November 5, 2024

Search
Close this search box.

Scratch Apps mampu tarik minat pelajar sekolah rendah terhadap bidang IT

JOHOR BAHRU, 21 Ogos – Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Fakulti Komputeran telah melaksanakan program pemindahan ilmu kepada murid sekolah rendah di sekitar Johor Bahru bertempat di bangunan N28, Fakulti Komputeran, UTM.

Bengkel Pengajaran Aplikasi Scratch (Scratch Apps) yang diketuai oleh Dr Farkhana Muchtar, serta ketua tenaga pengajar Dr Pang Yee Yong. Pelaksanaan bengkel ini turut disokong oleh tujuh instruktor, 21 fasilitator, staf tenikal dan juga staf sokongan yang diketuai oleh Ts. Mohd Hazri bin Ishak.

Program melibatkan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru telah berajaya mendapat penyertaan seramai 236 murid sekolah rendah dan 62 guru pengiring daripada 32 buah sekolah rendah di sekitar daerah ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Komputeran, Profesor Dr Wan Mohd Nasir  Wan Kadir. Turut hadir sewaktu majlis perasmian ialah wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Encik Mohd Najib Salleh, serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Komputeran, Profesor Madya Dr Siti Zaiton Mohd Hashim.

Peserta sedang membangunkan permainan digital.

Program ini adalah salah satu aktiviti yang diadakan sempena Minggu Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Komputeran, yang  berlangsung selama empat hari bermula dari 19 hingga 22 Ogos 2023.

Program yang melibatkan teori dan amali berkaitan aplikasi ini ini bertujuan untuk memperkenalkan murid-murid sekolah kepada sistem pengaturcaraan melalui aplikasi Scratch yang bersifat lebih santai dan menyeronokkan.

Aplikasi Scratch dlihat sesuai berdasarkan kepentingannya dalam skop pendidikan negara, dimana ia telah diintegrasikan sebagai komponen asas dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) untuk Tahun 5 di kesemua sekolah rendah, selaras dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017).

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dilakukan serentak di tujuh buah makmal dyang setiap satunya memuatkan sekitar 30 hingga 40 murid. Tujuan pembahagian murid ini kepada kumpulan yang lebih kecil adalah bagi memastikan mereka dapat menerima ilmu yang disampaikan dengan baik.

Di akhir bengkel ini, peserta diharapkan bukan sahaja mampu membangunkan permainan digital dengan menggunakan Scratch Apps, tetapi juga memperoleh kefahaman yang lebih mendalam tentang prinsip-prinsip asas pengaturcaraan.

Guru dan peserta menerima sijil penyertaan di akhir program.

Rata-rata murid yang ditemui seusai program ini menyatakan bahawa ia berjaya memupuk minat mereka dalam aktiviti pengaturacaraan. Ini sekali gus akan memberi mereka kelebihan dalam persiapan untuk pendidikan sekolah menengah, khususnya dalam bidang Sains,Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), dengan menggalakkan pembentukan kemampuan pemikiran logikal dan analitis melalui aktiviti pengaturcaraan.

Kesemua peserta dan guru pengiring juga turut menerima sijil penyertaan dari pihak Fakulti Komputeran UTM.

Pihak UTM sentiasa berharap agar ilmu yang disampaikan dalam bengkel ini bermanfaat kepada peserta dan seterusnya kerjasama bersama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru akan terus terjalin dari semasa ke semasa.

 

Oleh Dr. Farkhana Muchtar, Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran

Explore More