Februari 27, 2024

Search
Close this search box.

Johor Bahru, 18 Jul. – Seramai sembilan penyelidik UTM berjaya memperoleh dana bagi pelaksanaan projek lestari di bawah Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 3.0 (Geran IPRK). Penganugerah geran ini oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri menyaksikan sejumlah RM 500,000.00 peruntukan yang ditawarkan bagi menjalankan projek-projek untuk menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon dan mendepani perubahan iklim.

Daripada peruntukan geran bernilai setengah juta ini, 26 penerima geran yang turut melibatkan penyelidik UTM sedang menggerakkan projek-projek di bawah empat kategori, iaitu Infrastruktur Hijau dan Pintar, Pengurusan Sisa yang Mampan, Pertanian dan Sekuriti Makanan, dan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar.

Dr Mohd Ikram Zakaria dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, salah seorang penerima Geran IPRK menjelaskan projek yang sudah mula digerakkan iaitu Laman Kompos telah berjaya menerima pendanaan sebanyak RM 10,000.00 menerusi geran ini.

Dr Ikram seusai menerima Geran IPRK 3.0.

“Projek ini dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada komuniti mengenai amalan rendah karbon melalui aktiviti pengkomposan dan kesedaran ini haruslah dimulakan dari pendidikan peringkat rendah.”

“Terdapat lima program utama dalam projek Laman Kompos ini termasuklah pembinaan laman kompos sekolah,ceramah kesedaran rendah karbon melalui aktiviti pengkomposan melibatkan komuniti Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 1 dan PIBG, bengkel kaedah pengkomposan Bokashi & Takakura melibatkan murid sekolah, pertandingan penghasilan bahan kompos mengikut unit beruniform dan menggunakan baja kompos bagi membangunkan salah sebuah taman di sekolah berkenaan,” jelas Dr Ikram.

Seorang lagi penerima geran, Dr Zainab Asus dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal yang mengetengahkan projek Smart Hidroponik Higrowpot turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Johor dan syarikat pengusaha hidroponik, MSCD Hisdoponik DIY selain Sekolah Kebangsaan Taman Tun Aminah yang menjadi lokasi pelaksanaannya.

Dr Zainab (kiri) bersama Dr Alafiza yang turut menerima Geran IPRK 3.0.

“Memandangkan penggunaan pot biasa bagi projek hidroponik boleh mengundang pembiakan nyamuk, kami memilih untuk menggunakan Higrowpot berasaskan cocopeat yg dipadatkan ke dalam pasu. Higrowpot juga boleh digunakan kepada lebih banyak jenis tanaman berbanding pot yang biasa.

“Pihak kami juga menyasarkan projek ini dapat dirasmikan pada Oktober nanti bersama-sama dengan pihak MBIP,” tambah Dr Zainab.

Dr Syahrul Ridhwan Morazuki dari Sekolah Pendidikan, FSSH UTM pula mengerakkan projek Automated Solar-Rain System (SOLARAIN) merupakan projek pengurusan fertigasi yang menggabungkan teknologi sistem suria dan pengaliran air ke tanaman daripada tadahan air hujan secara automatik. Selain itu, pembajaan bagi tanaman juga dilaksanakan secara automatik.

“Projek ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber domestik khususnya elektrik dan air, sekali gus boleh menjimatkan kos yang perlu ditanggung. Projek ini juga boleh dipantau dan dikawal menerusi telefon bimbit,” jelas Dr Syahrul.

Dr Syahrul bersama Dr Ikhwan dan Dr Hasniza yang juga penerima Geran IPRK 3.0.

Projek ini mendapat kerjasama dan penglibatan guru dan murid daripada dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Desa Skudai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Skudai yang turut menjadi lokasi pelaksanaan projek.

Selain Dr Syahrul, penerima lain bagi Geran IPRK 3.0 melibatkan pensyarah UTM daripada pelbagai bidang bidang antaranya Dr Muhammad Ariff Baharudin (SEFIA: Sistem Fotovolta IOT Akuakultur), Dr. Noralafiza Yunus (Smart Farming @Ladang Fertigasi Koperasi Masjid Impian Emas), dan TPR. Dr Gobi Krishna a/l SInniah (Restoring Mangrove with Community). Kelompok penerima ini meraih geran bagi kategori Infrastruktur Hijau dan Pintar dan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Lama Sekitar.

Manakala Ts Muhammad Imran Ismail (Kebun Dapur Lestari), dan Prof. Dr Norahim Ibrahim (Pertanian Bestari) mearih geran di bawah kategori Pertanian & Sekuriti Makanan dan Pengurusan Sisa Mampan sepertimana Dr Ikram dan Dr Zainab.

Penglibatan pensyarah-pensyarah ini menjadi bukti UTM sentiasa menyokong ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam memastikan agenda pembangunan mampan yang diimpikan bergerak pada landasan yang tepat.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, kesemua penerima Geran IPRK 3.0 ini diberi tempoh selama enam bulan bermula 1 Julai 2023 sehingga Januari 2024 bagi menjayakan projek yang telah dirancangkan.

Explore More