April 28, 2024

Search
Close this search box.

30 Tahun SPACE UTM – Memperkasa Pembelajaran Sepanjang Hayat

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ulangtahun 30 tahun SPACE disambut meriah oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah UTMSPACE termasuk Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE iaitu  Prof. Ts. Dr Nazri bin Ali, serta  seluruh warga UTMSPACE di Intercontinental Hotel, Kuala Lumpur.

Majlis Ulangtahun ini telah disempurnakan oleh  Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dengan gimik montaj yang sangat menarik serta diikuti dengan acara memotong kek 30 Tahun SPACE UTM yang merupakan simbolik kepada sambutan ini.

Sepanjang 30 tahun penubuhan SPACEUTM, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mempromosikan dan memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat kepada komuniti.  Antara inisiatifnya adalah penubuhan UTMSPACE yang berperanan sebagai sebuah anak syarikat milik penuh UTM untuk mempromosi dan menggerakkan SPACE UTM sebagai sebuah sekolah yang menawarkan program public university private wing (PUPW) secara pembiayaan sendiri.

Sehingga kini, SPACE UTM telah menawarkan 110 program yang merangkumi pengajian sepenuh dan separuh masa. Antara program yang ditawarkan adalah Program Asasi, Bridging, Diploma Sepenuh dan Separuh Masa, Sarjana Muda Sepenuh dan Separuh Masa dan Program Kerjasama dengan jumlah pelajar seramai 8,922 orang bagi tahun 2023. UTMSPACE juga telah melahirkan seramai 60,965 graduan didalam pelbagai bidang.

Dalam ucapan perasmian Yang Berbahagia Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, beliau menyatakan bahawa kini, SPACE UTM harus lebih bersedia berdepan dengan cabaran dan melihat kepada keperluan masa hadapan.

Sebagai peneraju pembelajaran sepanjang hayat, SPACE UTM perlu sentiasa dinamik dan produktif dalam mengurus tadbir pendidikan dengan lebih efisien serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada pelajar.

Beliau turut menegaskan, pemantapan kualiti sistem penyampaian sentiasa menjadi fokus kepada SPACE UTM yang meliputi skop akademik, pentadbiran, penjawatan dan lain-lain lagi. Inisiatif-inisiatif yang berkualiti perlu dilaksanakan bagi memastikan kepuasan pemegang taruh terjaga khususnya yang berkaitan secara langsung dengan pihak SPACE UTM.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh staf di atas ulang tahun ke 30 SPACE UTM dan mendoakan agar SPACE UTM mengekalkan momentumnya untuk merentasi masa dengan lebih cemerlang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE Berhad, Prof. Ts. Dr. Nazri Ali yang turut berucap dalam majlis tersebut berkata bahawa SPACE UTM sangat yakin bahawa staf yang berkemahiran, inovatif dan berdedikasi merupakan aset terpenting bagi menggerakkan misi dan visi SPACE UTM sekali gus  memenuhi matlamat UTM yang telah diamanahkan.

Beliau mengingatkan bahawa “SPACE UTM perlu dinamik dan produktif dalam mengurus tadbir Pendidikan dengan lebih efisyen serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada pelajar”.

Semasa majlis berlangsung, artis jemputan Siti Nordiana Alias telah membuat persembahan nyanyian khas bagi meraikan komitmen semua warga SPACE UTM sepanjang 30 tahun perkhidmatan.

Tahniah diucapkan kepada SPACE UTM atas sambutan yang gilang gemilang ini. Semoga SPACE UTM terus cemerlang dan dapat terus melahirkan graduan yang berkualiti dan dapat menyumbang kepada bangsa dan negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More