April 28, 2024

Search
Close this search box.

UTM mengorak langkah cipta reputasi antarabangsa dalam lawan pedang

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Pada 26-28 Ogos yang lalu, Malaysia Open Fencing 2023 (12TH MOFC ) telah berlangsung di Arena Tan Sri Hamzah, Wisma Majlis Olimpik Malaysia, Kuala Lumpur.

3 orang wakil UTM telah mendaftarkan diri dalam kejohanan tersebut iaitu Jurulatih Balqis ( Pelajar Sains Sukan UTM), Jurulatih Zharif ( Alumni Sains Sukan UTM ) dan Jurulatih Jasrul ( Pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik ).

Mereka telah melakukan persiapan awal sejak sebulan yang lepas bagi menyertai kejohanan ini. Latihan intensif dilakukan di Dewan Resak KTDI terutama di waktu petang, waktu malam dan cuti hujung minggu.

Ia adalah merupakan satu pengorbanan yang tinggi apabila seseorang individu membuat keputusan untuk menyertai sebarang kejohanan sukan sebagai seorang atlet terutamanya melibatkan kejohanan kebangsaan seperti Malaysia Open.

Tanpa persiapan rapi pasti akan membawa kesan kepada diri sendiri sekiranya tubuh badan tidak bersedia untuk beradaptasi dalam suasana kejohanan sukan.

Sukan Lawan Pedang satu ketika dulu di katakan sukan yang hanya disertai oleh golongan elit, namun begitu ia kini boleh di sertai oleh sesiapa sahaja kerana pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh penggiat Sukan Lawan Pedang di Malaysia.

Sebagai contoh Persatuan Sukan Lawan Pedang Negeri Johor telah menyediakan pelbagai alatan dan peralatan lengkap kepada semua persatuan sukan daerah, jadi atlet hanya perlu membawa badan sahaja ke tempat Latihan bagi mempelajari Sukan Lawan Pedang di Malaysia.

Malahan di UTM sendiri, mempunyai kelengkapan peralatan sukan lawan pedang yang di sediakan oleh Pusat Kecemerlangan Sukan UTM. UTM pada satu ketika dulu mempunyai ramai bakat atlet sukan lawan pedang dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang sambung belajar di UTM.

Oleh itu, pencapaian sukan lawan pedang UTM adalah boleh dibanggakan kerana ramai  Atlet Lawan Pedang UTM juga adalah merupakan atlet kebangsaan seperti saudara Rafiuddin, saudari Balqis dan lain lain.

Mereka bertanding bukan sekadar membawa nama Negeri Johor malahan membawa nama UTM di kejohanan tersebut.

Kelab Sukan Lawan Pedang UTM telah diaktifkan semula di bawah kendalian IR PM DR Jasrul Jasmani yang juga merupakan bekas alumni pelajar UTM. Beliau telah menjadi penasihat utama Kelab Sukan Lawan Pedang UTM.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kelab Sukan Lawan Pedang UTM untuk membantu Negeri Johor bagi program kenalpasti bakat atlet Pembangunan Negeri Johor antaranya 3 orang pelajar yang melatih di bawah Kelab Sukan Lawan Pedang UTM iaitu Cinta, Harith dan Farel kini mengikuti Program PLD di Pusat Latihan Atlet Sukan Lawan Pedang Negeri Johor di Nusajaya.

Selain itu, kelab sukan lawan pedang UTM telah bekerjasama Persatuan Lawan Pedang Daerah Kulai untuk menganjurkan Klinik Sukan Lawan Pedang B12 cadet team selama 24 sesi latihan setiap minggu.

Kerjasama ini juga turut melibat Pusat Islam UTM yang merupakan penaja utama program komuniti masyarakat bagi membolehkan anak anak di sekitar komuniti skudai memahami sukan lawan pedang moden di mana 1 ketika dulu ia adalah merupakan salah satu senjata utama demi mempertahankan tanahair dan alatan peperangan.

Klinik sebegini amat baik membentuk jati diri, displin, tidak mudah koyak dan sikap bertanggungjawab di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Tahniah dan Syabas diucapkan kepada pihak pengurusan yang menjalankan usaha murni ini tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Sukan adalah salah satu aktiviti penting untuk mengekalkan tahap kesihatan seseorang individual. Aktiviti sukan seharusnya diperkasakan di semua peringkat seperti taman, jabatan, fakulti dan lain lain. Semasa bersukan hormon endorphin ( Hormon Gembira ) akan terhasil.

Oleh itu, sukan sangat baik untuk mencegah masalah kesihatan mental, pengurusan stress dan burnout di kalangan warga masyarakat. Aktiviti berpedang juga adalah merupakan satu aktiviti sunnah yang bermanfaat kepada semua.

Sukan membentuk jati diri yang utuh agar kita tidak mudah menjadi pengikut yang membuta tuli tanpa dapat membezakan yang mana satu benar dan salah.

Untuk mencapai kemenangan dan kejayaan seseorang perlu berusaha bersungguh sungguh pada diri sendiri kerana kejayaan tidak datang bergolek.

Oleh itu, perubahan anjakan paradigma pengurusan strategik sukan UTM perlu dilaksanakan demi UTM TERCINTA. Akhir kata, Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Oleh: Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM)

 

Explore More