Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

Penyelidik UTM bangunkan Wireless Accelerometer kesan gempa bumi awal

Sejak 2007 hingga 2015, Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia) telah merekodkan sebanyak 31 gegaran bermagnitud rendah di negara kita. Di samping itu, memetik laporan United States Geological Survey, lebih 65 gempa bumi telah direkodkan di Sabah sejak 1900, manakala lebih 20 gempa bumi dikesan di Sarawak sejak tahun 1970.

Malah, Malaysia juga pernah berhadapan dengan gempa bumi berukuran 6 magnitud pada tahun 2015 di Ranau, Sabah yang telah mengorbankan 18 orang.

Bersandarkan rekod, data dan fakta, walaupun Malaysia masih dikategorikan sebagai negara yang terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, seharusnya kita perlu berwaspada dan bersedia dengan ancaman gempa bumi yang dilihat amat kerap berlaku di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Inovasi pengesanan gempa bumi

Sementara itu, sekumpulan penyelidik dari Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Kejuruteraan Gempa Bumi (eSEER), Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM telah berjaya membangunkan alat pengesan gempa bumi yang dipasang pada bangunan.

Tujuan penciptaan alat yang dinamakan ‘Wireless Accelerometer’ ini mengesan kehadiran fenomena gempa bumi dan bertindak mengeluarkan bunyi siren amaran kepada penghuni dalam bangunan supaya keluar menyelamatkan diri.  Alat ini dipasang pada struktur bangunan bagi mengesan kehadiran gegaran bumi.

Alat ini juga dibangunkan untuk menghantar mesej kepada semua agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membolehkan agensi-agensi tersebut menggerakkan kekuatan masing-masing ke lokasi kejadian.

Ini bagi mengelakkan pembaziran waktu dan sumber di mana pasukan penyelamat terpaksa mencari dan menyelamat di serata tempat tanpa mengetahui di mana punca berlaku gegaran yang sebenarnya.

Ciri-ciri Wireless Accelerometer

Alat ini dibangunakan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Awam UTM yang diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Nur Asmawisham Alel.

Alat ini dibangunkan dengan menggunakan tenaga solar sebagai tenaga utamanya bagi menggantikan bateri dan juga tenaga elektrik konvensional (terputus ketika gempa bumi) dan boleh berfungsi untuk terus menghantar data kepada agensi berkaitan untuk kerja-kerja menyelamat dan analisis data.

Ts. Dr. Mohd Nur Asmawisham Alel menunjukkan alatan Wireless Accelerometer selepas sesi wawancara di biliknya. Beliau adalah ketua penyelidik yang bertanggungjawab membangunkan alatan ini bersama kumpulan penyelidikannya yang diterajuinya di Fakulti Kejuruteraan Awam UTM.
Dibangunkan dalam sejenis kotak yang diperbuat dari logam yang juga berfungsi sebagai pelindung alat ini dari kerosakan akibat gegaran gempa bumi.

Explore More