Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

Ts. Mohd Hazri Ishak muncul pemenang Anugerah Khidmat Masyarakat dalam Citra Karisma 2023

Pengurus Fasiliti Fakulti Komputeran, Ts. Mohd Hazri Ishak dipilih pemenang Anugerah Khidmat Masyarakat dalam Majlis Citra Karisma UTM 2023 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar UTM Johor Bahru baru-baru ini.

Anugerah Khidmat Masyarakat diwujudkan bagi mengiktiraf warga UTM dalam kalangan staf akademik dan staf pengurusan, profesional dan pelaksana yang telah menyumbang kepada nama baik Universiti melalui aktiviti khidmat masyarakat dan kesukarelawanan di dalam dan luar UTM.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari UTM, Ts. Mohd Hazri memulakan kerjayanya di UTM sebagai pembantu teknik pada tahun 2005. Sepanjang 18 tahun perkhidmatan, beliau telah melaksana 8 buah program berasaskan service learning, 15 program penyelidikan berasaskan perpindahan ilmu (RADIS), 22 program perpindahan ilmu dan teknologi (ICESys), sekitar 20 program yang tidak didaftarkan, serta beberapa program lain dengan penglibatan sebagai sukarelawan USR.

Hasilnya, beliau telah dua kali dianugerahkan sebagai Tokoh Khidmat Masyarakat peringkat Jabatan dan satu kali pingat Perak bagi Anugerah Penyelidikan peringkat MASTI PERTISAS. Beliau juga telah berjaya menghasilkan sebuah buku modul Asas Teknologi Simenfero yang diterbitkan pada 2021, serta beberapa modul pengajaran pendek bagi beberapa teknologi mudah yang lain.

Menurut Ts. Mohd Hazri, jiwa kemasyarakatan mula terbentuk pada awal tahun 2005. Dunia pada ketika itu dikejutkan dengan bencana tsunami terburuk dalam sejarah.  Malaysia juga terkesan dengan bencana ini dimana sebahagian negeri di utara semenanjung telah terjejas teruk. UTM pada ketika itu mengambil inisiatif untuk mengerah bantuan serta kepakaran yang ada dalam membantu mangsa yang terkesan.

Ketika itu bersama-sama pasukan UTM dalam membekal kemahiran serta teknologi dalam membina semula bot nelayan untuk para nelayan di Kawasan Tanjung Dawai, Kedah. Pengalaman ini seterusnya menjadi pemangkin kepada minat yang mendalam untuk sentiasa menabur bakti kepada masyarakat.

“Untuk kekal aktif dalam khidmat kemasyarakatan ini, kita perlukan strategi bekerja dalam kumpulan dan sentiasa positif. Kredit juga wajib diberi kepada ahli kumpulan saya yang rata-ratanya  terdiri dari ahli Green City & Construction Research Group (GCCRG) serta sahabat-sahabat lain yang selalu ada bila diajak bersama dalam setiap projek,” tambahnya lagi.

Beliau menerima wang tunai RM 1000.00, hadiah iringan dan sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Tan Sri Dato’Salleh Haji Mohd Nor, Pro-Canselor UTM.

Explore More