Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 8 Ogos – “Sumbang saran dalam kalangan pemimpin-pemimpin universiti mampu menggalakkan lagi pertukaran buah fikiran dan pengalaman, sekali gus menjadi pemangkin kepada inovasi dalam memacu dunia kesarjanaan untuk bergerak lebih ke hadapan,” menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Adalah menjadi sasaran kita untuk menarik dan mengembangkan lagi bakat individu dari seluruh pelusuk dunia, memperkukuh peranan Malaysia sebagai titik temu bakat global dan pusat kecemerlangan terutama daripada aspek penyebaran dan pengaplikasian pengetahuan.

“Dengan kelebihan dan kekuatan yang dimiliki, saya percaya ia akan membantu menjadikan Malaysia untuk muncul sebagai salah satu hab bakat di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap merasmikan UTM-UPF 2023.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, Kerajaan akan menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam meletakkan pendidikan tinggi sebagai pemangkin untuk pembangunan. Kerangka kerja ini akan diperkasa dan disulam dengan etos nasional Malaysia Madani sebagai wadah pembinaan negara bangsa bertamadun, penuh adab dan nilai,” tegas beliau.

“Sejajar dengan hasrat tersebut, kita perlu melihat semula visi dan matlamat pendidikan negara, demi memperkasa lagi peranan universiti dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti tinggi, seterusnya menghasilkan modal insan yang berkemahiran dan berketrampilan.

“Pada masa yang sama, KPT berharap agar jalinan kerjasama dan hubungan dunia kesarjanaan merentas sempadan dilaksanakan dengan lebih strategik.

“Apa yang lebih penting adalah kita semua perlu berusaha untuk menjadi pencetus kepada penyelesaian kritikal terhadap cabaran-cabaran yang ditempuh masa kini. Jalinan kerjasama dan hubungan strategik yang terbina mampu menginovasi penyelesaian isu-isu seperti keterjaminan makanan, perubahan iklim dan teknologi mengganggu,” cadang beliau.

“Pemimpin-pemimpin universiti memainkan peranan yang amat penting dalam memacu agenda pengantarabangsaan dan kolaborasi penyelidikan & pembangunan (R&D) di peringkat global. Lonjakan kolaborasi di peringkat global ini diharap akan memotivasikan komuniti cendekiawan tanah air untuk lebih proaktif dalam mencari seterusnya mengambil peluang-peluang kerjasama yang ditawarkan,” ulas Khaled Nordin ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Makan Malam sempena UTM University Presidents Forum 2023 (UTM-UPF 2023).

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail, dalam ucapan aluannya menyatakan kepentingan kerjasama antarabangsa dan aspirasi UTM untuk menjadi universiti terulung bagi menyediakan pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia pada tahun 2025.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail ketika menyampaikan ucapan aluan.

“Agenda utama UTM-UPF 2023 adalah untuk menghimpunkan pemimpin universiti global untuk meneliti secara introspektif pelbagai peranan dan tanggungjawab pendidikan tinggi dalam negara membangun,” jelas Prof. Datuk Fauzi.

Majlis ini merupakan acara pembuka tirai kepada program tiga hari bermula 8 hingga 10 Ogos 2023 di KSL Hotel & Resort Johor Bahru, menghimpunkan pemimpin-pemimpin universiti tersohor dari seluruh dunia dalam forum transformatif mengenai pendidikan tinggi.

Majlis ini turut dihadiri oleh Duta Besar Romania ke Malaysia dan Brunei Darussalam, TYT Puan Nineta Bărbulescu. TYT Puan Nineta turut menzahirkan minat terhadap prospek kerjasama yang bakal berlaku melalui penganjuran UTM-UPF 2023 ini dan berharap hubungan antara ASEAN dan Eropah akan berkembang maju menerusi pelbagai platform kerjasama.

Turut hadir bersama, YB Exco Pendidikan Johor, YB Cik Norlizah Noh, dan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Bertemakan “Innovating Solutions: Expanding Horizons”, penganjuran UTM-UPF2023 bertujuan untuk mencari titik persamaan bagi amalan terbaik dan menyebar luas strategi terkehadapan yang boleh memangkin transformasi pandangan pendidikan tinggi global.

YB Menteri KPT dan Naib Canselor UTM bergambar bersama barisan Presiden Universiti yang hadir dalam UTM-UPF 2023.

Ini melibatkan penyelesaian inovatif ke arah tindakan proaktif menuju tren baharu di samping mengatasi cabaran untuk menjadi pusat kepada sektor pendidikan tinggi dengan berkesan.

Program UTM-UPF2023 tahun ini turut memperkenalkan dua platform unik, iaitu Presidents’ Round Table, yang melibatkan penyertaan semua pemimpin universiti yang hadir, dan program Collaborative Research Excellence yang menyediakan platform untuk aktiviti pemadanan penyelidikan.

UTM-UPF edisi ke-13 ini dihadiri oleh 25 presiden dan 115 perwakilan dari 11 buah negara.

YB Menteri KPT bergambar bersama peserta dan sekretariat UTM-UPF 2023.

Explore More