Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

KALAM UTM, Jabatan Warisan Negara bantu pulihara Masjid Hiliran

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) telah mengadakan lawatan kerja ke salah sebuah masjid warisan di Malaysia; Masjid Hiliran yang terletak di Kuala Terengganu.

Lawatan kerja ini disertai seramai 12 orang pakar penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia, seorang penyelidik dari Politeknik Ibrahim Sultan; serta 6 orang pegawai dari Jabatan Warisan Negara (JWN) yang diketuai oleh Puan Mas Ayu binti Tahir, Kurator dari Jabatan Warisan Negara (JWN).

Program ini diadakan selama 4 hari bermula dari 16 Ogos sehingga 19 Ogos 2023. Lawatan ini merupakan gerak kerja bagi penyelidikan yang sedang dijalankan iaitu Kajian Awalan Bangunan Warisan Di Malaysia.

Masjid Hiliran merupakan salah sebuah khazanah Alam Melayu yang telah direkodkan dan didokumentasikan oleh KALAM pada tahun 1990 melalui program Lukisan Terukur. Pendokumentasian yang dijalankan telah dijadikan asas kepada penyelidikan ini.

Setelah zaman berubah, Masjid Hiliran yang dibina pada tahun 1925 ini semakin dimamah usia namun nilai sejarah dan senibinanya tidak pernah luput. Menerusi program ini, nilai-nilai sejarah dan senibina bangunan ini dapat dikekalkan untuk dijadikan rujukan pada masa akan datang melalui kajian dan penyelidikan yang lebih mendalam.

Program ini melibatkan kolaborasi antara pusat penyelidikan di UTM iaitu Forensic Engineering Centre (FEC), UTM Construction Research Centre (UTM CRC), dan Geoscience and Digital Earth Centre (INSTeG), kumpulan penyelidikan UTM; Construction Economics, Law & Policy (CELP), Land Administration and Development Studies (LAnDS) dan Tourism Planning Research Group (TPRG), Institusi; Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Agensi; Jabatan Warisan Negara (JWN), Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu (JKR) serta Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Terengganu, serta komuniti; ahli jawatankuasa Masjid Hiliran.

Objektif lawatan kerja ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai senibina warisan Masjid Hiliran yang merupakan antara aset warisan negara, mendapatkan maklumat dan data yang boleh dipercayai melalui Focus Group Discussion (FGD) daripada agensi, komuniti serta pakar-pakar jemputan serta memberi pemahaman mengenai kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan.

Melalui lawatan kerja ini, ianya mampu membentuk hubungan kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat iaitu Jabatan Warisan Negara, Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu, Muzium Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan KALAM, UTM.

Program ini diterajui oleh Pengarah KALAM, Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman selaku Ketua Program serta dibantu oleh pasukan Pengurusan KALAM. Pelaksanaan program ini dimulakan dengan lawatan kerja serta Focus Group Discussion (FGD) di tapak kajian, menjalankan kerja-kerja lapangan dan seterusnya menyelusuri warisan di sekitar Kuala Terengganu.

Peserta program menerima taklimat daripada penyelidik dan pakar-pakar jemputan iaitu Ar. IDr. Ts Noraslinda binti Abdul Rahman (Pengarah KALAM), Puan Mas Ayu binti Tahir (Kurator dari JWN), En Azuan bin Haron (Penolong Pengarah Sejarah LMNT) dan Dato Haji Muhatar bin Abdullah (Mantan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu).

Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kerja-kerja pengumpulan bahan sejarah dan juga kerja-kerja teknikal. Melalui hasil dapatan program, ia dapat digunakan bagi mencapai objektif penyelidikan kajian ini.

Program seperti ini wajar dilaksanakan lagi pada masa akan datang kerana ianya merupakan antara kaedah terbaik dalam mengumpulkan data-data yang boleh dipercayai serta dalam masa yang sama ianya membantu membentuk hubungan kolaborasi antara institusi, agensi dan juga komuniti sekaligus memberi pendedahan mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan.

Di akhir program, sedikit sumbangan dan cenderahati diserahkan kepada pihak komuniti masjid serta agensi-agensi yang terlibat dalam program FGD ini.

Program ini diteruskan dengan agenda menjejak senibina dan warisan Terengganu melalui lawatan tapak ke rumah dan bangunan yang mempunyai identiti senibina yang hampir menyerupai senibina Masjid Hiliran serta mengumpulkan bahan-bahan penyelidikan dari agensi yang boleh digunakan dalam penyelidikan ini.

Di akhir program, sedikit sumbangan dan cenderahati dari pihak KALAM telah diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Hiliran serta agensi-agensi yang terlibat.

Peserta program FGD di Masjid Hiliran yang terdiri daripada wakil Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu, wakil Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Terengganu, ahli jawatankuasa Masjid Hiliran dan Jabatan Warisan Negara.

 

Penyelidik UTM bergambar di hadapan Bangunan Masjid Hiliran bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa Masjid Hiliran.

 

Lawatan ke Muzium Negeri Terengganu bersama-sama dengan En Azuan Harun; Penolong Pengarah Sejarah dari Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

 

Peserta bengkel FGD mendengar taklimat ringkas daripada En Mohd Amiruddin bin Mohd Suhaimi; wakil Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.

 

Peserta bengkel FGD mendengar taklimat ringkas daripada Pn Mas Ayu binti Tahir; Kurator dari Jabatan Warisan Negara.

 

Sesi pembentangan daripada Pengarah KALAM; Ar. IDr. Ts Noraslinda binti Abdul Rahman.

 

Sesi perkongsian ilmu bersama En Azuan bin Harun; Penolong Pengarah Sejarah dari Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

 

Sesi perkongsian ilmu bersama Dato’ Haji Muhatar bin Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Hiliran, Terengganu.

 

Perbincangan FGD bagi skop sejarah antara penyelidik UTM, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan ahli ahli jawatankuasa masjid.

 

Penyerahan sumbangan kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Hiliran.

 

Penyerahan cenderahati kepada Haji Othman bin Ismail, Setiausaha Masjid Hiliran.

 

Penyerahan cenderahati kepada En Syafik bin Hashim; wakil Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu.

 

Kerja-kerja teknikal bagi mengenalpasti senibina bangunan warisan sedang dijalankan.

 

Wakil Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu sedang menunjukkan lokasi kolah lama.

 

Proses kerja-kerja pengukuran sedang dijalankan oleh urusetia KALAM.

 

Kerja-kerja merekod sedang dijalankan.

 

Proses menaikkan drone di kawasan tapak masjid.

 

Pengarah KALAM bersama-sama dengan pasukan urusetia menerajui program Lawatan Kerja bagi projek Kajian Awalan Bangunan Warisan Di Malaysia.

Explore More