Disember 19, 2024

UTM dan Seeloz Inc. perkukuh kerjasama dalam bidang kepintaran buatan industri rantaian bekalan

JOHOR BAHRU, 7 Jun. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif (CIPD) hari ini menandatangani satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Seeloz Inc. untuk memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM Johor Bahru telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias selaku wakil daripada UTM, manakala Seeloz Inc. diwakili oleh Pengarah Eksekutif, En. Mohd Emran Ibrahim. Turut hadir bersama ialah Dekan FABU, Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali.

Majlis menandatangani MoU telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias selaku wakil daripada UTM, manakala Seeloz Inc. diwakili oleh Pengarah Eksekutif, En. Mohd Emran Ibrahim.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kolaborasi seperti memperkukuh kurikulum dan pertukaran penerbitan ilmiah serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan bersama (R&D).

Seeloz Inc., merupakan sebuah syarikat yang menawarkan solusi teknologi terkemuka, iaitu kepintaran buatan (AI) khususnya dalam industri rantaian bekalan. Kerjasama ini dimeterai bertujuan untuk meningkatkan pembangunan akademik dan memupuk inovasi dalam bidang ini.

Dengan gabungan antara UTM dan Seeloz Inc., kepakaran dan sumber antara kedua-dua belah pihak dapat dimanfaatkan bagi memacu kemajuan dalam teknologi AI dan aplikasinya dalam rantaian bekalan. Kerjasama yang bakal dilaksanakan adalah dalam pelbagai aspek pembangunan akademik, antaranya perkongsian dan pertukaran ilmu, penyelidikan dan inovasi, dan pengukuhan akademik.

“Melalui kerjasama dengan UTM, kita berharap dapat merealisasikan kewujudan Supply Chain Innovation Center (SCIC), yang mana UTM dilihat mampu bertindak sebagai institusi peneraju atau hab dalam bidang rantaian bekalan nasional merangkumi logistik, pengurusan inventori gudang dan kilang, keterjaminan makanan negara, sistem pengurusan inventori untuk perubatan dan yang seangkatan dengannya,” jelas En. Mohd Emran Ibrahim.

Melalui kolaborasi ini ini bakal menyaksikan UTM dan Seeloz akan bekerjasama dalam menjalankan projek penyelidikan yang mengaplikasikan teknologi AI dalam rantaian bekalan. Ini akan menjana pengetahuan baharu dan penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran yang dihadapi dalam bidang berkenaan.

Kolaborasi ini ini bakal menyaksikan UTM dan Seeloz akan bekerjasama dalam menjalankan projek penyelidikan yang mengaplikasikan teknologi AI dalam rantaian bekalan.

Selain itu, dengan adanya kerjasama di antara kedua-dua pihak akan memperkukuhkan kurikulum program akademik dengan menggabungkan AI dalam bidang rantaian bekalan. Ini akan memastikan kurikulum yang ditawarkan di universiti selari dengan kemajuan penggunaan teknologi di industri.

Kerjasama ini akan menghasilkan penawaran program akademik yang lebih baik yang akan menghasilkan graduan yang bersifat sedia industri (industry ready) bagi memenuhi permintaan sektor rantaian bekalan yang dipacu oleh kepintaran buatan.

“Inisiatif antara UTM dengan Seeloz Inc. ini pula akan memudahkan kerjasama yang lebih erat antara ahli akademik dengan industri. Melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan industri, jurang antara teori dan amalan di lapangan kerja dapat dikecilkan,” menurut Prof. Dr. Rosli dalam ucapan beliau.

“Kerjasama ini juga akan membawa kepada pelaksanaan latihan amali, projek penyelidikan dan perundingan bersama industri yang akan membolehkan pelajar dan penyelidik UTM memperoleh pengalaman dunia sebenar dan menyumbang kepada penyelesaian praktikal untuk cabaran rantaian bekalan, disamping memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi negara,” jelas Prof. Dr. Rosli ketika mengakhiri ucapannya.

Explore More