Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

Hajah Noor Hadayah Ahmad Dinobat Tokoh Maal Hijrah 1445H Daerah Kulai

KULAI, 18 Jul. – Naib Presiden (Wanita) PERTISAS, Hajah Noor Hadayah Hj Ahmad, 47, diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H Daerah Kulai dalam majlis sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat Daerah Kulai yang telah diadakan pada 18 Julai 2023 yang lalu.

Pengiktirafan ini juga ibarat ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kerana pada tahun sebelumnya, ayah beliau telah dipilih untuk menerima Anugerah Khas Maal Hijrah (Kategori Penghayatan Al-Quran) Peringkat Daerah Kulai 1444H.

Beliau menerima wang tunai RM 500, hadiah iringan dan sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Puan Hjh Siti Sofiah Arif, Pengerusi PUSPANITA Daerah Kulai.

Walau bagaimanapun, penerimaan anugerah tersebut telah diwakili oleh anak perempuan beliau kerana beliau pada ketika itu masih bertugas sebagai Pembimbing Ibadat Haji di Tanah Suci.

“Anugerah ini merupakan suatu pemberian Allah yang tak pernah saya jangka. Saya amat bersyukur dan berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Semoga ia dapat memberi inspirasi buat anak-anak, ahli keluarga, sahabat handai dan anak-anak didik saya supaya terus berani memberi dan beramal dengan ikhlas. Buatlah apa sahaja kerana Allah Taala dengan sehabis baik. Semoga Allah SWT reda dan mengganjari kita dengan syurga firdausNya tanpa hisab”, ujarnya.

Hajah Hadayah merupakan anak sulung tunggal perempuan daripada 4 adik-beradik kepada pasangan Hj Ahmad Hj Halimi dan Hjh Siti Hj Dahlan dan telah mendirikan rumahtangga dengan Amir Chong Muhammad Chong.

Ibu kepada sepasang cahaya mata ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan Ijazah Sarjana Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling) 2004 dari UTM.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang Guru Perintis Kafa di Sekolah Agama Bandar Kulai 2 pada tahun 2000. Setelah itu beliau berkecimpung dalam bidang guaman yang amat diminatinya sejak kecil sebagai Peguam Syarie Negeri Johor selama 2 tahun iaitu pada tahun 2001 hingga 2002.

Pada tahun 2002, beliau telah menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Beliau telah ditempatkan di Bahagian Pembangunan Keluarga yang dahulunya disebut sebagai Bahagian Undang-undang Keluarga sebagai Penolong Pengarah selama 6 tahun.

Bermula 8 Jun 2008 sehingga kini, beliau telah berkhidmat selama 15 tahun sebagai Pegawai Psikologi Kanan di Pusat Kaunseling UTM.

Pada masa lapang, beliau dan keluarga banyak memperuntukkan masa dengan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan sama ada di peringkat UTM, daerah, Negeri dan Kebangsaan.

Sejak tahun 2022, beliau telah dilantik oleh PEMADAM Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai Penyelaras Rakan Nasihat Komuniti di peringkat kebangsaan.

Setakat ini Rakan Nasihat Komuniti seramai 48 orang di seluruh Malaysia inilah yang berperanan menjawab segala pertanyaan dan menyalurkan bantuan perkhidmatan khidmat nasihat kepada warga Malaysia yang berhasrat untuk berhenti merokok di aplikasi MySejahtera dan laman sesawang jomQuit.com.

Beliau juga merupakan Setiausaha Biro Pengajian Tinggi dan Kelab PEMADAM IPT dan Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan PEMADAM di Peringkat Kebangsaan.

Kedua-dua biro ini berperanan menggerakkan usaha promosi, pendidikan dan pencegahan dadah serta bahan terlarang di kalangan masyarakat di peringkat akar umbi dan kampus-kampus universiti seluruh Malaysia.

Selain aktif dalam program khidmat masyarakat, beliau yang juga pemegang Tauliah Ceramah dan Mengajar Agama daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor turut aktif dalam bidang dakwah.

Waktu lapang beliau digunakan untuk mencurah tenaga sebagai guru al-Quran, penceramah Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam dan Guru Saudara Baru Daerah Kulai.

Pada tahun 2023 ini, beliau telah dipilih oleh pihak Lembaga Tabung Haji Malaysia menganggotai rombongan Petugas Haji sebagai Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS). Beliau yang telah memulakan tugasan sejak 18 Mei 2023 telah memberikan khidmat terbaik selama tempoh 60 hari beliau berada di Tanah Suci.

Atas penglibatan aktif ini beliau turut menerima pelbagai anugerah lain antaranya Peserta Wanita Terbaik dalam majlis graduasi Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) USIM dan Lembaga Tabung Haji Malaysia Tahun 2018, Anugerah Perak, Anugerah Pentadbir Gemilang (Kategori Khidmat Komuniti) 2021, Anugerah Pelita Budi (Bakti & Kemasyarakatan) Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Tahun 2021, Pembentang Terbaik (Sub Bidang Kelestarian Sains & Teknologi) 2019, Peserta Terbaik Wanita Sijil Pembimbing Ibadat Haji 2018 dan Anugerah Khas Gemilang Mahasiswa, Jabatan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar 2021 & 2022.

 

Explore More