April 28, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 Ogos – Melihat kepada susuk tubuh beliau, sudah terbayang akan karisma kepimpinan penuh kewibawaan. Raut wajahnya yang tenang menyerlahkan lagi jiwa pendidik yang sememangnya sudah sebati dalam naluri. Fikiran dan ideanya yang bernas amat didambakan dalam arena perjuangan pendidikan tinggi masa kini.

Dengan perwatakan persis seorang bapa, bait kata-katanya sentiasa bersulam nasihat dan pedoman. Itulah figura kesayangan warga universiti, Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali.

Latar Belakang Pendidikan & Kerjaya

Prof. Hishamuddin merintis jalan pendidikan tinggi beliau dengan menerima Ijazah Sarjana Muda (Pengurusan Harta) pada tahun 1996 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kemudian melanjutkan pengajian Sarjana dalam Analisis Keputusan Kewangan di Portsmouth Business School, University of Portsmouth sebelum meneruskan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di University of Salford dalam Pelaburan dan Kewangan Harta.

Tidak berhenti setakat itu, status sebagai seorang Alumni UTM membuatkan beliau untuk kembali menyumbang ilmu dan kepakaran demi memperjuangkan nasib anak bangsa di bumi bertuah ini. Atas sebab itu, beliau kembali menyumbang kepada UTM bermula 1 Ogos 1996 sebagai seorang Tutor di Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi (FKSG).

Langkah sebagai seorang pendidik diteruskan apabila beliau dilantik sebagai Pensyarah mulai 1 Oktober 1997 dan telah disahkan jawatan dalam perkhidmatan sebagai Pensyarah pada 1 Oktober 2000.

Pengalaman sebagai Pentadbir

Pengalaman seorang pendidik yang menjangkau hampir 27 tahun meletakkan beliau sebagai antara individu yang berpengalaman terutama dalam selok-belok akademik dan kurikulum universiti.

Kredibiliti yang terserlah menjadikan beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan pentadbiran universiti seperti Pengarah Bahagian Pengurusan Perniagaan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) pada 1 April 2018 dan Dekan Fakulti Alam Bina & Ukur (FABU) mulai 1 Jun 2020.

Kemuncak kerjaya beliau adalah apabila beliau dilantik menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) bermula 15 Jun 2021.

Mendepani Cabaran Memperkasa Pendidikan

Semestinya, ujian dan cabaran getir menanti tatkala posisi tersebut disandang ketika dunia masih lagi berjuang hebat mendepani pandemik Covid-19, yang secara keseluruhan mengubah landskap pendidikan tinggi negara.

Situasi yang dihadapi memerlukan satu penyelesaian berinovasi dalam memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dan kompeten. Sebagai individu penting dalam hal ehwal akademia, beliau telah berkerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), dekan-dekan fakulti, wakil-wakil industri dan pemegang taruh yang lain dalam merangka dan merencana wadah pendidikan tinggi yang berdaya tahan dan sejajar dengan perubahan.

“Situasi semasa memerlukan kita untuk merangka satu kurikulum yang bersifat lebih dinamik, hibrid dan fleksibel. Sejak 2022, UTM sebenarnya sudah bergerak ke arah itu dengan inisiatif UTM HyFlex, berdasarkan Perancangan Strategik enVision UTM 2025”, ulas beliau sewaktu diwawancara Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat (OSCA) pada 21 Jun 2023.

Di samping itu, di bawah kepimpinan beliau, UTM mengorak langkah ke hadapan dengan mewujudkan Model Baharu Kerangka Kurikulum untuk Graduan Berorientasikan Masa Hadapan bagi menyokong inisiatif UTM HyFlex.

“Model baharu ini dirangka untuk melahirkan graduan masa hadapan yang dapat melaksanakan penyelesaian secara inovatif, menjadi warganegara yang konstruktif, mempunyai kemahiran berdaya usaha, dan memiliki kecerdasan sosial.

“Namun, apa yang lebih utama adalah pelajar-pelajar generasi kini ditekankan dan diterapkan dengan elemen Adab dan Nilai, sekali gus menjadi pegangan mereka tatkala mereka kembali mencurahkan bakti kepada komuniti,” tambah beliau.

Biar Jasa Jadi Kenangan

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menyifatkan Prof. Hishamuddin sebagai antara teraju utama universiti dalam memacu kecemerlangan di bidang akademik.

“Di bawah kepimpinan beliau, sebanyak 25 Massive Open Online Course (MOOCs) dan 43 Micro-Credentials telah berjaya ditawarkan. Enrolmen MOOCs adalah seramai 5,137 pelajar tempatan dan antarabangsa dengan jumlah pembangun MOOCs seramai 115 orang.

“Selain itu, enrolmen bagi pelajar Pesisir dan Open Distance Learning (ODL) ialah seramai 472 Pelajar Pesisir dan 257 Pelajar ODL. Buat julung kalinya, 101 orang graduan ODL telah digraduankan pada Majlis Konvokesyen UTM Kali Ke-66. Malah, Program Pesisir dan ODL telah menjana pendapatan universiti, masing-masing dengan jumlah RM4.4 juta dan RM2.4 juta”, jelas Datuk Ahmad Fauzi ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penghargaan dan sesi Clock-Out Prof. Hishamuddin.

Datuk Ahmad Fauzi menyampaikan cendera kenangan kepada Prof. Hishamuddin.

Titipan Nasihat Beri Manfaat

Prof. Hishamuddin dalam ucapannya pula sempat menitipkan beberapa pesanan supaya legasi perjuangan ini tidak berhenti. Malah, diteruskan dengan membawa harapan anak bangsa masa hadapan.

“Ilmu itu sangat bernilai. Tetapi ilmu itu tidak bernilai kalau ianya didukung atau dibawa oleh orang yang tidak dapat mengamalkan (ilmu) itu dengan baik, dan juga tidak menunjukkan akhlak atau adab yang baik. Kerana, nilai ilmu itu bergantung kepada nilai kemanusiaan.

“Di samping itu, selain kebolehpasaran graduan, kita juga perlu menilai dan meningkatkan kebolehpasaran program, penyelidikan, dan perkhidmatan. Akhirnya, ia akan memberi manfaat kepada masyarakat dan rakyat”, titip Prof. Hishamuddin.

Prof. Hishamuddin bersama kakitangan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa).

Majlis Penghargaan dan sesi Clock-Out Prof. Hishamuddin di Dewan Senat, UTM Johor Bahru turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad; Pengarah Kampus UTM Pagoh, Prof. Ts. Dr. Safian bin Sharif; Pendaftar UTM, Puan Hajah Nor Azizah Ismail, Dekan-Dekan Fakulti, Pegawai-Pegawai Kanan Universiti serta kakitangan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa).

Sesi clock-out terakhir Prof. Hishamuddin sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa).
Pengesahan clock-out terakhir Prof. Hishamuddin tepat jam 3.30 petang.
Lambaian perpisahan Prof. Hishamuddin sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa).

Explore More