Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

Anugerah pasukan lelaki terbaik suntik semangat skuad bola sepak veteran UTM

JOHOR BAHRU, 16 Ogos – Kejayaan menggondol Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik dalam Majlis Citra Karisma UTM 2023 pada 16 Ogos 2023 lalu menjadi tonik buat pasukan Bolasepak Veteran UTM mengharungi musim 2024 dengan lebih gemilang. Walaupun hadir sebagai bukan pilihan, pasukan bolasepak UTM Veteran melakar kejutan meraih pingat emas SUKUM 2022 di UPM Serdang.

Keharmonian pasukan, hubungan erat antara pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan pasukan dan juga urusetia UTM Sports Excellence jelas banyak membantu pasukan ini. Ia sekaligus menamatkan kemarau selama 19 tahun setelah kali terakhir UTM menjadi johan pada 1993 di bumi sendiri.

Sepanjang SUKUM, pasukan UTM Veteran ibarat satu keluarga, sentiasa berkumpul dan meminta pandangan antara satu sama lain. Selain faktor keharmonian pasukan, ada beberapa fakta menarik lain berkenaan pasukan ini.

Perancangan Rapi

Antara strategi awal ialah pembentukan pasukan pengurusan terdiri dari ketua jurulatih Dr. Muhammad Fauzee Hamdan , Penolong Pengurus Ismail Abdul Karim, Bendahari Prof. Madya Dr. Zainul Akmar Zakaria dan Dzulhelmi Md Razali serta Dr. Wan Yusryzal Wan Ibrahim yang merancang jadual latihan. Jadual program juga adalah ‘realistik’ dan mendapat persetujuan bersama. Di samping itu pelan khas turut dirangka bagi memastikan pasukan berdaya saing baik dari segi prestasi mahupun kewangan.

Sokongan Penaja

Bagi menghadapi persiapan ke SUKUM 2022, pasukan telah menjalin kerjasama erat dengan penaja dan seterusnya membina kelestarian kewangan yang stabil. Sejumlah RM 10,300.00 berjaya dikumpulkan untuk membiayai pasukan melibatkan kos perlawanan ujian, elaun pemain, makan minum, peralatan, keraian dan lain-lain lagi.

Antara penaja utama pasukan ialah Unbox Resources, JBtech Enterprise, Membrane Technology, Mega Photo Laser Grammetry, Pintasan Sdn. Bhd. dan beberapa lagi. Unbox Resources dan Membrane Technology merupakan syarikat hiliran (spin-off) UTM manakala JBtech Enterprise pula syarikat milik Alumni UTM. Pujian khas buat Unit Endowmen UTM yang banyak membantu urusan penajaan/sumbangan melalui prosedur ditetapkan universiti. Selain itu juga barisan penaja mendapat kelebihan pengecualian cukai.

Persiapan ke SUKUM 2022

Sebelum kempen SUKUM 2022, pasukan telah merangka persiapan rapi melibatkan 17 perlawanan ujian menetang pasukan-pasukan seperti SSB FC, Maju, Kulim Berhad malah pasukan UTM Alumni sendiri di Kuala Lumpur. Pasukan mencatatkan 11 kemenangan, seri 2 kali dan tewas 7 selain menjaringkan 51 gol, bolos 29 namun yang paling penting pasukan mencapai kemuncak (peak) di SUKUM seperti yang diimpikan.

‘Captain Marvel’ Jersi Nombor 12

Antara ‘kelegaan’ utama seluruh pasukan ini ialah kapten Muhamad Fitri Amir Ramli bebas kecederaan di sepanjang SUKUM 2022. Penyarung tegar jersi nombor 12 ini merupakan enjin pasukan di bahagian tengah selain memiliki sentuhan pemusnah yang sangat tajam. Fitri pernah memenangi Piala Emas Raja-Raja tahun 2007 bersama pasukan Johor dan muka wajib pasukan bolasepak MAKSAK Johor setiap tahun.

Lebih menakjubkan lagi ialah kepantasan beliau masih standing pemain muda maka tidak hairanlah beliau juga dinobatkan lelaki veteran terpantas SUKUM 2022 mengenepikan cabaran bekas jaguh pecut negara dan pemenang emas Sukan SEA Hanoi 2003,  Nazmizan Muhammad. Pada Citra Karisma 2023, beliau turut dinobatkan Olahragawan UTM Tahun 2022.

Penglibatan Tonggak Lain dalam Liga Tempatan

Selain Muhamad Fitri Amir yang mewakili IOI Putra FC, beberapa tonggak lain turut beraksi bersama pasukan-pasukan besar  di sekitar Johor. Wan Mohd Norzaidi Wan Hussin merupakan ketua pasukan JMF FC, Megat Shahimi Noh bersama TCL FC di Piala MB Johor 2022, Dr. Wan Yusryzal Wan Ibrahim pemain utama JB Rangers di Liga Sr8 Pasir Gudang manakala Dzulhelmi Md Razali beraksi di Liga Veteran Kulai bersama Iris FC. Pengalaman luas beraksi bersama pasukan ternama di samping pemain berprofil tinggi ternyata memberi banyak kelebihan kepada UTM Veteran.

Kerja Keras Seluruh Pasukan

Benar kata orang, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Pasukan berlatih 3 hari seminggu selain hari perlawanan setiap hujung minggu. Kehadiran dalam latihan sangat cemerlang dan semua pemain yang diturunkan sentiasa memberi komitmen 100%.

Taktikal Berbeza Setiap Perlawanan

Ketua Jurulatih, Dr. Muhammad Fauzee Hamdan menggunakan strategi atau pendekatan berlainan bagi membolehkan dalam setiap perlawanan. Bukan sahaja formasi berbeza, barisan pemain yang diturunkan turut berbeza mengambilkira kekuatan dan kelemahan lawan yang dihadapi. Selain memastikan pemain kekal cergas, penggiliran pemain ini turut menyukarkan pasukan lawan menghidu taktikal pasukan ini.

Sokongan PTJ di UTM

Selain Unit Endowmen UTM, kredit wajar diberikan kepada urusetia di UTM Sports Excellence yang banyak menyokong keperluan dan persiapan pasukan terutamanya padang untuk latihan serta perlawanan ujian yang meliputi padang latihan Akademi JDT yang sangat berkualiti tinggi.

Pengorbanan oleh PTJ serta fakulti dalam memberi pelepasan kepada seluruh anggota pasukan juga sangat penting dan perlu diberi penghargaan khas kerana memungkinkan semua pemain dapat beraksi mengharumkan nama universiti.

 

 

Explore More