Mei 21, 2024

Search
Close this search box.

Citra Karisma UTM 2023 angkat prestasi cemerlang staf, simbolik penghargaan berterusan Universiti

JOHOR BAHRU, 16 Ogos − Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menganjurkan majlis Citra Karisma 2023 bagi meraikan dan mengiktiraf kecemerlangan prestasi hampir 600 orang warga kerjanya di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM Johor Bahru.

Majlis anjuran Jabatan Pendaftar UTM ini merupakan acara tahunan bagi menghargai staf UTM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang sepanjang perkhidmatan bagi tahun penilaian semasa.

Selain itu, majlis ini turut menghargai individu dan kumpulan staf yang telah berjaya membawa nama Universiti di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi sumbangan penyelidikan, perundingan, pengajaran dan pembelajaran serta lain-lain bidang.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapannya menekankan peri penting semangat kerjasama dan kerja secara berpasukan  dalam memastikan kejayaan dalam usaha meletakkan Universiti di tahap yang cemerlang.

“If you want to go fast, go alone. If you want to go far, go together. Kita haruslah menanamkan semangat kerja berpasukan dan kebersamaan untuk memastikan kita dan UTM sentiasa cemerlang dan mempunyai reputasi yang tinggi,” katanya.

Prof. Datuk Fauzi ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa dalam memenuhi tuntutan KPI yang telah ditetapkan, sahsiah dan integriti perlu dijaga dan diseimbangkan seiring dengan pencapaian prestasi tinggi yang ditunjukkan.

Tan Sri Dato’Salleh bin Haji Mohd Nor, Pro-Canselor UTM yang juga penyampai anugerah dalam majlis itu, turut menggesa para penyelidik UTM khususnya agar dapat membangunkan inovasi dan teknologi mengikut kepakaran masing-masing dalam membantu masyarakat sejagat sehingga hasilnya mampu meraih pengiktirafan global yang cukup berprestij, seperti Nobel Laureate, yang dapat membanggakan bukan sahaja UTM mengangkat kedudukan negar ke peringkat yang lebih tinggi.

Tan Sri Salleh berbusana lengkap Melayu klasik sewaktu menitipkan kata-kata kepada hadirin.

Malaysia can not be a developed country unless we produce the first Nobel Laureate. Kita tidak boleh menganggap kita maju  technologically, jika kita tidak menghasilkan penerima Nobel Laureate dalam bidang sains dan teknologi,” tegas Tan Sri Salleh.

Menyorot kepada anugerah yang diberikan memperlihatkan Universiti memberi pengikirafan tinggi dalam pelbagai usaha inovasi yang berimpak warga kerja UTM antaranya Anugerah Tokoh Penyelidik, Anugerah Penyelidikan, Anugerah Perekacipta, dan Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk.

Selain mengangkat kecemerlangan prestasi warga kerjanya, UTM turut menzahirkan penghargaan kepada staf yang telah tiada namun meninggalkan sumbangan besar kepada Universiti melalui Anugerah Khas Anumerta. Anugerah ini diberikan kepada Allahyarham Prof. Dr. Mohammad Nazri Bin Mohd Jaafar, FKM atas jasa dan sumbangan kepada universiti dalam bidang penyelidikan  Kejuruteraan, Sains, Aeroangkasa, Gas dan Biodiesel sepanjang perkhidmatan beliau di UTM semenjak 7 Ogos 1986 hingga 18 Mac 2023.

Anugerah paling berprestij sempena Citra Karisma 2023 iaitu  Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) yang menyaksikan projek bertajuk Iskandar Malaysia Ecolife Challenge mengungguli anugerah ini.

Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah (berbaju merah hati) bersama ahli pasukannya sewaktu menerima AINC.

Projek inovasi yang diketuai oleh Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah ini merupakan projek berimpak tinggi yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak dari tahun 2013 bagi memupuk kesedaran dan menanam pengetahuan tentang Masyarakat Rendah Karbon (MRK) melalui pendidikan di sekolah. Pemenang menerima sijil, trofi serta hadiah kemenangan berjumlah RM10,000.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai bin Mohamed,  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Citra Karisma 2023, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shmasul Sahibuddin, dan Pendaftar, Hajah Nor Azizah Ismail.

Untuk rekod, majlis Citra Karisma telah pun mula diadakan semenjak 1994 dan kini memasuki tahun ke-29 penganjurannya.

Wajah ceria penerima-penerima anugerah semepena Citra Karisma 2023.
Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang merupakan kelompok penerima anugerah teramai dalam Citra Karisma 2023.
Unsur kepelbagaian turut diketengahkan dalam persembahan pada majlis ini.
Persembahan berunsur Hari Kemerdekaan turut diselitkan.

Explore More