Disember 26, 2024

UTM jayakan eksplorasi dan konservasi lautan untuk kesejahteraan

PULAU TIOMAN, 3 Ogos – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9 & 10 telah menganjurkan program Sea Of Life 2.0 “Selami Khazanah Negara dan Hidupan Marin” selama empat hari tiga malam bertempat di Kampung Juara, Pulau Tioman. Dikelolakan oleh Amirul Idham bin Mohamad Asri, pengarah program dan Cik Rahizah Binti Abd Rahiman serta Encik Muhammad Hafizuddin bin Ripin sebagai penasihat program.

Program ini melibatkan 17 orang pelajar dan 6 orang staf UTM dan 2 orang sukarelawan dari UTM  yang bekerjasama dalam menjayakan program tersebut. Penajaan daripada pelbagai pihak seperti Unitechnologies Sdn. Bhd, UTM Holdings Sdn. Bhd, Pusat Islam UTM dan Amani Printing telah merealisasikan objektif program seperti yang di hasratkan.

Agenda utama yang menjadi tunjang kepada program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga ekosistem alam sekitar, hidupan laut, kebersihan serta kesejahteraan komuniti setempat. Selain itu, program ini juga menerapkan pendedahan ilmu berkenaan kehidupan bawah laut agar sentiasa dipelihara di samping membudayakan kebersihan serta kesejahteraan yang baik dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya, adalah memaksimumkan penglibatan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama dengan kolaborasi pelbagai peringkat pendidikan.

Ia juga menggalakkan aktiviti perlindungan dan kawalan alam semulajadi agar kawasan tidak terjejas dengan penyediaan pembangunan mampan. Akhir sekali, melindungi, memulihkan dan menggalakkan penggunaan ekosistem daratan yang mampan serta menghentikan kehilangan biodiversiti.

Ahli Jawatankuasa Program Sea Of Life 2.0 yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia.

Hari pertama dimulai dengan saringan dan kempen kesihatan bersama komuniti penduduk kampung yang dikenali sebagai Kelestarian Transformasi Pembanguan Kesihatan dan Ekonomi Komuniti (i-Breath) selama dua hari.

Aktiviti merupakan anjuran bersama delegasi sukarelawan UTM, Biosignal Processing Research Group, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM bersama Jawatankuasa Mahasiswa Kolej 9 & 10 UTM dan Klinik Kesihatan Tekek serta Klinik Desa Kampung Juara diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Malarvili Bala Krishnan, ketua saringan kesihatan.

Majlis perasmian program dilancarkan dan dirasmikan oleh wakil YB Rompin, Puan Nazratul Azra binti Tukiran, Pegawai Tadbir Pembangunan Masyarakat, Lembaga Pembangunan Tioman. Program tersebut mendapat sambutan baik dari warga setempat dan juga respon positif.

Majlis Perasmian Program Jelajah Komuniti Digital X Sea Of Life 2.0.
Saringan kesihatan daripada sukarelawan UTM bersama komuniti Kampung Juara.

Aktiviti Riang Ria yang melibatkan komuniti sekolah rendah di Kampung Juara untuk mengekalkan hubungan baik serta mewujudkan persekitaran yang kondusif dan praktikal diadakan di sesi petang setelah selesainya program saringan kesihatan.

Persediaan kawasan bagi aktiviti riang ria bersama pelajar sekolah rendah Kampung Juara.
Aktiviti sukaneka yang dikendalikan oleh jawatankuasa program.

Hari seterusnya melibatkan aktiviti pendedahan terhadap kehidupan laut iaitu penyu. Ia dilaksanakan di Juara Turtle Project (JTP), Kampung Juara, Pulau Tioman dan dipantau oleh Puan Nina yang merupakan salah seorang pengurus di JTP.

Sesi perkongsian bersama mahasiswa memberi banyak informasi yang berguna demi menjaga kesejahteraan hidupan laut yang diancam kepupusan pada masa kini yang disebabkan oleh pelbagai faktor.

Lawatan ke lokasi Juara Turtle Project.
Kunjungan ke tapak “Sea Turtle Hatchery” di JTP.
Rombongan jawatankuasa program ke tempat “Sea Turtle Hatchery”.

Program diteruskan dengan aktiviti “Hunt The Island” dimana mahasiswa dan mahasiswi diundang menerokai dan mempelajari keunikan khazanah alam di laut seperti terumbu karang dan penyu. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada mereka melawat 5 kepulauan di sekitar Pulau Tioman iaitu Teluk Genting, Teluk Bakau, Teluk Cukai, Teluk Pasir Panjang, Teluk Salang.

Aktiviti snorkeling di Teluk Genting.
Aktiviti Snorkeling diteruskan di Teluk Bakau.
Penemuan penyu semasa aktiviti snorkeling berdekatan batu karang di Teluk Salang.

Program ini melabuhkan tirai dengan aktiviti terakhir iaitu “Beach Clean Up!” yang dilaksanakan di sekitar pantai Kampung Juara, Pulau Tioman. Ahli jawatankuasa yang terlibat saling bekerjasama membersihkan kawasan sekitar pantai Kampung Juara dan hasil kutipan sampah yang diperoleh ditimbang dan dinilai untuk dijadikan catatan kepada pihak Juara Turtle Project tentang tahap kebersihan pulau tersebut.

Aktiviti mengutip sampah di sekitar pantai Kampung Juara.
Pengumpulan sampah di beberapa lokasi sekitar pantai Kampung Juara.
Pengasingan sampah kutipan mengikut jenis untuk dikitar semula bersama pihak JTP.

Penganjuran program tanggungjawab korporat sosial (CSR) di Pulau Tioman tersebut memberi kesedaran terhadap kepentingan ekosistem hidupan marin dan impak yang baik bukan sahaja kepada setiap mahasiswa UTM tetapi juga mereka yang terlibat secara langsung semasa ia dijalankan, disamping membawa kebaikan serta tatapan kepada generasi akan datang.

Explore More