Disember 19, 2024

SITC UTM diiktiraf sebagai Pusat Satelit Sukan Negara oleh ISN

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC) telah menerima pengiktirafan sebagai Pusat Satelit Sukan Negara oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Pengiktirafan tersebut telah meletakkan SITC UTM sebagai antara pusat penyelidikan sukan terunggul dalam konteks inovasi, kejuruteraan dan teknologi sukan di negara ini, selepas melalui satu proses saringan, pembentangan, audit dan penilaian yang ketat.

Pengiktirafan tersebut diumumkan dan disampaikan dalam Majlis Perasmian Program ISN INSPIRE 2023 bertempat di Dewan Perdana, ISN.

Hadir bersama dalam majlis tersebut adalah Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim.

Delegasi UTM diwakili oleh Pengarah SITC UTM, Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip; Penyelidik SITC UTM, Dr. Hazar Sukareksi; Penyelaras Kursus Sains Sukan UTM, Dr. Diyana Zulaikha Abdul Ghani dan Biro Sukan MPP UTM, Noorafham Noorazman.

Status sebagai Pusat Satelit Sukan Negara merupakan satu anjakan UTM dalam menginovasi penyelesaian untuk meletakkan ekosistem sukan negara kepada satu peringat lebih tinggi terutama menerusi bidang penyelidikan dan inovasi sukan bertaraf dunia.

Dengan tagline “With wisdom, we explore”, kepakaran SITC UTM sememangnya amat ditagih dalam membantu negara untuk melahirkan pemenang pingat emas pertama Sukan Olimpik, sekali gus memahat nama Malaysia di persada sukan antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan menyampaikan pengiktirafan Pusat Satelit Sukan Negara kepada Pengarah SITC UTM.
Delegasi UTM yang hadir dalam Majlis Perasmian Program ISN Inspire 2023.
Menteri Belia dan Sukan menyampaikan ucapan perasmian Program ISN Inspire 2023.
Sesi bergambar bersama Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Delegasi UTM tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama lagenda skuasy tanah air, Datuk Nicol David.

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More