Disember 9, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Jul.– Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) telah menganjurkan Bengkel Training for Trainers– Kepentingan Teknologi dalam Kerja Pemuliharaan Bangunan Warisan bersama KALAM pada 4 hingga 7 Julai 2023. Bengkel ini telah diadakan di GALERIA KALAM, UTM bersama-sama dengan 15 orang pegawai yang diketuai oleh Puan Mas Ayu Mohd Tahir; Kurator dari Jabatan Warisan Negara (JWN). 

KALAM merupakan sebuah pusat penyelidikan dan rujukan tempatan serta antarabangsa yang memartabatkan warisan bangsa. Dokumentasi warisan di KALAM bermula sejak tahun 1975 di atas landasan Lukisan Terukur yang dihasilkan oleh pelajar Senibina UTM.

Pada 1996, KALAM secara rasminya telah diangkat sebagai sebuah Pusat Penyelidikan Universiti yang berperanan untuk menyediakan data yang komprehensif berkaitan seni bina. Sehingga kini,  KALAM telah merekodkan dan mendokumentasikan lebih 600 buah bangunan yang terdiri daripada rumah tradisional, masjid, rumah ibadat, institusi, istana, bangunan awam, rumah kedai, inventori serta binaan kecil dari seluruh pelusuk Kepulauan Melayu termasuklah Indonesia, Thailand dan Kemboja.

Tidak setakat itu sahaja, KALAM juga menyimpan pelbagai khazanah ketara seperti artifak, dokumen, perabot, gambar, arca serta lain-lain yang diterima sewaktu proses penyelidikan dijalankan. 

Objektif bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan teknologi dalam kerja pemuliharaan bangunan warisan dengan menggunakan laser cutter, membangunkan model bangunan warisan menggunakan teknologi laser cutter serta memberi pemahaman mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan.

Tambahan, bengkel tersebut dilihat mampu membentuk hubungan kerjasama antara pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) dan KALAM UTM. Pelaksanaan bengkel tersebut diterajui oleh Pengarah KALAM, Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman selaku Ketua Program serta dibantu oleh pasukan Pengurusan KALAM.

Pelaksanaan bengkel ini dimulakan dengan lawatan ke Galeri UTM di Bangunan Canselori Sultan Ismail bagi menelusuri sejarah warisan penubuhan institusi tersebut. Kemudian, peserta juga berpeluang melawat Institute of Bioproduct Development (IBD), Rumah Tropika UTM, Istana Diraja Abu Bakar, Masjid Sultan Abu Bakar, Kompleks Warisan Johor, Forensic Engineering Centre (FEC) dan UTM Construction Centre (CRC). 

Kemuncak bengkel ini adalah melaksanakan aktiviti latihan menerusi penggunaan teknologi laser cutter dalam penghasilan model bangunan warisan. Peserta juga menerima taklimat daripada pakar-pakar jemputan iaitu Ar. IDr. Ts Noraslinda binti Abdul Rahman (Pengarah KALAM), Prof. Dr. Syed Ahmad Iskandar bin Syed Ariffin (Mantan Pengarah Institut Sultan Iskandar) serta Ts. Dr.  Muhammad Safwan Abd Aziz (Pengarah Pusat Penyelidikan Laser).

Peserta bengkel menerima pendedahan secara teori dan praktikal. Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan dan diuji dengan penghasilan model fizikal bangunan warisan yang menggunakan teknik pemotongan laser cutter. Menerusi program ini juga, peserta dapat mempelajari dan meningkatkan pengetahuan mengenai kepentingan teknologi dalam warisan.

Usai bengkel, peserta dibenarkan untuk membawa pulang model fizikal bangunan warisan yang dihasilkan. Program seperti ini wajar dilaksanakan lagi pada masa akan datang kerana ia berpotensi memberi pendedahan mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sekaligus menyuntik semangat patriotik cintakan negara.

UTM adalah institusi yang sentiasa menyokong kepada usaha memelihara dan memulihara khazanah warisan negara. 

Penerangan ringkas dari En. Fakhrul Zaman Mohamad Sambas, Pembantu Kurator dari Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat.
Peserta bengkel bergambar di hadapan Bangunan Canselori Sultan Ismail bersama-sama dengan Pengarah KALAM; Ar. IDr. Ts Noraslinda Abdul Rahman dan En Fakhrul Zaman Mohamad Sambas, Pembantu Kurator dari Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat.
Lawatan ke Kompleks Warisan Johor yang turut disertai oleh Prof. Dr. Hamdan Ahmad dan wakil dari pihak Forensic Engineering Centre dan UTM Construction Research Centre
Lawatan ke Kompleks Warisan Johor yang turut disertai oleh Prof. Dr. Hamdan Ahmad dan wakil dari pihak Forensic Engineering Centre dan UTM Construction Research Centre.
Bergambar kenangan bersama wakil dari Muzium Diraja Abu Bakar di hadapan Tangga UMNO.
Ucapan penutup lawatan ke Muzium Diraja Abu Bakar oleh Kurator Muzium, Cik Nurul Afza Abdul Jalil.
Sesi perkongsian ilmu bersama Pengarah KALAM; Ar. IDr. Ts. Noraslinda Abdul Rahman.
Pakar jemputan bagi Bengkel Training for Trainers- Kepentingan Teknologi dalam Kerja Pemuliharaan Bangunan Warisan. Dari kiri; Ts Dr Muhammad Safwan Abd Aziz, Ar. IDr. Ts Noraslinda binti Abdul Rahman dan Prof. Dr. Syed Ahmad Iskandar bin Syed Ariffin.
Peserta bengkel bergambar kenangan bersama pakar jemputan di Galeria KALAM.
Barisan pasukan KALAM sebagai urusetia bengkel, (dari kiri) Norazila Kamarulzaman, Nurul Aini A Ghafar, Ar. IDr. Ts. Noraslinda Abdul Rahman, Ahmad Banin Borhanuddin dan Madiha Farhani Mohamad.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More