Mei 16, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan IKIM jalin kerjasama penyelidikan, tingkat kefahaman Islam di peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR, 14 Jul. – Dalam usaha mewujudkan jalinan usahasama di antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), kedua-dua pihak tersebut telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sebuah majlis yang berlangsung di Dewan Seminar, Anjung Menara Razak, UTM Kuala Lumpur.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, menandatangani MoU itu mewakili pihak UTM, manakala IKIM diwakili oleh Ketua Pengarah mereka, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil.

MoU tersebut antara lain dapat membuka peluang kepada kedua-dua pihak dalam melakukan penyelidikan bersama di samping membangunkan bidang kepakaran baru serta memantapkan bidang penyelidikan yang berfokus kepada kajian menyeluruh tentang peranan Islam dan umat Islam bagi menghadapi cabaran semasa.

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM, dalam ucapan beliau telah menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati dapat bersama-sama menghadiri sebuah majlis yang dapat menyaksikan hubungan kerjasama antara dua institusi yang hebat di Malaysia bakal terjalin.

Beliau amat yakin bahawa usaha ini dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dalam menyerapkan ilmu dan kefahaman yang benar mengenai agama Islam di Malaysia dan antarabangsa.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil juga menyatakan dalam ucapan beliau iaitu jalinan usahama antara IKIM dan UTM telah wujud dengan bermulanya penglibatan Pusat Kajian Islam Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS) bersama pihak IKIM dalam program seperti seminar, forum, syarahan dan perbincangan yang mengutamakan isu masyarakat dan peradaban dalam konteks Islam.

Turut hadir, Pro Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh dan Timbalan Pengerusi IKIM, Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz.

Permulaan majlis ini diserikan dengan sesi Forum Bicara Ad-Din yang bertajuk “Peranan Ilmu dan Akhlak Dalam Membangun Peradaban”.

Antara panel yang menghiasi sesi forum ini adalah Prof. Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM dan gandingan bersama Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik (SYARAK) IKIM serta perantara forum, Ahmad Nazri Mohd Yusof yang merupakan personaliti Radio IKIM.

 

Explore More