April 28, 2024

Search
Close this search box.
businessmen, people, men-42691.jpg

Kepimpinan ‘Tangkas’ di Era Perubahan dan Ketidakpastian

JOHOR BAHRU, 27 Julai – Kepimpinan ‘tangkas’ merujuk kepada gaya kepimpinan yang menumpukan kepada tindak balas yang cepat seseorang pemimpin terhadap perubahan dan ketidakpastian, sambil mengekalkan hala tuju organisasi yang jelas dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Ia memberi penekanan kepada fleksibiliti dan penyesuaian diri dalam persekitaran dan urusan yang serba pantas. Antara ciri-ciri pemimpin ‘tangkas’ adalah sentiasa mengutamakan kerja berpasukan, bekerjasama, mengamalkan komunikasi  yang efektif dan terbuka, serta bertindak balas dengan segera sekiranya  diperlukan.

Mereka juga sentiasa mengamalkan budaya ‘think out of box’, berani mengambil risiko, menerima sebarang perubahan dengan berlapang dada dan  menggalakkan usaha untuk penambahbaikan yang berterusan.

Untuk menjadi seorang pemimpin  yang ‘tangkas’, beberapa langkah perlu diambil  dalam memimpin  organisasi. Antara langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut:

  1. Menggalakkan orang bawahan agar lebih berani dalam mengambil tindakan, berani untuk meluahkan perasaan dan pendapat, berkongsi idea dan boleh memberi dan menerima maklum balas dan kritikan yang membina.
  2. Menggalakkan orang bawahan untuk memimpin, mempunyai autonomi dalam mengambil tindakan yang wajar, membuat keputusan, mengamalkan budaya bekerjasama dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
  3. Menggalakkan orang bawahan untuk menjadi lebih fleksibel, bersedia untuk menerima perubahan, bijak menyesuaikan diri, bersedia untuk bertindak dan menyesuaikan rancangan berdasarkan maklumat baharu atau keadaan yang berubah.
  4. Menggalakkan orang bawahan untuk mencuba pendekatan baharu, berani mengambil risiko, belajar daripada kegagalan dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran kerja yang sentiasa kondusif , menyokong dan selamat.
  5. Menggalakkan orang bawahan untuk menentukan matlamat dan hasil yang dikehendaki dan menggalakkan mereka memikirkan cara terbaik untuk mencapainya.
  6. Membudayakan amalan berkomunikasi yang efektif, terbuka dan secara berterusan dengan orang bawahan, pihak berkepentingan dan pelanggan.
  7. Mendapatkan maklum balas daripada orang bawahan atau orang lain tentang cara kepimpinan kita dan bagaimana kita mengurus organisasi supaya penambahbaikan boleh dibuat, membuat perubahan dan menyesuaikan pendekatan kita dari semasa ke semasa.

Secara keseluruhannya, kepimpinan ‘tangkas’ adalah kepimpinan seorang pemimpin yang bersikap responsif, boleh menyesuaikan diri dan memfokuskan kepada pelanggan, serta sentiasa berusaha untuk menambah baik proses dan produk secara berterusan untuk menyampaikan nilai  yang terbaik kepada pelanggan.

Semua pemimpin boleh menjadi pemimpin ‘ tangkas’ sekiranya mereka mengamalkan beberapa langkah seperti diatas secara konsisten dan berterusan.

 

Explore More