Mei 14, 2024

Search
Close this search box.

UTM, PRITEC Academy jalin kerjasama pacu pengiktirafan pengalaman pekerja industri

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Professional & Industrial Academy (PRITEC Academy) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dalam usaha untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan bagi membolehkan para pekerja industri diiktiraf pengalaman kerja mereka melalui sijil APEL.A yang dikendalikan oleh Pusat Penilaian APEL UTM. 

MoA yang ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM, Prof. Sr. Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali dan Pengarah Urusan PRITEC Academy, Dr. Amiron bin Ismail dijangka memberi manfaat dalam memastikan peluang pendidikan terbuka kepada masyarakat melalui program APEL ini untuk terus memperluas akses dalam kalangan masyarakat demi meningkatkan kelayakan akademik masing-masing selaras dengan inisiatif pendidikan fleksibel yang diuar-uarkan dan diusahakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.  

YBrs. Prof. Sr. Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali dan Dr. Amiron bin Ismail menurunkan tandatangan di atas dokumen perjanjian.

Pusat Penilaian APEL UTM di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) ditubuhkan bagi menyokong dan merealisasikan agenda pembelajaran sepanjang hayat negara serta menjadi pusat sumber rujukan dokumentasi bagi semua jenis penilaian APEL merangkumi APEL.A, APEL.C dan APEL.Q. 

Ditubuhkan pada tahun 2018, Pusat Penilaian APEL UTM telah diiktiraf oleh Malaysian Qualification Agency (MQA) dan sejak penubuhannya, seramai 587 calon telah lulus penilaian Apel.A bagi tahap T4, T6 dan T7.

Daripada jumlah tersebut, 38 pelajar UTM yang menggunakan sijil Apel.A telah bergraduan melalui pelbagai program di antaranya seperti Sarjana Sains (Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan), Sarjana Eksekutif Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Sains Professional, Sarjana Sains Pendidikan (Pendidikan Teknik dan Vokasional), Sarjana Sains (Pendidikan Kejuruteraan), Sarjana Sains (Jaminan Maklumat) dan Sarjana Sains (Kejuruteraan Sistem). 

UTM berjaya memperluaskan lagi program-program di bawah APEL bagi membuka peluang kepada ramai lagi pekerja berkemahiran untuk meneruskan pengajian dan seterusnya diiktiraf kemahirannya.

APEL meliputi proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian terhadap pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu untuk menentukan sejauh mana individu telah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan bagi mengakses ke program pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). 

Ia dilihat sebagai satu platform dan alternatif yang membuka peluang kepada individu yang tidak dapat melanjutkan pengajian secara konvensional, namun mempunyai pengalaman bekerja untuk melanjutkan pelajaran ke IPT.

Kerjasama antara Pusat Penilaian Apel UTM dan PRITEC Academy, selari dengan fungsi penubuhan PRITEC Academy yang menawarkan pelbagai program latihan dan teknikal serta memfokuskan kepada Pendidikan & Latihan Teknikal & Vokasional (TVET). 

Sehingga kini, PRITEC Academy telah mengeluarkan tidak kurang daripada 3000 graduan TVET untuk pelbagai peringkat daripada Sijil sehingga ke Diploma Lanjutan melibatkan pelbagai industri merangkumi Teknologi Maklumat, Pengurusan, Pembuatan Perkapalan, Perhotelan dan Pertanian

Melalui Memorandum Perjanjian ini, ia dapat menggalakkan serta memberi memberi peluang kepada pekerja industri yang berminat dan berkemahiran untuk menyambung pelajaran di UTM dan dengan jalinan kerjasama ini diharapkan hubungan UTM dan PRITEC Academy akan bertambah utuh dan berpanjangan, seterusnya berjaya memberikan hasil berimpak yang tinggi melalui kerjasama dalam latihan yang relevan dengan Industri 4.0.

Explore More