Mei 12, 2024

Search
Close this search box.

UTM KL perkasa bakat sukan staf, jalin ukhuwah bersama alumni menerusi UTM KL Sports Carnival 2023

KUALA LUMPUR, 22 Jun – UTMKL Sports Carnival merupakan Kejohanan Sukan Staf UTMKL dan Alumni yang diadakan bagi memperkasakan bakat – bakat sukan di kalangan warga universiti untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Kejohanan sukan ini bukan sahaja merupakan satu platform bagi memastikan teras pembangunan sukan universiti terpelihara, malah dapat memperkasakan jaringan kolaborasi strategik antara pelbagai agensi dalam pelbagai bentuk penganjuran yang berimpak tinggi, sama ada dalam sukan, keusahawanan, kepimpinan, kemasyarakatan, dan lain-lain.

Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Sukan UTM Kuala Lumpur menerusi kerjasama dengan pelbagai jabatan di UTM Kuala Lumpur. Kejohanan ini telah berlangsung pada 15 Mei hingga 22 Jun 2023 di sekitar Kampus UTM Kuala Lumpur dengan melibatkan 11 jenis sukan.

Seramai 400 orang Atlet, Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Jawatankuasa Induk Kejohanan dan Sekretariat Sukan dan Rekreasi yang terdiri dari kalangan pelajar UTM Kuala Lumpur terlibat dalam menjayakan kejohanan ini.

Uniknya UTMKL Sports Carnival adalah kejohanan ini telah berjaya menyatukan lima entiti yang berbeza iaitu Staf UTM Kuala Lumpur, UTM SPACE, UTM Holding, Persatuan Alumni UTM, dan Alumni UTM di bawah SATU payung yang sama dalam merealisasikan penganjuran kejohanan ini.

Penyertaan atlet – atlet dari alumni diibaratkan seperti sireh pulang ke ganggang.  Kesemua entiti tersebut dipecahkan kepada kontinjen iaitu Panther, Raptor, Viper, Rafale, Agusta, dan Patriots.

Penamaan baharu kontinjen ini merupakan inovasi Pusat Kecemerlangan Sukan dalam menyemarakkan kejohanan dan memastikan identiti kontinjen dikenali dengan lebih meluas seterusnya digunapakai pada tahun – tahun akan datang.

Ketua – ketua kontinjen bersama Pro Naib Canselor, Ketua Pentadbiran, dan Pengerusi Kejohanan.

Pusat Kecemerlangan Sukan juga telah berjaya menubuhkan Sekretariat Sukan dan Rekreasi (SSR) yang terdiri daripada 30 orang Pelajar UTMKL.  Pelajar – pelajar tersebut telah dilibatkan bersama dalam pengurusan teknikal kejohanan dan pengurusan sepanjang kejohanan berlangsung.

Secara tidak langsung, ini adalah platform yang terbaik untuk para pelajar memperkasakan bakat dalam kemahiran kendiri, pengurusan, dan pentadbiran.

UTM Holding, Persatuan Alumni UTM, Duopharma, Pusat Islam UTM Kuala Lumpur, UTM Alumni, UTM SPACE, dan Institut Kebisingan dan Getaran merupakan badan/agensi yang menjadi tulang belakang dengan memberi sokongan padu dan jitu dalam menaja kejohanan bagi dua tahun yang berturut-turut.

Penyampaian cenderamata kepada penaja – penaja utama kejohanan.

Juara keseluruhan UTMKL Sports Carnival 2023 telah dimenangi oleh Kontinjen Panther yang terdiri daripada jemputan khas iaitu UTM SPACE, UTM Holding, dan Persatuan Alumni UTM dengan pungutan pingat sebanyak 4 emas, 5 perak dan 3 gangsa.

Ini merupakan kemenangan kali kedua berturut – turut oleh jemputan khas yang sama.

Kontinjen Panther (UTM SPACE, UTM Holding, PAUTM) bersama YBrs. Prof. Dr. Nazri bin Ali, Yang Berbahagia Dato’ Ir. Haji Mohamad Khairi bin Ambran, Encik Ahmad Kamil Kushairi menerima Piala Juara Keseluruhan Kejohanan.

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah UTMKL Sports Carnival – Kejohanan Sukan Staf UTMKL dan Alumni 2023 telah berlangsung pada 22 Jun 2023 dan disempurnakan oleh Pro Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh di Grand Banquet Hall, Residensi UTM Kuala Lumpur.

Pro Naib Canselor menyatakan dalam ucapan beliau di mana warga UTMKL berjaya menyahut seruan Datuk Naib Canselor UTM yang menekankan beberapa elemen kesejahteraan warga universiti yang merangkumi pengukuhan rohani dan jati diri, Gaya Hidup Sihat, dan Jalinan Ukhuwah.

Beliau juga menyatakan bahawa yakin kejohanan sukan seperti ini adalah penting dalam memastikan kualiti kesihatan, fizikal, mental dan spiritual bagi setiap warga universiti sentiasa di paras yang optimum bagi menghasilkan produktiviti kerja yang lebih berkualiti, suasana kerja yang lebih ceria, dan budaya kerja yang lebih cemerlang.

Pro Naib Canselor menyampaikan sijil penghargaan sekretariat kepada Pengerusi Kejohanan, Encik Nabil Hazwan bin Muhamad Hasim.
Pengerusi Kejohanan menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Pro Naib Canselor atas kesudian merasmikan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan UTMKL Sports Carnival 2023.

 

Explore More