Disember 6, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa Kursus Budi Penyayang UTM bangunkan prototaip mesin penggredan kerang untuk komuniti Kampung Tampok Laut

JOHOR BAHRU, 17 Jun – Seramai 34 orang pelajar Kursus Budi Penyayang, UKQF 2312, dari Universiti Teknologi Malaysia, (UTM), di bawah bimbingan pengajar Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani, bersama komuniti Benut telah bergabung tenaga menjayakan program pembelajaran servis iaitu Program Makmal Komuniti Benut yang telah diadakan di Kampung Tampok Laut, Benut, Johor pada 2 Mei 2023 hingga 16 Jun yang lalu.

Program bersasar anjuran bersama UTM dengan Komuniti Benut itu bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan dan penjenamaan kawasan Kampung Tampok Laut, Benut.

Melalui kerjasama ini, para pelajar dan komuniti setempat telah berjaya membangunkan prototaip mesin penggredan kerang untuk kegunaan para nelayan, menjalankan aktiviti pemuliharaan dan rejuvenasi sekitar kawasan Jeti Kampung Tampok Laut dengan membangunkan papan tanda serta aktiviti gotong-royong.

Selain itu, sebuah prototaip cadangan pembangunan Taman Rekreasi Agro-Tourism Kampung Tampok Laut juga telah dibangunkan sebagai pelan rancangan pemuliharaan kepada penduduk Kampung Tampuk  Laut.

Penghulu Mukim Benut, Tuan Haji Ali Bin Mohamad, berkata beliau sangat berbesar hati kerana dapat bersama-sama terlibat dalam program itu yang membabitkan 34 orang pelajar UTM diiringi 30 orang penduduk Kampung Tampok Laut.

“Kami bertuah kerana UTM memilih Mukim Benut sebagai rakan kerjasama dalam menjayakan program pembangunan ini. Ia bukan sahaja dapat mewujudkan kerjasama antara UTM dan Komuniti Benut tetapi juga dapat melestarikan lagi kawasan persekitaran jeti pendaratan kerang dan taman rekreasi Kampung Tampok Laut.”

“Program ini juga dapat memudahkan para nelayan untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih cermat dan selamat. Ia juga sekali gus dapat memupuk semangat baharu kepada Komuniti Kampung Tampok Laut selepas memperolehi kemudahan baru yang telah disediakan oleh pihak UTM,” katanya.

Beliau berucap ketika majlis penutup program berkenaan yang disempurnakan oleh Ketua Projek Makmal Komuniti UTM-Benut, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Binti Mat Darus.

Impak positif program ini kepada komuniti dapat dilihat apabila Kursus Budi Penyayang, UKQF 2312, telah dinobatkan sebagai Johan Pembelajaran Servis Terbaik di majlis Community Engagement Showcase & Co-curricalur Carnival 2023 (CESCO 2023), di mana 48 kursus telah berkumpul mempamerkan program pembelajaran servis yang telah dijalankan sepanjang kursus berlangsung.

“Semua ini tidak akan terjadi sekiranya tiada sokongan dan kerjasama dari semua pelajar dan tidak lupa juga para komuniti yang memberi kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung sebelum, semasa dan selepas progam” kata Ts. ChM. Dr Nor Suriani Sani, pensyarah Kursus Budi Penyayang, UKQF 2312.

Melalui program kerjasama ini, pelajar dan komuniti diharap dapat memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru dalam teknik penggredan kerang, pemasaran dan penjenamaan melalui penggunaan elemen sains dan teknologi sebagai usaha menyokong misi penjenamaan semula Benut.

Hubungan kerjasama yang erat antara pihak Universiti dan komuniti, Benut perlu diteruskan agar fasiliti yang dibina ini dapat memberi manfaat kepada pihak nelayan dan komuniti secara berterusan.

34 pelajar dari kursus Budi Penyayang bersama-sama dengan Ts. ChM. Dr Suriani Sani, pensyarah kursus bergambar bersama 3 produk yang dihasilkan untuk dimanfaatkan oleh komuniti Kampung Tampok Laut.
Tok Md Yahya bin Sulaiman, Ketua Kampung Kawasan 12, Kampung Tampok, menggunakan Mesin Penggredan Kerang yang telah dibangunkan sambil dibantu oleh Ts. ChM. Dr Suriani Sani ketika Majlis Penutup Program Makmal Komuniti Benut Bagi Semester 2 Tahun 2022/2023 yang bertempat di Jeti Kampung Tampok Laut pada 10 Jun 2023.
Dari kanan, Dr. Mahyuddin Bin Arsat, Timbalan Pengarah UTM iLeaGue, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Binti Mat Darus, Pengarah UTM iLeaGue, selaku Ketua Projek Makmal Komuniti Benut,  Tn Hj Ali bin Mohamad, Penghulu Mukim Benut dan Tok Md Yahya bin Sulaiman, Ketua Kampung Kawasan 12, Kampung Tampok, bergambar bersama dalam sesi Community Signature ketika Majlis Penutup Program Makmal Komuniti Benut Bagi Semester 2 Tahun 2022/2023 yang bertempat di Jeti Kampung Tampok Laut pada 10 Jun 2023.
Pelajar kursus Budi Penyayang dan Ts. ChM. Dr Suriani Sani ketika Community Engagement Showcase & Co-curricular Carnival 2023 yang bertempat di Dewan Sultan Iskandar, UTM pada 17 Jun 2023.

Oleh: Nor Suriani Sani, Institute of Human Centered Engineering (iHumEn), UTM

Explore More