM rangkul Johan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Peringkat Kebangsaan 2023

SERDANG, 10 Sept. – Kecemerlangan barisan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi terbukti apabila inovasi Alat Kawalan Siput Gondang berjaya merangkul Johan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 yang telah berlangsung di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang dari 5 hingga 7 September 2023.

Pasukan UTM dibarisi oleh penyelidik-penyelidik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) terdiri daripada Ts. Dr. Mohd Azlan Suhaimi, Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, Ts. Khidzir Zakaria, En. Roslin Yasak dan En. Ferdaus Md Said. Keberkesanan inovasi ini turut mendapat sentuhan dan nasihat dari Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Negeri Johor.

Pasukan penyelidik dari UTM dan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Negeri Johor bergambar bersama trofi dan mock-cheque yang diterima.

Kemenangan ini membolehkan mereka membawa pulang sijil penghargaan, wang tunai sebanyak RM3,500 dan trofi yang telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Pertanian, Puan Nor Sam Alwi; Pengarah Pertanian Negeri Johor, Tuan Haji Yosri Mohd, dan juga beberapa Pengarah Pertanian negeri lain.

Inovasi alat kawalan siput gondang ini mampu menangani masalah kehadiran perosak padi iaitu siput gondang secara lestari tanpa racun. Hasilnya, ia mampu meningkatkan hasil keluaran dan produktiviti padi.

Malah, secara tidak langsung pesawah juga mampu meningkatkan pendapatan menerusi hasil jualan siput gondang yang kian meningkat permintaannya di pasaran tempatan.

Inovasi ini turut menerima pengiktirafan antarabangsa dengan memenangi Pingat Perak di Seoul International Invention Fair 2022 (SIIF 2022). Kecemerlangan di peringkat global ini turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia dalam ucapan pembukaan majlis Hari Inovasi tersebut.

Kecemerlangan dan pengiktirafan yang diperoleh membuktikan bahawa UTM kekal komited merealisasikan agenda “Menginovasi Penyelesaian” demi manfaat masyarakat sekali gus menjadi ejen perubahan dalam memacu pembangunan dan kemakmuran negara.

Oleh: Ts. Dr. Mohd Azlan Suhaimi

Explore More