Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Jangan biarkan diri dibelenggu masalah mental

JOHOR BAHRU, 14 Jul. – Biro Kebajikan & Sosial, Institusi Pembangunan Felo (IPF) telah menganjurkan suatu program Bicara Kaunseling IPF 2023 yang bertajuk ‘Depression, Anxiety & Stress: Peranan IPF Dalam Mengatasinya’ pada Jumaat malam yang lepas bertempat di Dewan Sri Kencana, Kolej Datin Seri Endon.

Program ini mensasarkan ahli IPF yang berperanan dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang tinggal di kolej kediaman. Ahli IPF yang terdiri daripada pengetua, felo dan juga pembantu felo merupakan pihak yang bertanggungjawab terhadap pelajar termasuklah daripada segi memastikan kesihatan mental pelajar dalam keadaan sihat.

Program yang telah dihadiri oleh 50 orang ahli IPF diserikan lagi dengan kehadiran penceramah jemputan iaitu Pengarah Pusat Kaunseling UTM, Dr. Zulfikar Ahmad.

Pengarah Pusat Kaunseling UTM, Dr. Zulfikar Ahmad sedang menyampaikan ceramah berkenaan kesihatan mental.

Pengerusi IPF, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal bin Jamaludin dalam ucapannya menyatakan, “ahli IPF perlu menjaga kesihatan mental diri sendiri terlebih dahulu, sebelum menjaga kesihatan mental pelajar-pelajar yang tinggal di kolej”.

Selain itu, “ahli IPF boleh mengenalpasti lebih awal sekiranya ada simptom masalah mental dengan melakukan Ujian Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS). Hal ini penting supaya ahli IPF itu sendiri mempunyai kesihatan mental yang baik sebelum berhadapan dengan pelajar yang mempunyai masalah mental.”, ulas Dr. Zulfikar Ahmad dalam ceramahnya.

Pengerusi IPF, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal bin Jamaludin menyerahkan sijil penghargaan kepada penceramah iaitu Pengarah Pusat Kaunseling UTM, Dr. Zulfikar Ahmad.

Tuntasnya, pihak penganjur berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan bagi memastikan ahli IPF sentiasa peka dengan masalah-masalah yang wujud terutama yang berkait rapat dengan masalah kesihatan mental pelajar-pelajar.

Oleh: Muhamad Norfiqiri Abd Hamid

Explore More