Mei 18, 2024

Search
Close this search box.

Penyelidik dan Syarikat Hiliran UTM muncul antara Pemenang Utama Anugerah Pengkomersialan Malaysia 2022

Kuala Lumpur, 4 Ogos Dua penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobatkan sebagai Pemenang Utama dalam dua kategori berbeza dalam Anugerah Pengkomersialan Malaysia 2022 pagi tadi.

Majlis yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi bin Abu Husain, Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) dan Prof. Madya Dr Siti Hamidah binti Mohd Setapar, Timbalan Dekan, Malaysia-Japan Institute International of Technology (MJIIT) menerima anugerah berkenaan dalam Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Malaysian Commercialisation Year (MCY) 2023.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi mengungguli kategori Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan yang membolehkannya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 130,000.00. Pengiktarafan ini adalah berdasarkan pengkomersialan produk dan perkhidmatan melalui syarikat ACTS Smart Solutions Sdn Bhd, sebuah syarikat hiliran di bawah UTM, iaitu Structural Dynamic Monitoring for Ageing Offshore Platform.

Prof. Madya Dr Mohd Khairi menerima anugerah daripada YAB Perdana Menteri pagi tadi.

Sementara itu, Prof. Madya Dr Siti Hamidah pula mengungguli kategori Anugerah Usahawan Penyelidik turut membawa wang tunai sebanyak RM130,000.00 melalui NK Age-Reverse, produk ciptaan syarikat hiliran di bawah teraju beliau, SHE Empire Sdn Bhd.

Prof. Madya Dr. Siti Hamidah menerima anugerah yang dimenangi.

Selain dua penyelidik dan juga usahawan ini, Prof Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi, turut menerima hadiah sagu hati bernilai RM50,000.00 dalam kategori Anugerah Inovator Baharu berdasarkan pencapaiannya melalui syarikat A2Tech Sdn Bhd.

Prof. ‘Athif memberi penerangan tentang produk yang dihasilkan kepada YAB Perdana Menteri.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail kejayaan ini adalah selaras dengan pelan tindakan dan inisiatif yang telah disusun untuk menjayakan misi dan visi Pelan Strategik enVision UTM 2025 serta UTM Research and Innovation Blueprint 2025.

“Pihak UTM amat berbangga dengan kejayaan ini. UTM sememangnya memfokuskan kepada pemantapan ekosistem inovasi bagi membolehkan penyelidik kita menterjemahkan penyelidikan fundamental kepada translasional agar dapat memberikan manfaat kepada komuniti dan industri.

“Antara inisiatif UTM adalah dengan mewujudkan Program Inkubator ICCubeX UTM pada tahun 2022.

“Program unik ini berfungsi untuk mengintegrasikan dan menambah baik ekosistem pengkomersialan teknologi di bawah pengurusan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) agar lebih tersusun dalam melahirkan usahawan tekno UTM berkualiti tinggi.

“UTM sebagai Universiti Penyelidikan perlu dan wajar menjana penciptaan kekayaan melalui pengkomersialan teknologi dan amat perlu untuk kita wujudkan ekosistem yang kondusif,” tambah Prof. Datuk Fauzi.

Lima kategori dipertandingkan dalam Anugerah MCY 2022, iaitu Anugerah Pencapaian Pengkomersilan, Anugerah Inovator Baharu, Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan, Anugerah Usahawan Penyelidik, dan Anugerah Usahawan Sosial.

Penganugerahan ini merupakan suatu pengiktirafan kepada para penyelidik dan usahawan Malaysia yang telah berjaya mengkomersialkan produk yang dihasilkan melalui penyelidikan dan inovasi di pasaran tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun 2022.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Chang Lih Kang; Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi India, Bollavaram Nagabhushana Reddy; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Athur Joseph Kurup, dan Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Untuk rekod, UTM menduduki tempat pertama di Malaysia dalam Matlamat Pembangunan Mampan kesembilan (SDG 9; Industry, Innovation and Infrastructure) melalui penarafan Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023. Penganugerahan ini membuktikan UTM sentiasa menerajui kecemerlangan dalam meraih dana dan pendapatan melalui aspek pengkomersialan.

Explore More