November 24, 2024

Search
Close this search box.

UTM didik kepentingan ujian saringan dalam kalangan komuniti tempatan

PULAU TIOMAN, 5 Ogos – Kesedaran masyarakat terutama komuniti pedalaman di negara ini mengenai kepentingan membuat ujian saringan kesihatan masih di tahap kurang memuaskan.

Ini berikutan, Malaysia dianggap sebagai negara tidak sihat memandangkan jumlah rakyat yang menghidap penyakit jantung, kencing manis dan obesiti adalah tinggi.

Berdasarkan pemerhatian Kementerian Kesihatan (KKM), terdapat kecen­derungan dalam kalangan rakyat datang ke klinik apabila sakit.

Menyedari hakikat itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi kesedaran mengenainya kepada komuniti di Kampung Juara, Rompin,Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini.

Program CSR ini dibuat dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Juara, Sekolah Kebangsaan Kampung Juara, Yayasan Pendidikan Negeri Pahang, Infinecs Sdn Bhd dan Klinik Desa Kampung Juara serta komuniti Kampung Juara.

Program dikenali sebagai Kelestarian Transformasi Pembangunan Kesihatan dan Ekonomi Komuniti (i-Breath) telah dianjurkan 3-5 Ogos lalu di Kampung Juara.

Menurut pengarah program itu, Prof. Madya Ir. Dr. Malarvili Bala Krishnan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, program berkenaan adalah kali kedua dianjurkan UTM untuk komuniti luar selepas kejayaannya pada tahun lepas.

Menerusinya, delegasi sukarelawan UTM diwakili Biosignal ­Processing Research Group, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9 dan 10  yang diketuai oleh Prof. Madya Abdul Rahman Tamuri.

Menurut Dr. Abdul Rahman, Kampung Juara dipilih lokasi program kerana akses kesihatan di situ hanya memiliki klinik desa di mana klinik utama iaitu Klinik Kesihatan Kampung Tekek mengambil masa pejalanan selama 45 minit dari Kampung Juara.

Tambahan lagi, fokus utama program ini juga adalah bagi membantu dan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam usaha mereka untuk memperkembangkan lagi dasar pendidikan kesihatan di kawasan terbabit.

Selain itu, melalui anjuran program ini dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat luar terutamanya golongan mahasiswa terhadap komuniti pedalaman, mampu memberi pendedahan tentang kepentingan pendidikan terutamanya pendidikan kesihatan kepada komuniti pedalaman, serta dapat menyalurkan sumbangan dalam bentuk tenaga, pengetahuan dan kemahiran kepada komuniti yang memerlukan.

Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Tadbir (Pembangunan Masyarakat) Tioman, Puan Nazratul Azra binti Tukirin.

Beliau berkata, inisiatif sebegini dapat merealisasikan hasrat negara untuk melihat semua lapisan masyarakat mendapat akses kemudahan kesihatan walaupun di pedalaman.

Dalam pada itu, tumpuan turut diberikan kepada penduduk Kampung Juara bagi sesi saringan kesihatan melalui peralatan saringan yang dibawa dari UTM  bagi memastikan masyarakat setempat mendapat pemahaman dan kaedah tepat dalam pengendalian alat saringan kesihatan seperti pemantauan tekanan darah, kadar denyutan jantung, kadar oksigen dan paras gula dalam darah.

Sebagai penutup program, memandangkan Klinik Desa Kampung Juara terdapat kekurangan bekalan ubat-ubatan asas, dengan tajaan UTM, Dr. Malarvili berjaya menempatkan beberapa bekalan ubat-ubatan bagi penggunaan komuniti seperti ubat batuk, selesema, ubat demam, panadol dan pelbagai lagi.

Explore More