Mei 15, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 20 Jul. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Siswazah Kehidupan (UTM iLeaGue) dengan kerjasama UTM International telah menghantar 10 orang pelajar prasiswazah UTM ke Program International Internship selama 3 bulan di Korea Selatan.

Ketika upacara ringkas pelepasan diadakan, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah binti Mat Darus selaku Pengarah CAEL telah menyampaikan ucapan aluan mewakili pihak UTM kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa yang turut hadir di dalam majlis ringkas tersebut.

Hadir bersama dalam majlis ini ialah Prof. Dr. Ali bin Selamat selaku Dekan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Prof. Ir. Ts. Dr. Nurulakmar binti Abu Husain, selaku Timbalan Dekan MJIIT dan Prof. Madya Dr. Norizah Bt Hj Redzuan selaku wakil Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM).

Objektif program ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada alam pekerjaan yang sebenar di peringkat antarabangsa,  pelbagai teknologi terkini, pengetahuan yang terbaru di pasaran luar dan amalan spesifik dalam bidang pengkhususan masing-masing di institusi luar negara.

Program ini turut bertujuan untuk melahirkan graduan yang global, berpengetahuan luas dan kompeten, berketerampilan, mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi serta berpengalaman bekerja di organisasi peringkat antarabangsa.

Pelajar – pelajar yang terpilih tersebut terdiri daripada pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Mereka akan menjalani program ini di tiga buah institusi iaitu Jeonbuk National University, Kumoh National Institute of Technology dan Korea Advanced Institute of Science & Technology.

Pelajar – pelajar yang terpilih ini merupakan kohort pertama bagi program ini. Pihak UTM iLeaGue berharap agar mereka dapat menjalani latihan dengan cemerlang dan jaya seterusnya dapat meneruskan projek penyelidikan ini ke peringkat pascasiswazah.

Di samping itu, pelajar – pelajar ini diharapkan dapat membawa nama baik UTM di peringkat antarabangsa dengan pencapaian dan kecemerlangan yang telah mereka capai.

Usaha ini diharapkan mendapat sokongan semua pihak agar program ini dapat diteruskan dan seterusnya dapat melibatkan lebih ramai lagi pelajar untuk masa yang akan datang.

Pihak UTM iLeaGue juga berharap agar program ini boleh membantu meningkatkan penarafan UTM di peringkat antarabangsa (world ranking).

Kejayaan pelajar dalam program ini juga dilihat mencerminkan kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh UTM serta menunjukkan bahawa pelajar UTM mempunyai kemampuan dan potensi untuk berjaya dalam kerjaya mereka di peringkat antarabangsa.

 

Explore More