Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

Pelantikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Baharu Universiti Teknologi Malaysia

JOHOR BAHRU, 28 Ogos – YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim dengan rasminya telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu berkuat kuasa pada 3 September 2023.

Prof. Dr Mohd Shafry bin Mohd Rahim, 47 tahun, merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2008. Beliau juga merupakan Profesor dalam bidang Pemprosesan Imej di Fakulti Komputeran, UTM. Perkhidmatan beliau di UTM bermula pada tahun 2004 di Fakulti Sains Komputer menyaksikan beliau mula terlibat dalam tugasan pentadbiran akademik termasuklah menjadi penyelaras program pembangunan pelajar, pengambilan pelajar baharu, program luar kampus dan fasiliti makmal.

Sepanjang 19 tahun perkhidmatan di UTM, Prof. Dr Mohd Shafry menunjukkan keupayaan tinggi dalam kepimpinan dan pentadbiran akademik melalui pelbagai pelantikan, antaranya Ketua Jabatan (Program Luar), Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat UTM (2012−2013), Ketua Pegawai Operasi, UTMSPACE Kuala Lumpur, Pengerusi Pengajian Prasiswazah, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), dan Pengerusi Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (UTM iLeaGue). Terkini, beliau merupakan Pengarah Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM.

Kepakaran dan ketokohan beliau dalam memperkasa kecemerlangan akademik dan penyelidikan UTM diserlahkan lagi melalui penglibatannya sebagai pengasas kepada penubuhan empat buah institut, iaitu Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital (MaGICX), SPACE College, UTM iLeaGue dan Pusat APEL. Beliau juga telah diberikan mandat untuk mengetuai jawatankuasa bagi memperkenalkan Future Oriented Curriculum Framework untuk menghasilkan graduan berorientasikan masa hadapan bagi semakan kurikulum 2023−2024.

Pihak Universiti percaya dengan pelantikan ini, Prof. Dr Mohd Shafry bin Mohd Rahim dapat memperhebat citra graduan UTM dan membawa institusi ini ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan apirasi Malaysia Madani khususnya dalam menjadikan pendidikan tinggi negara sebagai sektor tersohor di seantero dunia.

Explore More