November 9, 2024

Search
Close this search box.

Sinergi UTM, UNAIR, PBT dan industri angkat agenda kelestarian Sungai Selangkah

PASIR GUDANG, 26 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah mengambil peluang berkongsi pengalaman melaksanakan projek libat sama komuniti dan kesukarelawanan melalui program kutip sampah sambil riadah (KUDAH), tanam pokok dan balingan mud balls bersempena kehadiran delegasi daripada Universitas Airlangga (UNAIR) ke UTM selama 3 hari daripada 25 sehingga 28 Ogos 2023.

Program ini telah diadakan pada 26 Ogos 2023 di pesisiran Sungai Selangkah, Pasir Gudang di mana ia merupakan tapak awal pembangunan landskap taman eko yang telah dirancang menerusi projek University for Society (U4S) Zon Selatan.

Persediaan program dari segi kawalan keselamatan, sumbangan peralatan dan persiapan tempat ini mendapat bantuan dan kerjasama yang sangat baik daripada rakan kolaborasi UTM iaitu Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Federation of Malaysian Manufacturers (FMM).

Program yang bermula pada jam 3.00 petang telah disertai oleh seramai 91 orang sukarelawan yang terdiri daripada delegasi UNAIR, sukarelawan industri, sukarelawan UTM, wakil MBPG, wakil JPS dan wakil FMM.

Antara pengisian program adalah pembentangan perancangan Kelestarian Sungai di Pasir Gudang oleh wakil entiti bagi Jawatankuasa Protem Kelestarian Sungai Kim Kim iaitu Pn. LAr Zanariah Binti Kadir (wakil MBPG), Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rasidi (wakil UTM) dan Dr. Shamsul Rizal Bin Shamsudin (wakil FMM).

Program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu kebaikan mud balls bagi rawatan kualiti air sungai oleh wakil komuniti Industri kecil Sederhana (IKS), Encik Saharuddin Bin Azad Din. Para sukarelawan juga diberi peluang menghasilkan sendiri mud balls melalui aktiviti berkumpulan.

Aktiviti balingan mud balls ke dalam sungai oleh wakil delegasi UNAIR.

Aktiviti diteruskan dengan sesi gotong royong membersihkan kawasan sungai, penanaman 100 anak pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor dan balingan mud balls ke dalam sungai Selangkah di dua tapak bersebelahan Kilang Luvata dan Kilang Almer.

Sesi bergambar kenangan bersama jemputan dan sukarelawan yang hadir ke program kutip sampah sambil riadah (KUDAH), tanam pokok dan balingan mud balls di Sungai Selangkah Pasir Gudang.

Program ini berakhir dengan jayanya pada jam 6.00 petang. Diharapkan aktiviti ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap kepentingan sungai untuk masyarakat serta memupuk nilai kebersamaan dan kepentingan penglibatan pemegang taruh dalam bersama- sama memelihara kelestarian sungai.

Perancangan yang berterusan dan berstrategi sedang dilaksanakan dalam memastikan pembangunan dan pengurusan kawasan tebing Sungai Selangkah lebih mampan dan akhirnya menjadi lokasi yang selamat untuk komuniti sekitar beriadah.

Oleh: Siti Nur Hafizah Soid (CCIN)

Explore More